Friday, April 3, 2009

Najib dengan rasmi PM ke-6 - MalaysiaKini

Apr 3, 09 9:36am

Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak hari ini dengan rasminya perdana menteri Malaysia keenam apabila istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan istiadat mengangkat sumpah setia serta menyimpan rahsia sempurna dilangsungkan di Istana Negara, 10.10 pagi.Pemimpin-pemimpin kanan negara, pegawai kanan kerajaan dan dif-dif kehormat dari dalam dan luar negara diundang untuk menyaksikan peristiwa penting dan bersejarah ini.Balairong Seri sekali lagi menyaksikan peralihan politik negara ini dalam usianya 52 tahun selepas kemerdekaan.Stesen RTM akan menyiarkan secara langsung istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan serta sumpah rahsia Najib sebagai perdana menteri walaupun kesemua 81 ahli parlimen pembangkang membantahnya.Mereka memohon Yang di-Pertuan Agong menunda majlis tersebut sehingga satu suruhajaya bebas dibentuk untuk membersihkan ahli parlimen Pekan itu daripada sebarang dakwaan salah laku - antara yang popular, berkaitan kematian Altantuya Shaariibuu dan komisyen pembelian kapal selam Scorpene. Najib menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pelan peralihan kuasa Umno dan negara susulan ketewasan mengejut dan terburuk dalam sejarah BN pada pilihanraya umum lalu.Dilahirkan pada 1953 di Kuala Lipis, Pahang, Najib merupakan anak sulung perdana menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein dan Rahah Mohamad Noah.

Ceburi politik

Beliau mendapat pendidikan awal di St John Institution, Kuala Lumpur sebelum meneruskan pelajaran ke Maven Boy's College, Worchestershire, England. Najib kemudiannya melanjutkan pelajaran ke University Of Nottingham, England dan mendapt ijazah pertama dengan kepujian dalam bidang ekonomi industri pada 1974.Beliau mulai menceburkan diri dalam arena politik selepas dipilih bertanding kerusi parlimen Pekan ekoran kematian mendadak bapanya di London Januari 1976. Najib menang tanpa bertanding dan muncul sebagai anggota Dewan Rakyat termuda pada usia 23 tahun.Najib dilantik sebagai timbalan menteri tenaga, telekom dan pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Pada 1982 hingga 1986, beliau menjadi menteri besar paling muda dalam sejarah negara, pada 29 tahun.Sepanjang penglibatannya dalam politik, Najib berkhidmat di pelbagai kementerian, termasuk timbalan menteri tenaga, telekom dan pos, timbalan menteri pendidikan dan timbalan menteri kewangan. Pada 1982, beliau bertanding dan memenangi kerusi DUN Bandar Pekan dan dilantik sebagai menteri besar Pahang.Pada 1986, ketika berumur 33 tahun, Najib menerajui kementerian kebudayaan, belia dan sukan dan selepas pilihanraya umum 1990, beliau berpindah ke kementerian pertahanan.Beliau dilantik menteri pendidikan pada 1995. Selepas pilihanraya umum pada 1999, beliau dilantik menerajui kementerian pertahanan. Setelah Abdullah mengambil alih jawatan perdana menteri pada Oktober 2003, Najib dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada 6 Januari 2004. Dalam kabinet 2008, beliau dilantik sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Manakala 17 September 2008, Najib dilantik sebagai menteri kewangan dan jawatan menteri pertahanan diterajui oleh Abdullah.
Selepas menunaikan solat Jumaat tengahari tadi, Najib menziarahi makam ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, perdana menteri kedua di Makam Pahlawan di Masjid Negara.Najib, ditemani isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bondanya Tun Hajah Rahah Tan Sri Mohd Noah, keempat-empat adiknya Ahmad Johari, Mohamad Nizam, Mohamad Nazim dan Mohamad Nazir serta kaum keluarganya.Mereka meluangkan masa hampir sejam menziarahi pusara ayahandanya.

Serah tugas

Sementara itu, Abdullah menyerahkan tugas perdana menteri kepada Najib di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya hari ini. Upacara penyerahan tugas itu berlangsung di tingkat lima, Pejabat Perdana Menteri pada jam 4.50 petang. Dalam upacara itu, Abdullah menyerahkan fail meja YAB Perdana Menteri berwarna biru sebagai tanda penyerahan tugas dan tanggungjawab kepada Najib, sambil disaksikan leh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan.Upacara itu juga menandakan lengkapnya proses peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib secara tersusun dan berjalan dengan lancar, mengekalkan tradisi peralihan kuasa negara dari dahulu hingga sekarang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...