Tuesday, April 7, 2009

Petugas PKR tahan bas 'pengundi hantu' - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor & S Pathamawathy | Apr 7, 09 2:20pm

Petugas PKR DUN Bukit Selambau menahan dan membawa sebuah bas yang dipercayai membawa pengundi hantu ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gurun kira-kira jam 11.25 pagi tadi.

Naib ketua AMK, Feriz Musa berkata, petugas PKR mengesan kehadiran bas tersebut tetapi tidak tahu ke mana ia pergi.

Bagaiamanpun, katanya, bas itu dikesan semula di Kampung Bukit Lembu pagi tadi.

Katanya, selepas diperiksa petugas mendapati penumpang bukan orang tempatan.

"Berikutan itu kita mengsyaki mereka adalah pengundi hantu dan membuat keputusan menghantarnya ke IPD Gurun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Feriz berkata, beliau dimaklumkan bas berkenaan telah mula dikesan masuk ke Bukit Selambau tengah malam tadi.

Katanya, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi mengesan kemungkinan ada bas lain yang membawa pengundi hantu ke Bukit Selambau.

Polis tahan dua lelaki


Sementara itu, polis melepaskan bas yang disyaki membawa pengundi hantu di Bukit Selambau, tetapi menahan dua lelaki yang dipercyai penyokong Pakatan Rakyat yang menahan bas tersebut.

Menurut pengawai perhubungan media polis Bukit Selambau, Hanzan Darus, kedua-dua mereka yang berusia 37 dan 54 tahun, ditahan di bawah Seksyen 341 Kanun Keseksaan.

Bas dan 32 penumpangnya yang terdiri daripada ahli Umno Padang Besar, berhenti bermalam di Bukit Lembu di Sungai Petani selepas menghadiri majlis bersama Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

Ketika hendak bertolak dari Bukit Lembu untuk merayu undi bagi calon BN, Datuk S Ganesan, mereka ditahan oleh dua lelaki kerana didakwa membawa pengundi hantu.

Menurut polis, dua lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Avanza, memotong bas tersebut dan memaksanya berhenti.

Mereka kemudiannya menaiki bas tersebut dan menghalang pemandunya daripada meneruskan perjalanan.

Seorang pemandu bas tersebut, kemudiannya menghubungi polis dan bas serta dua lelaki berkenaan dibawa ke balai polis Gurun untuk siasatan lanjut.

Polis bagaimanapun, melepaskan penumpang bas tersebut selepas memeriksa status mereka dengan senarai nama pemilih.

Mafrel pula melaporkan bahawa pemantaunya juga telah mengesan dua buah bas yang disyaki membawa pengundi hantu.

Sebuah daripada bas tersebut dilihat di Taman Ria Jaya, manakala sebuah lagi dilihat menghala ke Tasek Apong.

Penumpangnya mendakwa mereka adalah penyokong BN dari Alor Star.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...