Wednesday, May 20, 2009

Exco PPP WP gesa kemuka undi tak percaya terhadap Kayveas

May 20, 09 7:22pm

Dua pertiga anggota majlis eksekutif Parti Progresif Penduduk (PPP) Wilayah Persekutuan menggesa undi tidak percaya dikemukakan terhadap presiden PPP Datuk M Kayveas dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan A. Chandrakumanan.

Ketua Penerangan PPP Kuala Lumpur P Rajandra memberitahu sidang akhbar di ibunegara hari ini, mereka menyokong penuh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk T. Murugiah dan menggesa Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat perkara itu, lapor Bernama.

Pada 9 Mei lepas, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa terlibat
dengan politik wang.

"Chandrakumanan mengatakan bahawa kami perlu tahu fakta sebelum bercakap. Sebenarnya beliau yang langsung tidak tahu fakta dan status rekod PPP dalam ROS.

"Beliau (Chandrakumanan) bukanlah pengerusi PPP Wilayah Persekutuan kerana rekod PPP di ROS tidak dikemas kini sejak tahun 2002," kata Rajandra.

Rajandra juga berkata rekod ROS menunjukkan terdapat cawangan PPP di seluruh negara telah dianggap sudah ditutup atau di bawah status pembubaran sementara ekoran kegagalan ibu pejabat untuk mengemas kini status parti.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya petang ini, Chandrakumanan berkata, Rajandra tidak kuasa untuk mengadakan sidang akhbar itu tanpa pengetahuan PPP negeri.

"Ia kerana beliau dilantik oleh pengerusi PPP negeri (iaitu saya)," katanya.

Menurutnya, pemangku setiausaha PPP negeri tidak tahu menahu mengenai sidang akhbar tersebut yang didakwanya diadakan oleh pejabat dan pembantu Murugiah.

Tindakan tersebut, dakwanya, menunjukkan bahawa Murugiah terdesak untuk mendapatkan sokongan dari setiap negeri, dengan menyalahguna kedudukannya sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Chandrakumanan berkata, perdana menteri perlu menyiasat tindakan Murugiah menggunakan pegawainya untuk kerja-kerja peribadi, kerana ia mencemarkan imej jabatan berkenaan dan negeri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...