Tuesday, May 19, 2009

Perkhidmatan Bas Ekspres Pudu Raya Bakal Dipindah Ke Tasik Selatan

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Perkhidmatan bas ekspres yang selama ini bertumpu di Hentian Pudu Raya sehingga menyesakkan kawasan bandar raya akan di pindahkan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu di Bandar Tasik Selatan yang dijangka siap tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata langkah itu dibuat bagi mengurangkan kesesakan di Hentian Pudu Raya.

"Terminal di Bandar Tasik Selatan akan dijadikan satu hab bersepadu untuk ke semua destinasi ke seluruh negara bagi memudahkan rakyat menumpu kepada satu hab sahaja ke semua destinasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan pengusaha dan persatuan bas, di sini hari ini.

Beliau berkata pada asalnya terminal di Bandar Tasik Selatan digunakan bagi menampung bas ekspres dari zon selatan seperti Melaka, Negeri Sembilan dan Johor, sebelum diperluaskan secara berperingkat-peringkat bagi menampung pengangkutan ke seluruh negara.

Mohamed Nazri berkata apabila terminal di Tasik Selatan siap, Hentian Pudu Raya akan dijadikan hentian bas dan teksi di dalam bandar sahaja.

Terminal Bandar Tasik Selatan boleh dihubungi menerusi dua lebuh raya utama iaitu Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Besraya, di samping digabungkan dengan perkhidmatan Sistem Transit Aliran Ringan, Komuter dan rangkaian Rel Ekspres Lapangan Terbang.

Dalam pertemuan itu pula, pelbagai cadangan diberikan untuk mengatasi kesesakan teruk di Hentian Pudu Raya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang turut hadir berkata kerajaan telah mengenal pasti sebidang tanah milik kerajaan berhampiran Hentian Puduraya untuk kegunaan bas dua tingkat dan bas ekspres.

Pengerusi Konsortium Transnasional, Datuk Mohd Nadzmi Mohd Salleh berkata kepentingan pengguna perlu turut diambil kira, dengan meningkatkan kecekapan mutu perkhidmatan pengangkutan awam.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...