Thursday, June 11, 2009

ADUN Jawi serah surat peletakan jawatan kepada parti

PULAU PINANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi, Tan Beng Huat telah mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada setiausaha agung parti Lim Guan Eng atas arahan DAP Negeri.

Pengerusi DAP Negeri Chow Kon Yeow berkata Lim mengarahkan surat berkenaan daripada Tan bagi menunjukkan kerajaan negeri itu mengamalkan konsep Keupayaan, Ketelusan dan Akauntabiliti (CAT).

"Kami memohon surat peletakan jawatan tidak bertarikh itu bagi membuktikan bahawa kami adalah telus dan Tan juga telah mengemukakan surat itu kepada parti," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP Negeri di sini hari ini.

Semalam, Ketua Bahagaian DAP Nibong Tebal, Teh Hock Yong, menuduh Tan melakukan penyelewengan berhubung penajaan RM2,000 untuk sebuah pertubuhan amal tempatan.

Bagaimanapun, Tan menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau berharap parti itu akan menyiasat perkara itu secara saksama bagi membersihkan namanya.

"Saya berbesar hati untuk mengemukakan surat peletakan jawatan tidak bertarikh kepada kepimpinan parti kerana parti mempunyai hak untuk bertindak terhadap rasuah," katanya.

Tan berkata beliau akan membiarkan kepada parti untuk memutuskan nasibnya dan sedang memikirkan untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Teh.

Sementara itu, Lim berkata beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri, Farizan Darus, untuk menyiasat perkara itu dan tindakan tegas akan diambil jika ada sebarang salah laku.

Sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris hari ini melaporkan bahawa Teh mendakwa set televisyen dan pemain cakera padat yang dibekalkan oleh Tan sebagai tajaan hanya bernilai RM450 tetapi Tan telah mengemukakan tuntutan sebanyak RM2,000 dari pejabat daerah.

Perkara tersebut telah dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...