Saturday, June 27, 2009

Pemilihan MIC: Palanivel bidas Subramaniam - mStar

PUTRAJAYA: Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel hari ini membidas bekas timbalan presiden parti itu Datuk S. Subramaniam yang melabel beliau hanya berupa bayang-bayang dengan berkata Subramaniam perlu membuktikan pula kejayaan yang dilakukannya semasa memegang jawatan itu.

Palanivel, bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempertahankan dirinya dengan berkata, ahli politik yang memainkan peranan sebagai bayang-bayang akhirnya akan muncul untuk membayangi yang lain.

"Beliau (Subramaniam) menggelar saya sebagai bayang apabila saya memegang jawatan timbalan presiden, baru hanya tiga tahun. Apa pula yang beliau lakukan apabila memegang jawatan timbalan presiden sejak 1981, lebih daripada dua dekad.

"Beliau tidak pun mempunyai keberanian seperti Datuk M. Muthupalaniappan yang mahu mencabar jawatan presiden," kata Palanivel dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam Subramaniam dilaporkan sebagai berkata, seseorang timbalan parti itu perlu memainkan peranan yang positif kepada parti, masyarakat dan negara dan timbalan tidak boleh berlindung di bawah tempat berteduh (presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu).

Subramaniam dikatakan membuat kenyataan itu semasa merasmikan mesyuarat agung ke-24 Persatuan Kooperatif Pelbagaiguna Nesa di Kuala Lumpur.

Subramaniam ditewaskan oleh Palanivel untuk merebut jawatan timbalan presiden pada pemilihan tahun 2006, selepas Samy Vellu secara terbuka menyokong Palanivel.

Kini timbul lagi spekulasi bahawa Samy Vellu akan terus menyokong Palanivel pada pemilihan parti September tahun ini, walaupun beliau berkata beliau tidak akan menyokong mana-mana calon.

Anggota perwakilan bahagian MIC memang diketahui akan sentiasa mengundi mana-mana calon yang disokong presiden parti.

Selain daripada Subramaniam, seorang lagi calon yang dikatakan berminat untuk merebut jawatan timbalan presiden ialah Datuk S. Sothinathan yang kini menyandang jawatan naib presiden.

"Dengan menyifatkan saya sebagai hanya bayang, adakah beliau (Subramaniam) menganggap diri beliau sebagai bukan bayang. Jika tidak, mengapa beliau tidak bertanding merebut jawatan presiden pada pemilihan presiden Mac ini," kata Palanivel.

Mereka yang cuba menikam dari belakang akan ditolak oleh perwakilan, tambahnya.

"Inilah apa yang berlaku semasa pemilihan jawatan timbalan presiden pada 2006 di mana bayang-bayang seperti saya mampu menewaskan beliau apabila penyokong presiden menolak beliau (Subramaniam).

Palanivel berkata, Subramaniam perlu buktikan apa yang beliau telah lakukan semasa memegang jawatan timbalan presiden parti selama lebih 20 tahun, daripada melahirkan kekecewaan dan melabel orang lain.

"Saya mempunyai perjalanan yang baik selama dua dekad dalam MIC dan telah menggunakannya untuk memahami dan berhubung rapat dengan akar umbi menerusi pelbagai program yang melibatkan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan masyarakat India.

"Kedudukan saya hingga menjadi salah orang pemimpin tertinggi MIC bukan diberi tetapi sesuatu yang saya capai hasil kerja kuat saya. Kejayaan saya hari ini merupakan hasil sokongan akar umbi di samping sokongan presiden parti," kata Palanivel.BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...