Friday, July 17, 2009

12 rakyat Malaysia di Hotel JW Marriott selamat

JAKARTA 17 Julai — Seramai 12 rakyat Malaysia yang menginap di Hotel JW Marriott, satu daripada dua buah hotel yang menjadi sasaran letupan bom pagi Jumaat, disahkan selamat dan telah keluar dari hotel terkemuka itu yang terletak di kawasan Mega Kuningan, Jakarta Selatan.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, lima orang daripada mereka telah melaporkan diri ke kedutaan yang terletak tidak jauh dari hotel itu.

“Mereka yang merupakan ahli perniagaan sudah melaporkan diri dan meminta bantuan kedutaan untuk mendapatkan semula pasport serta barangan mereka yang ditinggalkan di JW Marriott,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Empat lagi ialah keluarga Pesuruhjaya Perdagangan MATRADE ke Indonesia yang baru, Yusram Yusup iaitu isteri, dua orang anak dan pembantu mereka yang baru tiba pada 15 Julai dan menginap sementara di JW Marriot, bersebelahan pejabat MATRADE di Plaza Mutiara.

Zainal Abidin bagaimanapun berkata, ketika kejadian Yusram sedang menjalankan tugas di Surabaya.

Katanya, keluarga itu sudah dipindahkan oleh para pegawai kedutaan dan MATRADE ke sebuah apartmen dan pihak kedutaan akan membantu mereka untuk mengambil barangan mereka dari hotel itu bila diizinkan oleh polis Indonesia.

Duta Besar itu berkata, seorang lagi ialah wanita rakyat Malaysia yang sedang mengikuti seminar audit di hotel itu, yang ketika kejadian berada di kaunter hotel untuk melunaskan bayaran sebelum pulang ke Malaysia.

Wanita itu, katanya, terus meninggalkan hotel sebaik kejadian dan menelefon kedutaan memberitahu beliau selamat setelah berada di Lapangan Terbang Cengkareng untuk kembali ke tanah air.

Seorang lagi rakyat Malaysia yang selamat ialah seorang daripada pengarah hotel JW Marriott, katanya.

Sementara itu tiada rakyat Malaysia menginap di Hotel Ritz Carlton,sebuah lagi hotel yang terbabit dalam kejadian letupan bom itu.

Zainal Abidin berkata, tiga pasukan yang terdiri daripada kalangan pegawai kedutaan juga telah dibentuk bagi membuat pemeriksaan di semua tiga hospital, di mana lebih 50 mangsa letupan dirawat, bagi mengesan jika terdapat rakyat Malaysia yang cedera.

“Kita tidak mahu berandaian bahawa tidak ada lagi rakyat Malaysia yang terlibat dan mengambil inisiatif memeriksa ke hospital-hospital tersebut,” katanya.

- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...