Saturday, April 24, 2010

Umno maki saya, Tok Guru nasihat bersabar - Zaid

HULU SELANGOR, 24 April: "Saya dicerca dan dimaki oleh Umno, Tok Guru (Nik Aziz) dua kali telefon saya dan menasihati saya, bersabar, bersabar, bersabar dan kita berdoa," kata calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim.

Sehubungan itu, beliau menyuarakan rasa terharu atas sokongan moral yang diberikan oleh Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

"Saya amat gembira sekali, saya berasakan begitu terharu dengan sokongan Tok Guru," ujarnya lagi sambil memandang muka Nik Aziz pada sidang media di Rumah Rehat Daerah Kuala Kubu Baru, malam tadi.

Bercakap pada sidang media itu, Tuan Guru Nik Abdul Aziz meminta seluruh pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor mengundi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim, esok sebagai menolak politik perkauman Umno/BN.

Dengan menolak politik perkauman sebagaimana yang dituntut dalam Islam, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, manusia tidak akan menghadapi masalah walaupun mereka terdiri oleh pelbagai bangsa.

"Dalam Islam menyebut, semua manusia berasal daripada seorang bapa dan seorang ibu, bapa namanya Adam, ibu namanya Hawa, bila saya sebut tentang bangsa manusia, maka tidak timbul masalah bangsa," jelas beliau.

"Daripada Adam dan Hawa inilah lahirnya anak cucu, bertaburan di seluruh dunia, ada yang jadi Arab, ada yang jadi Melayu, ada yang jadi Cina, ada yang jadi Australia dan ada yang jadi Afrika, sebab itulah tak timbul masalah bangsa."

Bertitik tolak atas asas menolak politik perkauman tersebut, beliau menjelaskan tujuan beliau turun berkampung di Hulu Selangor sehingga selesai tempoh berkempen, hari ini.

"Saya datang sini untuk berkempen Pakatan Rakyat. Saya datang bukan dengan nama bangsa Melayu, saya datang dengan nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

"Insya Allah, saya harap demo (kamu) semua boleh mengundi Pakatan dan Datuk Zaid," jelas beliau lagi.

Ditanya tentang politik adu domba menyerang peribadi Zaid, Nik Aziz menganggap Umno/BN mengamalkan politik budak-budak yang bersifat bodoh.

"Ini kerja budak-budak, dia (Umno/BN) tak boleh lawan hujah (maka) dia serang peribadi (Zaid). Ini suatu perkara yang memalukan, memalukan politik Malaysia.

"Macam budak-budak kecillah, kalau boleh bertumbuk, dia akan bertumbuk. Kalau tak boleh tumbuk, dia lari mencebik (menjelir lidah). Itu semata-mata nak lepaskan," ujarnya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...