Wednesday, January 19, 2011

Kes Sultan Kelantan: Dua peguam tarik diri

PUTRAJAYA 18 Jan. - Dua peguam, Raja Aziz Addruse dan Abdul Rashid Ismail menarik diri daripada mewakili Sultan Ismail Petra dalam permohonan baginda untuk mencabar kesahihan pemasyhuran anakanda sulungnya, Sultan Muhammad V sebagai Sultan Kelantan pada 13 September tahun lalu.

Permohonan untuk menarik diri itu dikemukakan di Mahkamah Persekutuan hari ini oleh Abdul Rashid dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli. Beliau turut hadir bagi pihak Raja Aziz.

Permohonan itu dikemukakan atas alasan Sultan Ismail Petra tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz yang kini menjalani rawatan perubatan hingga awal Mac ini sedangkan tarikh pendengaran permohonan ditetapkan pada 10 Februari ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Yusoff dan Hakim Datuk Seri Md. Raus Sharif membenarkan permohonan tersebut.
Sehubungan itu, petisyen baginda yang memohon campur tangan mahkamah agar mengisytiharkan pemasyhuran Sultan Muhammad V sebagai tidak sah di sisi undang-undang, akan didengar pada 10 Februari ini.
Afidavit bagi menyokong permohonan penarikan diri selaku peguam bela dan peguam cara itu diikrarkan oleh Abdul Rashid pada Selasa lalu.

Abdul Rashid mengikrarkan, beliau dan Raja Aziz dilantik oleh Sultan Ismail Petra selaku pempetisyen pada 18 Jun tahun lalu untuk bertindak sebagai peguam bela dan peguam cara.
Abdul Rashid menyatakan, ketika mahkamah bersidang, Raja Aziz tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih dirawat di Singapura dan hanya akan berakhir pada awal Mac ini.
Sewaktu pengurusan kes diadakan pada 23 Disember tahun lalu, peguam cara memohon tarikh pendengaran petisyen ditetapkan pada pertengahan Mac.
Bagaimanapun, Timbalan Pendaftar mengarahkan permohonan itu didengar lebih awal iaitu pada 10 Februari ini serta memerintahkan peguam cara mendapat arahan selanjutnya daripada pempetisyen berhubung perkara itu.
Abdul Rashid kemudian menyatakan, baginda menitahkan agar Raja Aziz mewakilinya menyebabkan peguam cara memohon pendengaran ditetapkan pada pertengahan Mac.

''Oleh sebab keengganan mahkamah menetapkan tarikh pendengaran pada Mac ini, baginda tidak akan berpeluang mendapat khidmat Raja Aziz. Tetuan Rashid Zulkifli dan Raja Aziz tidak dapat mewakili baginda,'' menurut afidavit tersebut.

Sultan Ismail Petra memfailkan petisyen ketiga itu pada 20 September tahun lalu memohon pandangan mahkamah sama ada anakanda baginda yang ketika itu merupakan Tengku Mahkota mempunyai hak eksklusif untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Petisyen pertama dan kedua Sultan Ismail Petra yang masing-masing difailkan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun lalu ditolak oleh satu panel lain Mahkamah Persekutuan pada 26 November tahun lalu.
Mahkamah dalam keputusannya berpuas hati, Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh apabila Sultan mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan Negeri menggantikan ayahandanya yang mengalami ketidakupayaan sejak Mei 2009.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...