Saturday, January 15, 2011

Puvaneswaran, Nicol atlet Olimpian 2010

R.Puvaneswaran menunjukkan pingat Olimpian Lelaki 2010 dan cek RM10,000 yang diterimanya pada majlis penyampaian khas anugerah tersebut di Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Foto Rashid Mahfof



KUALA LUMPUR – Atlet karate negara, R. Puvaneswaran melakar kejutan apabila mengetepikan calon pilihan, yang juga jaguh berbasikal keirin dunia, Azizulhasni Awang apabila dinobat Olimpian Lelaki Negara 2010, semalam.

Datuk Nicol David pula menepati ramalan apabila pemain skuasy No. 1 dunia itu dipilih sebagai Olimpik Wanita Negara, mengetepikan saingan jaguh wusyu negara yang memenang pingat emas Sukan Asia, Chai Fong Ying dan atlet terjun, Pandelela Rinong.

Ia merupakan kemenangan kedua buat Nicol, selepas menerima anugerah yang sama untuk 1998. Kemenangan tersebut membolehkan Puvaneswaran dan Nicol masing-masing membawa pulang RM10,000 sumbangan Coca-cola beserta trofi. Hadiah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Puvaneswaran, pemenang pingat emas acara Kumite lelaki bawah 55kg pada Sukan Asia 2010, berkata, dia terkejut dan tidak menyangka dipilih sebagai pemenang.

‘‘Saya tidak menduga boleh terpilih sebagai pemenang kerana calon untuk kategori lelaki cukup hebat seperti Azizulhasni, Alex Liew (boling) dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (badminton).

‘‘Ini adalah pengiktirafan tertinggi yang saya terima sepanjang karier saya dalam sukan ini.
‘‘Lebih penting, anugerah ini merupakan pengiktirafan kepada sukan karate, kerana saya adalah penerima pertama dari sukan karate,’’ katanya.

Sementara Nicol tidak dapat hadir pada majlis semalam dan hadiah diterima oleh pengurus pasukan skuasy negara ke Sukan Asia, Peter Chee.

Menerusi rakaman video yang disiarkan pada majlis tersebut, Nicol mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan semua pihak.

Katanya, anugerah itu pasti akan menyuntik semangat juangnya bagi menampilkan persembahan yang lebih mantap di masa depan.

Tahun lepas, pemain skuasy wanita No. 1 dunia itu meraih satu emas pada Sukan Komanwel dan dua emas pada Sukan Asia.

Beliau juga merupakan pemenang `National Sportswomen Award’ dari tahun 2006 hingga 2009.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...