Thursday, January 13, 2011

RM65,000 imbuhan setiap pemain

PUTRAJAYA - Kerajaan semalam menganugerahkan insentif RM65,000 kepada setiap pemain dan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, insentif itu berupa unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang hanya boleh dikeluarkan selepas tempoh 10 tahun serta imbuhan wang tunai sebanyak RM10,000 daripada kerajaan.
Mereka juga turut menerima RM5,000 melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
"Kerajaan juga bersetuju untuk menaja sepenuhnya pemain skuad kebangsaan yang terpilih menjalani latihan bersama kelab-kelab bola sepak ternama dari luar negara.
"Pada masa sama, Kementerian Belia dan Sukan akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain," katanya.
Beliau berucap pada majlis jamuan makan tengah hari bagi meraikan skuad kebangsaan itu di Seri Perdana, semalam.
Turut hadir Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan pasukan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 di Kuala Lumpur meskipun kalah 1-2 di Jakarta.
Najib berkata, kejayaan menjuarai kejohanan tersebut perlu dijadikan sebagai batu loncatan untuk skuad kebangsaan memburu kejayaan lebih yang tinggi lagi pada masa depan.
"Kita mengimpikan supaya Malaysia menjadi skuad bola sepak yang terkemuka di peringkat rantau Asia dan keduanya, layak pula ke Sukan Olimpik 2012 di London," katanya.
Dalam ucapannya itu, beliau turut menyatakan rasa bangga dengan semangat juang dan keazaman tinggi ditunjukkan oleh skuad kebangsaan, walaupun menghadapi tekanan hebat ketika berkunjung ke Stadium Gelora Bung Karno untuk pusingan kedua final kejohanan itu.
"Selain mempunyai kemahiran, tahap kecergasan yang tinggi dan taktikal, kita juga berbangga dengan daya juang dan semangat serta kekuatan mental yang ada pada para pemain.
"Cuba bayangkan tekanan yang dialami pemain apabila tiba di hotel dan kemudiannya diiringi oleh pasukan polis Indonesia ke stadium dengan menaiki kenderaan perisai yang dilengkapi submesingun," katanya.
Perdana Menteri turut menarik perhatian mengenai semangat sukan bola sepak yang tidak mengenal batas kaum kerana para pemain perlu patuh kepada arahan jurulatih, K. Rajagobal.
"Bila kita dapat arahan daripada jurulatih, kita tidak kira dia daripada kaum mana kerana kita kena ikut cakap dia.
"Kita perlu bersikap terbuka yang selaras dengan semangat 1Malaysia kerana ia bukan sekadar kejayaan biasa tetapi boleh mencetus rangsangan kuat kepada rakyat untuk terus berjuang bersama berdasarkan ikatan 1Malaysia," katanya.


NAJIB Tun Razak bergambar bersama pemain skuad Harimau Malaya pada majlis ramah mesra meraikan kejayaan Malaysia memenangi Piala Suzuki AFF 2010 di Seri Perdana, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Subahan Kamal dan K. Rajagobal . - UTUSAN/Zaki Amiruddin

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...