Sunday, January 9, 2011

Robohkan Tembok Halangan Laluan Awam, Atau Lesen Ditarik Balik

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Syarikat Maju Terminal Management and Services Sdn Bhd (Maju Tmas) supaya merobohkan tembok yang menghalang laluan awam berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS).
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik balik lesen mengendalikan TBS-BTS daripada syarikat itu jika arahan tersebut tidak dipatuhi.
Beliau berkata arahan itu juga membabitkan tembok di sekeliling kawasan banglo milik Pengerusi Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd (Maju Holdings) Tan Sri Abu Sahid Mohamed, yang dibina atas tanah kerajaan.
"Walaupun tanah itu miliknya sebelum ini, jika dah serah, mana boleh ambil semula, kitapun tak akan beri semula dan keputusan muktamad," katanya kepada pemberita selepas bertemu penduduk Pantai Dalam sempena ketibaan 2011, Ahad.
Raja Nong Chik berkata sebelum ini, Abu Sahid telah menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan untuk dijadikan kawasan awam jika tanah berhampiran dibangunkan.
Bagaimanapun beliau berkata pembangunan yang dirancang tidak berlaku sekaligus, oleh itu, tanah berkenaan kekal milik kerajaan dan rakyat.
Sebelum ini, Abu Sahid merancang membina 2,033 unit pangsapuri di Fasa 6, Bandar Tasik Selatan dekat sini, namun mengubahnya kepada lima unit banglo yang belum mendapat kelulusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Raja Nong Chik berkata Abu Sahid berhak mengambil tindakan undang-undang namun ia hanya akan merugikan kedua-dua pihak dan mengakibatkan rakyat tersepit yang tersepit di tengah-tengah menjadi mangsa.
"Kita harap mereka patuhi segera arahan dan kedua-dua pihak tidak mengalami kerugian, sebaliknya Abu Sahid dan penduduk sekitar kawasan rumahnya boleh sama-sama menggunakan kawasan rekreasi dan tasik di situ nanti," katanya.
Menyentuh nasib peniaga kecil di TBS-BTS, beliau berkata pengendali pada asasnya bersetuju mewujudkan lokasi lain berhampiran terminal bagi menempatkan perniagaan mereka.-BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...