Monday, February 28, 2011

11 pelajar dakwa diraba




AMPANG - Sebelas pelajar perempuan tingkatan 4 sebuah sekolah menengah di sini mendakwa guru disiplin di sekolah itu melakukan gangguan seksual terhadap mereka. Kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 pagi Jummat lalu di dalam bilik guru sekolah berkenaan. 

Mangsa mendakwa guru berkenaan menyentuh di bahagian atas payu daranya dengan alasan mahu memeriksa denyutan nadi sebelum dihukum rotan. 

Guru itu juga dikatakan menyentuh peha pelajar terbabit untuk memeriksa sama ada pelajar itu membawa telefon bimbit. 

Seorang bapa mangsa berkata, anaknya bersama pelajar lain termasuk dua pelajar lelaki dibawa seorang pengawas berjumpa guru disiplin itu kerana kesalahan tidak menghadiri perhimpunan pagi itu. 

“Anak kami ketika itu berada dalam kelas kerana menyiapkan kerja sekolah, namun pengawas berkenaan membawa pelajar terbabit berjumpa guru disiplin,” katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Jenice Lee, semalam. 

Dia berkata, anaknya memberitahu kejadian menimpa pelajar perempuan itu berlaku selepas empat guru wanita yang berada dalam bilik guru keluar daripada bilik itu. 

“Kejadian itu hanya menimpa pelajar perempuan, berikutan insiden itu, ibu bapa pelajar mengambil keputusan untuk berjumpa pengetua sekolah itu Isnin ini (hari ini) bagi mendapat penjelasan pihak sekolah,” katanya. 

Sementara itu, seorang mangsa berkata, guru itu juga merakam gambar dada, kaki dan bahagian belakang badan pelajar berkenaan secara sembunyi. 

“Berikutan itu, kami berasa takut dan malu, kami mahu mempertahankan diri kami namun bimbang apa-apa akan berlaku ke atas kami. Disamping itu, kami mendapat tahu guru terbabit merakam gambar kami apabila mendengar bunyi sesuatu daripada telefon bimbit yang dipegangnya,” katanya. 

Jenice Lee berkata, pembantu pejabatnya bersama ibu bapa pelajar berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Pandan Indah. 

“Disiplin di sekolah penting, bukan saja pelajar, malah guru juga harus menunjukkan disiplin yang baik. Pengetua harus menyiasat segara apabila berlaku sesuatu kejadian di sekolah,” katanya. 

Beliau berkata, seorang peguam sudah dihubungi untuk membantu ibu bapa mangsa mengendalikan kes itu, 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan kes masih disiasat.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...