Tuesday, February 1, 2011

JPJ ronda laluan 'sakaratulmaut' di T'ganu

Jabatan Pengangkutan Jalan Terengganu (JPJ) akan melaksanakan rondaan 24 jam setiap hari sepanjang perayaan Tahun Baru Cina dengan tumpuan di laluan paling kerap berlaku kemalangan.

Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata tiga jalan utama yang dikenal pasti jalan sakaratulmaut ialah laluan Jerangau-Jabor-Kuala Terengganu-Marang-Dungun, Chukai-Paka-Marang dan Jerteh (Besut)-Kuala Terengganu.

"Operasi Tahun Baru Cina 2011 JPJ Terengganu yang melibatkan 109 anggota dan pegawai akan diadakan selama sebulan bermula 21 Jan lalu hingga 20 Februari ini," katanya kepada pemberita di majlis JPJ Bersama Media, di Kuala Terengganu. 

Menurutnya selain itu, kaedah penguatkuasaan juga dipelbagaikan termasuk penguatkuasaan di terminal bas dan penguatkuasaan secara penyamaran di dalam bas ekspres.

Katanya sebanyak 69 bas diperiksa di depoh syarikat bas di Terengganu.

Selain itu beberapa kesalahan dikesan sepanjang taktik penyamaran yang dimulakan dari 7 Jan hingga 26 Januari lalu termasuk ada kes pemandu bas ekspres yang tiada lesen memandu, katanya.

Sementara itu, 16 laluan di jalan persekutuan dan lebuh raya di Perak telah dikenal pasti sebagai kawasan yang sering berlaku kemalangan, terutama pada musim perayaan.

Exco kerajaan negeri, Datuk Ramly Zahari berkata antara jalan berkenaan ialah di Manjung (Batu 9), Km
15 Jalan Ipoh-Taiping (Kuala Kangsar), Km 12 Jalan Taiping-Sitiawan (Taiping), Km 195.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Kerian).

Turut tersenarai kawasan kemalangan ialah di Km 9 Leburaya Timur-Barat (Gerik), Km 70 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur (Tapah), Km 14 Jalan Teluk Intan-Hutan Melintang (Teluk Intan), Km 13 Jalan Pengkalan Hulu-Gerik, Km 32 Jalan Kampar-Ipoh (Kampar), Km 36.5 Ipoh-Sungai Siput (Sungai Siput), Km 117 Ipoh-Kuala Lumpur (Tanjung Malum), dan Km 10 Ipoh-Kuala Lumpur (Ipoh), katanya kepada pemberita, di Ipoh hari ini.

Beliau berkata sepanjang Ops Sikap sempena Tahun Baru Cina ini, seramai 400 anggota trafik bertugas di seluruh Perak dan sebahagian besar bertumpu di kawasan terbabit.

Ramly berkata secara amnya, kadar kemalangan jalan raya di negeri itu menunjukkan penurunan iaitu sepanjang tahun lepas 1,503 kemalangan berlaku membabitkan 27 kematian, berbanding 1,623 kes pada 2009 dengan 36 kematian.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...