Thursday, March 3, 2011

Keputusan pelik tuan rumah Sukan SEA

KUALA LUMPUR- 'Satu pembohongan besar'. Itu rumusan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) sejurus mengetahui keputusan penuh 18 acara basikal yang akan dipertandingkan di Sukan Sea 2011 di Indonesia hujung tahun ini.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab menegaskan Komite Olimpik Indonesia (KOI) dan Persatuan Berbasikal Indonesia (ICA) tidak melakukan sebarang rombakan semula terhadap acara membabitkan trek dan basikal bukit, sekali pun pada mesyuarat 25 Februari lalu.

Tambah melucukan, Indonesia menyenaraikan acara 10 kilometer perlumbaan mata lelaki elit dan 25km perlumbaan mata wanita, yang membayangkan sikap tidak jujur negara tuan rumah.

"KOI dan ICA bukan saja tidak menghormati tindakan ACC (Persatuan Berbasikal Asia) yang telah menghantar surat jawapan balas meminta agar mereka menyenarai semula acara bersesuaian dengan Kejohanan Sedunia.

"Misalnya dalam disiplin trek, mereka perlu senaraikan keirin dan 200 meter ujian masa individu.

"Bagaimanapun, Indonesia hanya senaraikan 10km scratch race, 4 km individual pursuit dan 10km perlumbaan mata.

"Sedangkan dalam surat asal kepada ACC, mereka minta nasihat daripada badan Asia itu. Namun setelah diberikan nasihat, mereka sama sekali tolak mentah-mentah pandangan ACC.

"Paling melucukan ialah apabila mereka adakan acara 10km perlumbaan mata untuk lelaki dan 25km perlumbaan mata untuk wanita.

"Adakah mereka ingin beritahu kita pelumba lelaki lemah berbanding pelumba wanita?. Saya benar-benar bingung dengan keputusan ini. Ia sangat melucukan," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...