Friday, April 1, 2011

Pilihan Raya DUN Sarawak: PAS Pertaruh Dua Calon Wanita

KUCHING: PAS Sarawak dijangka menyenaraikan dua calon wanita untuk bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu (N.3) dan Muara Tuang (N.15) pada pilihan raya negeri 16 April ini.
Perkara itu diumumkan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Adam Ahid ketika ditemui pemberita selepas sidang media berhubung kerusi yang akan ditandingi DAP dan PAS di sini malam Khamis.
"Pada pilihan raya kali ini, kami meletakkan dua calon wanita, seorang muda manakala seorang lagi sudah berkahwin. Kebetulan kami ada tokoh muslimat di situ malah seorang daripada mereka merupakan peguam.
"PAS pusat sudah merestui calon yang telah disenaraikan. Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dijangka datang pada hari penamaan calon untuk memberikan sokongan," katanya di sini.
Bagaimanapun, Adam enggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai calon yang disenaraikan, sebaliknya memberitahu nama lima calon itu hanya akan diumumkan di DUN masing-masing pada Isnin ini.
Selain DUN Tanjong Datu dan Muara Tuang, PAS turut menurunkan tiga calon untuk bertanding di Beting Maro, Sebuyau dan Sadong Jaya.
Sementara itu, beliau memberitahu, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mencapai kata sepakat untuk bertukar kerusi di DUN Senadin dengan DUN Sadong Jaya.
"Calon PAS di Senadin belum bersedia dan bukan beragama Islam. Jadi kami memutuskan untuk bertukar kerusi dengan PKR di Sadong Jaya. Kami sudah memaklumkan perkara tu kepada PAS pusat pada Khamis dan mereka sudah bersetuju," jelasnya.
Adam berkata, keyakinan mereka untuk bertanding pada pilihan raya negeri Sarawak ke-10 semakin menebal berbekalkan dua fokus iaitu menyampaikan perjuangan parti dan pada masa sama untuk berdakwah.
"Insy-Allah sekiranya mendapat sokongan, kami akan terlibat dalam arena politik. Kalau kalah, kami angggap ia sebagai dakwah," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan bertanding, Adam masih mengunci mulut dan memberitahu calon rasmi akan diketahui 4 April ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...