Friday, May 20, 2011

Simbah asid: Polis ada maklumat ‘tertentu’ - KPN

KUALA LUMPUR 20 Mei - Polis mempunyai maklumat ‘tertentu’ berhubung kes simbah cecair dipercayai asid yang dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang sejak Februari lepas, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.
Tanpa mendedahkan maklumat tersebut, Ismail berkata, polis melaksanakan langkah proaktif melibatkan dua pendekatan iaitu terbuka dan pengoperasian polis bagi menjejaki suspek kes simbah asid.

Melalui langkah terbuka katanya, maklumat kepada orang awam khususnya kaum wanita disebarkan supaya berhati-hati selain daripada usaha polis meningkatkan ”kewujudan” iaitu menambah bilangan anggota polis untuk mengawal di tempat-tempat tertentu.

"Sejak ada langkah proaktif ini, tiada lagi kejadian (terbaru), ini maksudnya ada kesan di sebalik langkah-langkah tersebut, dan kita tidak akan berdiam diri dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis serah terima tugas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Polis dilaporkan telah menerima 23 aduan membabitkan kes simbah asid setakat ini. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...