Tuesday, February 15, 2011

DUN Sarawak tidak akan dibubarkan minggu ini - Taib

KOTA SAMARAHAN 15 Feb. - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak akan dibubarkan minggu ini untuk memberi laluan bagi pilihan raya negeri.

Taib, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak berkata, adalah tidak benar yang beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng Jumaat ini untuk mendapatkan kebenaran bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri yang mempunyai 71 kerusi, yang penggalnya tamat Julai ini.

"Saya tidak tahu. Orang-orang ini boleh mereka-reka berita mengikut sesuka hati mereka tetapi saya tidak dapat sahkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan dan perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan dalam satu portal berita semalam yang memetik satu sumber di Astana Sarawak yang menyatakan telah dihubungi Pejabat Ketua Menteri pada minggu lepas untuk menetapkan 18 Februari sebagai tarikh perjumpaan dengan ketua negeri bagi tujuan itu. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...