Friday, March 25, 2011

Malaysia perlu wujud liga badminton: Chong Wei

BAGI memajukan sukan badminton tanah air, satu liga badminton perlu diwujudkan di negara ini. 

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei berkata dengan adanya liga berkenaan pemain akan lebih kompetitif. 

Menurutnya, beliau sendiri merasai perubahan selepas menyertai liga badminton di China dan Indonesia. 

“Banyak saya pelajari ketika beraksi dalam liga badminton China mahupun Indonesia. Semestinya banyak perbezaan antara liga Indonesia dan China. 

“Contohnya di China penontonnya lebih ramai dan pemain lebih agresif. Liga juga berlangsung selama empat bulan, berbanding Indonesia hanya satu minggu sahaja,” katanya selepas sidang media program amal Hope & Smile, di Kuala Lumpur, semalam.

Pada majlis berkenaan, Chong Wei yang bersimpati dengan nasib mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun berazam membantu mereka terlibat melalui program Hope & Smile. 

“Idea ini tercetus sebaik saja saya menonton siaran berita televisyen luar negara CNN ketika di Birmingham dan mahu menyumbang sesuatu kepada mereka. 

“Jadi selepas berbincang dengan perunding saya,mereka bersetuju untuk mengadakan perlawanan amal dan saya akan menjemput kawan baik saya Taufik Hidayat supaya orang ramai boleh datang sekali gus menyalurkan sumbangan mereka. 

“Bagaimanapun, Taufik masih belum memberi kata putus. Selain itu, saya juga akan menjemput rakan lain termasuk Hafiz Hashim bagi membantu menjayakan program ini. 

Majlis amal ‘Hope & Smile’ akan diadakan di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (Pisa) pada 2 April dan di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur (3 April). 

Chong Wei turut berbesar hati menyumbang dua raket, jersi hitam dan kuning serta sepasang kasut digunakan ketika menjuarai All England 13 Mac lalu pada acara lelong program amal itu. 

“Saya menyasarkan sebanyak RM1 juta dapat dikumpulkan. Hasil lelongan dan sumbangan akan disalurkan terus kepada mangsa gempa bumi dan tsunami melalui kedutaan Jepun di Malaysia,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...