Friday, June 27, 2008

Syabas Bincang Cadangan Kenaikan Tarif Air Di Lembah Klang

27 Jun, 2008 16:26 PM

SHAH ALAM, 27 Jun (Bernama) -- Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) sedang berbincang untuk mengemukakan cadangan kenaikan tarif air di Lembah Klang berikutan peningkatan kos yang dihadapi oleh syarikat pembekal air itu.

Pengerusi Eksekutif Syabas Tan Sri Rozali Ismail berkata syarikat itu perlu meneliti aspek seperti kenaikan kos barangan dan perkhidmatan berikutan kenaikan harga petrol dan diesel baru-baru ini dan impaknya terhadap harga air, sebelum menghantar cadangan itu kepada Kementerian Air, Tenaga dan Komunikasi.

"Kita sedang berbincang dengan semua pihak berkaitan mengenai impak semua kenaikan kos berkaitan seperti bekalan elektrik, kimia dan peralatan, dan sekarang kita juga sedang melihat kepada gaji (kakitangan) dan sebagainya.

"Sekarang ini adalah satu tempoh yang sukar," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung kali kedua Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAN) oleh Timbalan Menteri Air, Tenaga dan Komunikasi Datuk Joseph Salang Gandum di sini Ahad.

Ditanya mengenai kadar kenaikan yang dicadangkan itu, Rozali berkata :"Ini saya tak dapat sahkan kerana kami masih berbincang. Belum tahu lagi."

Sebelum ini, akhbar melaporkan pengguna air di Lembah Klang dijangka berhadapan dengan kenaikan sebanyak 37 peratus iaitu RM1.90 bagi setiap meter padu mulai tahun depan.

Pada masa ini, pengguna membayar 57 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama, RM1.03 setiap meter padu bagi 20 meter padu berikutnya dan RM2 bagi penggunaan melebihi 35 meter padu.

Tarif baru itu dijangka berkuatkuasa 1 Jan tahun depan iaitu kali kedua dalam tempoh hampir tiga tahun lepas, selepas tarif air dinaikkan 15 peratus bagi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa 1 Nov 2006.

Rozali berkata beliau yakin pengguna dapat menerima kenaikan tarif air kerana semasa Syabas mengambil alih pengurusan air di Selangor lima tahun lepas, industri air di negeri ketika itu berada dalam keadaan teruk.

"Kehilangan air tanpa hasil (NRW) hampir 45 peratus, kami buat pinjaman untuk bayar bil tertunggak RM4.5 bilion, orang ramai curi air. Sepanjang 6,000 km paip asbestos perlu diganti, paip pecah di sana sini.

Kami telah mengeluarkan banyak wang untuk membaiki keadaan, dan saya yakin pengguna faham.

"Dan sekarang, selepas lima tahun, kadar elektrik naik, kos bahan kimia naik dan semuanya naik. Kami harus imbangkan antara masalah yang kami hadapi, kenaikan kos 30-40 peratus dan harga yang akan dikenakan kepada pengguna," katanya.

-- BERNAMA

cardozas says:-


minyak dah naik, barangan semua naik, letrik pun dengar cerita nak naik ... ni air pun nak naik.

Najib Belum Cadang Bertanding Jawatan Presiden

27 Jun, 2008 02:20 AM

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak hari Khamis berkata beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan bertanding jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti Disember ini.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata belum tiba masa untuk beliau mengumumkan mengenai perkara itu.

"Saya akan buat ketetapan apabila sampai masanya, ada masa lagi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di sini Khamis malam.

Mengikut peraturan Umno, calon jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada keseluruhan bahagian Umno di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata parti itu membenarkan permohonan untuk keahlian parti dibuat melalui dalam talian (online) manakala pembayaran yuran juga boleh dibuat melalui sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).

Katanya keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang berlangsung lebih empat setengah jam di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dubnia Putra (PWTC) di sini.

Katanya keputusan itu adalah berdasarkan hasil laporan yang dikemukakan selepas Retreat MT Umno di Shah Alam 5 Jun lepas.

Bagaimanapun, katanya, tarikh pelaksanaan tersebut akan ditentukan kemudian.

Menjawab soalan, Abdullah berkata pembayaran yuran melalui SMS adalah sama seperti potongan bayaran yang dibuat apabila ada kempen seperti derma untuk sesuatu tujuan yang juga dibuat melalui kiriman SMS.

Beliau, yang juga Perdana Menteri, berkata MT juga memutuskan untuk membenarkan majlis-majlis seperti kenduri, berbuka puasa serta rumah terbuka diadakan semasa pemilihan parti itu.

Katanya ini kerana bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri akan berlangsung dalam jangka masa pemilihan Umno.

"Jadi MT berpendapat kita tidak mahu membuat keputusan-keputusan seperti dulu... tak boleh ada kenduri... tak boleh ada majlis itu dan majlis ini. Semangat Ramadhan perlulah dirai," katanya.

Abdullah berkata MT juga memutuskan bahawa mesyuarat peringkat Umno bahagian Arau ditunda sehingga selepas pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang.

Katanya Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim akan memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi ketika pilihan raya kecil DUN Sanglang nanti.

Abdullah berkata Najib sebagai Timbalan Presiden parti pula akan menjadi penyelaras ketika pilihanraya itu nanti.

"Ini prosedur... tiap-tiap kali pilihan raya kecil, siapa jadi pengerusi (Badan perhubungan) akan menjadi penggerak pada peringkat akar umbi di tempat berlakunya pilihan raya itu. Yang jadi penyelaras membantu seperti dari segi mobilasi siapa membuat kempen (dan sebagainya)," katanya.

Ditanya sama ada peranan yang diberi kepada Shahidan akan mencetuskan apa-apa kontroversi, Abdullah berkata: "Saya tidak fikir wujud masalah."

Pada 18 Jun lepas, Mahkamah Pilihan Raya di Perlis mengisytiharkan kerusi DUN Sanglang yang dimenangi oleh calon BN Abdullah Hassan pada plihan raya umum 8 Mac lalu dikosongkan.

Keputusan itu dibuat Zainal Adzam selepas menolak petisyen calon PAS, Hashim Jasin yang merupakan Pesuruhjaya PAS Perlis untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah calon yang menang di DUN Sanglang.

Pada pilihan raya umum itu, Abdullah menang dengan majoriti 149 undi setelah memperoleh 3,384 undi manakala Hashim pula memperoleh 3,235 undi.

-- BERNAMA

Thursday, June 26, 2008

Isa Samad Layak Bertanding Jika Bayar Yuran Tahunan

26 Jun, 2008 21:44 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Samad boleh menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan parti Disember ini dengan syarat beliau menjelaskan yuran tahunan.

Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan dan Peraturan Umno berkata Mohd Isa yang tamat tempoh penggantungannya 23 Jun lepas atas salah laku politik pada 2005, layak bertanding jika beliau membayar yuran tahunan sebelum 31 Disember 2007.

"Kalau (beliau) sudah bayar yuran tahunan sebelum tarikh tutup 31 Dis 2007 maknanya beliau jadi ahli di mesyuarat cawangan. Maka hak bertanding dan tawar diri itu boleh," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Menara Dato' Onn di sini.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengulas kenyataan Mohd Isa semalam yang mengumumkan akan bertanding pada pemilihan parti Disember ini dan tidak menolak kemungkinan untuk bertanding semula jawatan naib presiden yang dimenanginya tiga tahun lepas.

Muhyiddin berkata mesyuarat selama empat jam bermula pukul 3.30 petang dipengerusikan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi itu bagaimanapun tidak membincangkan secara spesifik sama ada Mohd Isa layak bertanding atau tidak.

Mohd Isa dilucutkan jawatan naib presiden umno yang dimenanginya pada pemilihan 2005 dan digantung keahlian selama dua penggal (enam tahun) bermula 24 Jun tahun sama, selepas didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin Umno kerana terlibat dalam politik wang, sebelum tempoh pengantungannya itu dikurangkan kepada tiga tahun selepas rayuan.

-- BERNAMA

PKR Selangor: Gelora tak sudah

Oleh NURUL AIN HUSSAIN, MSTAR
Rabu, 25 Jun 2008

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor kini sudah mula bergolak hanya kerana isu kepimpinan dan rebutan jawatan?

Berdasarkan perkembangan hari ini, mStar Online difahamkan sudah mula wujud keretakan dalam sokongan kepada kepimpinan PKR Selangor.
"Pihaknya memang ada meminta Khalid meletakkan jawatan itu kerana ia bercanggah dengan jawatan eksekutif sebagai Menteri Besar," dakwa MPT PKR, Dr Badrul Amin Bahron


Sejurus selepas kembali daripada menunaikan umrah petang ini, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menemui bekas pegawai petugas-petugas Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Sahri di satu lokasi yang dirahsiakan.

Yahya yang dihubungi lewat petang memberitahu mStar Online, beliau tidak akan menarik balik pendiriannya yang tidak percaya dengan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Selepas meletakkan jawatan sebagai pegawai petugas khas, saya akan tumpukan jentera parti sahaja.

"Hasil perbincangan saya dengan Anwar petang ini adalah positif," kata beliau sambil menambah, Anwar juga telah mengadakan pertemuan dengan Khalid selepas pertemuan itu.

Yahya yang digantung tugas selama dua bulan meletakkan jawatan melalui suratnya yang telah dikirim melalui faks kepada Khalid semalam.

Sementara itu, di pekarangan pejabat PKR di sini, kira-kira 17 Ketua Bahagian PKR Selangor hadir bagi menyerahkan tuntutan berkaitan rasa tidak puas hati mereka berhubung soal pengagihan jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri oleh Khalid.

“Tidak dinafikan bukan hanya masalah pengagihan jawatan yang dipertikaikan, tetapi mereka mahu kebajikan ahli-ahli PKR yang setia dengan parti sejak mula ia ditubuhkan dibela,” kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Dr. Badrul Amin Bahron ketika ditemui pemberita.

Badrul yang juga Ketua PKR Bahagian Sabak Bernam memberitahu, selepas pertemuan itu Anwar telah menemui Khalid bagi menyampaikan tuntutan dan hasrat ahli parti peringkat akar umbi.

“Kita cuma mahu hasrat ahli parti yang setia dengan perjuangan dibela... itu sahaja. Berilah mereka peluang untuk memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan negeri daripada memberikan jawatan tersebut kepada golongan profesional semata-mata.”

Tegas Badrul, setiap bahagian telah mencadangkan calon-calon yang dirasakan sesuai untuk jawatan dalam kerajaan negeri.

Malangnya, jelas beliau, hampir 80 peratus senarai calon yang dikemukakan telah ditolak Khalid.

“Perkara tersebut telah menimbulkan rasa tidak puas hati kerana Khalid meletakkan syarat hanya golongan profesional dengan kelayakan sekurang-kurangnya diploma dilantik.”

“Ini tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai kelayakan tetapi berjuang atas nama parti sejak 10 tahun lalu,” katanya.

Ketika ditanya sama ada tuntutan itu termasuk meminta Khalid meletak jawatan sebagai Ketua Perhubungan PKR Selangor, beliau memberitahu, pihaknya memang ada meminta Khalid meletakkan jawatan itu kerana ia bercanggah dengan jawatan eksekutif sebagai Menteri Besar.

klpos

Isa Berhasrat Bertanding Pada Pemilihan Umno Disember Ini

26 Jun, 2008 00:52 AM

PORT DICKSON, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Isa Samad mengumumkan bahawa beliau berhasrat bertanding pada pemilihan parti Disember ini.

Katanya beliau bagaimanapun belum memikirkan mana-mana jawatan yang akan ditandingi memandangkan perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

"Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan untuk bertanding pemilihan parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran anjuran UMNO Bahagian Teluk Kemang, Dewan Undangan Negeri Linggi dan Umno Cawangan Tanjung Agas Rabu malam.

Turut hadir ialah EXCO kerajaan negeri Datuk Ismail Taib dan anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang Azman Mohd Noor.

"Saya akan lihat dahulu dengan penyokong sebab kita kena lihat apa yang mereka mahu dan bukannya apa kita mahu," katanya.

Ketika ditanya jika beliau berhasrat untuk mendapatkan kembali jawatan Naib Presiden, Isa memberitahu perkara itu bergantung kepada kehendak para penyokongnya.

Beliau berkata dalam keadaan sekarang beliau perlu melihat situasi dan memerlukan sedikit masa lagi kerana baru sahaja menamatkan tempoh pergantungannya yang berakhir Isnin lepas.

"Sekali saya buat keputusan, saya tidak akan tarik diri," katanya.

-- BERNAMA

“Siasat dakwaan Raja Petra secara terperinci” Ayah Altantuya

KL: Dr Shaariibuu Setev, bapa kepada Altantuya Shaariibuu, meminta polis menjalankan penyiasatan terperinci terhadap dakwaan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang pembunuhan anak perempuannya itu ada kaitan dengan tiga individu.

Shaariibuu, 58, berkata polis patut mengkaji dakwaan Raja Petra itu secara serius kerana ia mungkin memberikan bukti baru kepada polis.

“Ini adalah sesuatu yang serius dan perlu diselesaikan segera oleh pihak berkuasa. Saya hanya mendapat tahu mengenai maklumat baru ini daripada akhbar.

“Saya meletakkan kepercayaan penuh kepada Polis Diraja Malaysia dan yakin dengan sistem kehakiman Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shaariibuu, dengan bantuan seorang penterjemah, berkata beliau akan berjumpa dengan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail esok bagi membincangkan sama ada akuan berkanun Raja Petra itu boleh dikemukakan sebagai barang bukti di mahkamah.

Beliau berkata kerajaan Mongolia dan rakyatnya telah mengikuti perbicaraan pembunuhan Altantuya sejak hari pertama dan mereka mengharapkan penghakiman yang adil.

Pendakwaan menutup perbicaraan kes pembunuhan Altantuya semalam dan penghujahan ditetapkan pada 23 Julai.

Semalam dilaporkan dalam media bahawa polis akan memanggil Raja Petra untuk menyoal siasat berhubung dakwaannya dalam akuan berkanun itu.

Dalam akuan itu, Raja Petra mendakwa tiga individu, termasuk seorang wanita, berada di tempat kejadian semasa penterjemah dan model sambilan Mongolia itu dibunuh pada Oktober 2006.

Dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) C/Insp Azilah Hadri dan Kpl Sirul Azhar Umar dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam, 19 Okt dan 1 pagi 20 Okt dua tahun lepas di Mukim Bukit Raja, Shah Alam. Penganalisis politik Abdul Razak Baginda tuduh bersubahat dengan mereka.

http://klpos.com

Satu lagi kes berebut mayat

Jun 25, 08 8:11pm

Satu lagi pertikaian tercetus antara keluarga seorang lelaki India yang mati membunuh diri, dengan pihak berkuasa agama Islam berhubung hak untuk mengkebumikannya.

Pihak berkuasa agama Islam berkata, Elangesvaran Benedict, yang meninggal dunia Ahad lalu, telah memeluk Islam dan mesti dikebumikan secara Islam.

Bagaimanapun, saudara lelakinya, Selvam berkata, Elangesvaran tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia telah memeluk Islam.

Oleh itu, mereka bertegas bahawa dia adalah penganut agama Hindu.

Mayatnya disimpan di sebuah hospital sehinggalah pertikaian tersebut selesai.

Kes tersebut adalah yang terbaru dalam siri perebutan mayat antara pihak keluarga dengan pihak berkuasa agama Islam.

Kerajaan telah mencadangkan satu peraturan baru ke atas mereka yang memeluk Islam, bagi mengelak berlaku perebutan seumpama itu yang turut mencetuskan ketegangan antara kaum di negara ini.

Dalam kes terbaru ini, Selvam telah meminta Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk menyelesaikan pertikaian berhubung status agama Elangesvaran.

“Bagi pihak keluarga, Elangesvaran tidak pernah memaklumkan kepada kami yang dia telah memeluk Islam,” katanya kepada pemberita hari ini.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesai secepat mungkin supaya kami dapat menuntut mayatnya dan mengkebumikannya mengikut agama Hindu,” katanya.

Selvam berkata, selepas laporan polis dibuat mengenai kematian Elangesvaran, keluarganya dimaklumkan bahawa mereka tidak boleh menuntut mayatnya kerana dia telah memeluk Islam dan akan dikebumikan menurut Islam.

Beliau berkata, keluarganya hanya diberi satu nota yang didakwa ditulis oleh Elangesvaran, menyatakan dia telah memeluk Islam, tetapi tidak mempunyai sebarang tandatangan atau cap jari Elangesvaran atau sebarang saksi.-AFP

http://www.malaysiakini.com

Kerajaan Belum Ada Calon Ganti Pengerusi SPR

26 Jun, 2008 17:25 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Kerajaan belum membuat sebarang cadangan mengenai calon untuk menggantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman selepas perkhidmatannya tamat hujung tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat bila tiba masanya nanti.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Permatang Pauh) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menimbang pelantikan seorang hakim dalam perkhidmatan menjadi pengerusi SPR selepas persaraan Abdul Rashid nanti.

Abdul Rashid yang bersara wajib pada 31 Dis lepas disambung perkhidmatannya selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2007 bagi membolehkan umur persaraan anggota SPR dilanjutkan daripada 65 kepada 66 tahun Disember lepas.

Beliau yang menyambut ulang tahun ke-65 pada 31 Dis lepas telah memegang jawatan pengerusi SPR sejak 2000. Sebelum itu beliau bertugas sebagai Setiausaha SPR dan berpengalaman menguruskan tujuh pilihan raya umum.

-- BERNAMA

Rebat tunai fasa kedua dilaksana mulai 1 Julai

26/06/2008 4:44pm

KUALA LUMPUR 26 Jun — Pemilik kenderaan persendirian, khususnya yang memperbaharui cukai jalan mulai I Jun lepas, boleh menuntut rebat tunai bahan api dalam fasa kedua pengagihan rebat tunai Pos Malaysia Berhad (PMB) yang dilaksanakan mulai 1 Julai ini.

Ketua Operasi PosNiaga, Atikah Ramli berkata kesemua pemilik yang layak mendapatkan rebat itu mempunyai pilihan sama ada datang sendiri ke pejabat pos atau melantik wakil bagi pihak mereka.

Katanya pemilik kenderaan yang mahu menuntut sendiri rebat berkenaan perlu mengisi borang Pos Akaun 1 dan membawa kad pengenalan atau kad polis/tentera bersama borang tuntutan untuk pengesahan di pejabat pos.

Bagi pemilik yang ingin melantik wakil, mereka dikehendaki mengisi maklumat pemilik kenderaan termasuk nombor telefon dengan jelas pada borang Pos Akaun 1.

“Selain membawa bersama kad pengenalan atau kad polis/tentera, mereka dikehendaki mengoyak bahagian bawah borang (Bahagian C) sebagai rujukan sebelum memasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat mengenai pembayaran rebat tunai kenderaan persendirian di sini hari ini.

- Bernama

ADUN BN pulau persidangan dewan negeri Perak

26/06/2008 2:55pm

IPOH 26 Jun — Kesemua 28 wakil Barisan Nasional (BN) hari ini bertindak memulaukan persidangan Dewan Undangan Negeri Perak kerana membantah keputusan Speaker yang tidak membenarkan seorang wakil mereka memulakan perbahasan.

Tindakan itu dilakukan sebelum perbahasan usul terima kasih titah Sultan Perak bersambung pada hari ketiga persidangan hari ini.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali mengetuai wakil BN keluar dewan pada kira-kira 10.35 pagi selepas Speaker S. Sivakumar memilih wakil lain memulakan perbahasan.

Sebelum itu itu Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin (BN-Kubu Gajah) telah bangun untuk memulakan perbahasan yang ditangguh petang semalam.

Sivakumar bagaimanapun memberi peluang berbahas kepada Chang Lih Kang (PKR-Teja) dan keputusannya itu menyebabkan berlaku pertikaman lidah dan bantahan daripada wakil-wakil BN.

Sebelum meninggalkan dewan, Tajol Rosli (BN-Pengkalan Hulu) memberitahu dewan bahawa semua wakil rakyat BN akan keluar daripada dewan sekiranya Kubu Gajah tidak diberi hak untuk meneruskan perbahasan.

Bercakap kepada pemberita di luar dewan, Tajol Rosli berkata Raja Ahmad Zainuddin sewajarnya diberikan peluang untuk menyambung perbahasan pada sesi hari ini selepas sesi perbahasan semalam ditangguhkan oleh Timbalan Yang Dipertua Hee Yit Foong kira-kira 7.10 malam.

“Semalam persidangan ditangguhkan pada 7.10 malam, maghrib masuk waktu 7.19 malam. Jadi apa nak tambah, setengah jam sahaja dan beliau (Timbalan Yang Dipertua) sudah berjanji mahu memberi Raja Ahmad Zainuddin berucap. Kalau beliau mahu tangguh sampai 9 malam, tidak ada masalah,” katanya.

Katanya, tindakan keluar dari dewan kerana Sivakumar tidak membenarkan Raja Ahmad Zainuddin berucap sebagai pembahas pertama.

Tajol Rosli berkata beliau hanya akan menghadiri persidangan itu pada esok hari iaitu semasa sesi penggulungan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Sidang kemudiannya diteruskan dengan wakil Teja memulakan perbahasan.

Setiausaha BN Perak Datuk Ramly Zahari (BN-Manong) berkata wakil-wakil BN hanya akan menyertai semula persidangan pada pagi esok.

Sementara itu ketika ditemui pemberita Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perkara 12 Perintah Tetap yang menyatakan bahawa mana-mana wakil rakyat yang mula-mula berdiri akan diberikan peluang untuk berucap.

“Saya ikut perintah tetap, siapa bangun dulu, dia akan berucap. Semalam ada 13 wakil rakyat yang berucap, 6 wakil rakyat BN diberi peluang. Adakah ia adil?

Hari ini saya rancang nak beri kerajaan dulu dan kemudian bagi pembangkang,” katanya.

Beliau juga turut berharap semua wakil rakyat BN menyertai semula persidangan itu.

- Bernama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...