Thursday, June 26, 2008

Isa Berhasrat Bertanding Pada Pemilihan Umno Disember Ini

26 Jun, 2008 00:52 AM

PORT DICKSON, 26 Jun (Bernama) -- Bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Isa Samad mengumumkan bahawa beliau berhasrat bertanding pada pemilihan parti Disember ini.

Katanya beliau bagaimanapun belum memikirkan mana-mana jawatan yang akan ditandingi memandangkan perkara itu masih terlalu awal untuk diputuskan.

"Masih terlalu awal untuk saya membuat keputusan untuk bertanding pemilihan parti," katanya kepada pemberita selepas Majlis Kesyukuran anjuran UMNO Bahagian Teluk Kemang, Dewan Undangan Negeri Linggi dan Umno Cawangan Tanjung Agas Rabu malam.

Turut hadir ialah EXCO kerajaan negeri Datuk Ismail Taib dan anggota Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang Azman Mohd Noor.

"Saya akan lihat dahulu dengan penyokong sebab kita kena lihat apa yang mereka mahu dan bukannya apa kita mahu," katanya.

Ketika ditanya jika beliau berhasrat untuk mendapatkan kembali jawatan Naib Presiden, Isa memberitahu perkara itu bergantung kepada kehendak para penyokongnya.

Beliau berkata dalam keadaan sekarang beliau perlu melihat situasi dan memerlukan sedikit masa lagi kerana baru sahaja menamatkan tempoh pergantungannya yang berakhir Isnin lepas.

"Sekali saya buat keputusan, saya tidak akan tarik diri," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...