Friday, August 1, 2008

Ptg Pauh 'agak sukar' bagi BN

MALAYSIA KINI
Jul 31, 08 10:35pm

Pengerusi BN Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mengakui Permatang Pauh kubu kuat PKR dan "pilihanraya kecil ini agak sukar bagi BN."

Koh, yang juga pemangku presiden Gerakan, berkata analisis BN telah meramalkan kira-kira sebulan yang lalu bahawa perkara ini akan berlaku.

Dalam kenyataannya kepada Bernama, bekas ketua menteri itu, menambah kerusi parlimen tersebut "memang merupakan kubu kuat Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memenangi kerusi itu pada 2004 walaupun ketika itu populariti BN berada di kemuncaknya."

"Memang telah djangka beliau akan memilih Permatang Pauh.

"Kerusi-kerusi lain yang disebut hanya satu taktik untuk mengelirukan. Pilihan raya kecil ini agak sukar bagi BN.

"Kami perlu berjuang dalam pilihan raya kecil ini dengan jujur, secara terhormat dan dengan penuh rendah hati. BN Pulau Pinang perlu melakukan yang terbaik.

"Hanya dengan cara itu kami akan mendapat penghormatan dan sokongan orang ramai," Koh dilaporkan berkata.

Sementara itu, setiausaha perhubungan Umno negeri Datuk Azhar Ibrahim berkata peluang calon BN memenangi kerusi itu adalah cerah berikutan rakyat telah sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan Pakatan Rakyat untuk membela nasib mereka.

"Insya Allah Umno boleh menang. Rakyat sekarang dah tengok sendiri macam mana Pakatan Rakyat mentadbir negeri ini dan mereka hanya pandai bercakap tetapi tidak membuat kerja," katanya, lapor agensi berita itu lagi.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata parti itu akan memberikan sokongan penuh kepada Anwar pada pilihan raya kecil itu kelak.

"Akhirnya Anwar memilih tempat yang sesuai untuk beliau dan sebelum inipun Anwar pernah bertanding di situ.

"Bagi saya, di mana sahaja Anwar bertanding, kami akan memberikan sokongan yang padu," kata Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Menurut Bernama lagi, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas lusa untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon dalam pilihanraya kecil itu.

Pengerusinya Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

"Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu," katanya seperti dilaporkan.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

"Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.

'Saiful tidak diperiksa berkaitan liwat'

MALAYSIA KINI

Abdul Rahim Sabri | Jul 30, 08

Hospital Pusrawi hari ini menjelaskan pegawai perubatannya Dr Mohamed Osman Abdul Hamid "tidak memeriksa Mohd Saiful Bukhari Azlan berkaitan dengan liwat".

"Dr Mohamed Osman pegawai perubatan Hospital Pusrawi tidak memeriksa pesakit berkenaan berkaitan dengan sodomi," kenyataan hospital itu dipetik.

Dalam kenyataan lima perenggannya, hospital itu juga berkata ia tidak pernah mengeluarkan secara rasmi dokumen pesakit berkenaan seperti yang diedarkan dengan meluas di internet sejak kelmarin.

Ia juga menyatakan Dr Mohamed Osman juga bukan seorang doktor pakar, tetapi seorang pegawai perubatan di klinik kemalangan dan kecemasan Hospital Pusrawi.

"Dr Mohamed Osman telah menasihatkan pesakit itu Mohd Saiful supaya diperiksa lanjut oleh doktor pakar di hospital kerajaan," kata hospital itu.

hospital pusrawi saiful bukhari sodomy allegations pc 300708 01"Tidak ada pemeriksaan dilakukan selanjutnya berkaitan dengan aduan sodomi."

Kebocoran laporan pemeriksaan tersebut dianggap oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam sebagai "bukti" bahawa dakwaan terhadapnya "tiada asas" dan "bermotifkan politik."

Dalam sidang media di hospital itu, pengurus besarnya Wan Mahmood Wan Yaacob (foto, kanan) tidak menolak kemungkinan salinan laporan itu sahih dengan berkata "ia kelihatan sama (dengan salinan asal)."

"Salinan asal ada dengan saya," katanya apabila ditanya beberapa kali kesahihan salinan yang kini disebarkan di internet sejak kelmarin. "Nampak sama tapi tidak sama."

Beliau menambah, Hospital Pusrawi sedang menjalankan siasatan dalaman berhubung kebocoran laporan tersebut.

"Tujuan siasatan dalaman, pertama sekali kita mahu sahkan apa yang yang dikeluarkan itu sama dengan apa yang ada pada kita.

"Kedua, kalau betul, kita hendak tengok siapa yang berkemungkinan membocorkan laporan sehingga menyebabkan maklumat tersebut dapat kepada pihak ketiga

saiful bukhari pusrawi hospitalWan Mahmood menjelaskan, doktor yang memeriksa Mohd Saiful kini sedang bercuti selama dua minggu dan dijangka kembali bertugas pada Isnin depan.

Dr Mohamed Osman, tambahnya, mula berkhidmat di Hospital Pusrawi awal tahun ini.

Pengarah perubatan Dr Kamaruddin Ahmad (foto, berbaju putih) di sidang media yang sama berkata Dr Mohamed Osman "seorang doktor yang baik" dan "kewibawaannya tidak dipertikaikan."

Jelasnya, Mohd Saiful pada mulanya mengadu mengalami masalah perut dan kesukaran membuang air besar.

Selepas diperiksa oleh seorang doktor wanita, kata Dr Kamaruddin lagi, pemuda itu diperiksa oleh Dr Mohamed Osman dan kemudian mengadu diliwat.

Menjelas lanjut isu tersebut, Wan Mahmood berkata terdapat dua gaya tulisan tangan di laporan pemeriksaan kesihatan Mohd Saiful kerana dua doktor terlibat.

"Memang ada dua tulisan. Dua tulisan ini saya difahamkan, tulisan pertama, pesakit datang dan hendak berjumpa dengan doktor. Dia dirujuk kepada doktor perempuan yang bertugas pada hari itu.

"Tetapi apabila doktor perempuan ambil kenyataannya (Mohd Saiful) sedikit, sudah tiba waktu untuk pemeriksaan selanjutnya, beliau serahkan kepada doktor lelaki (Dr Mohamed Osman)," katanya.

Rebat Tunai Boleh Dituntut Melalui Online

BERNAMA
31 Julai, 2008 22:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Rebat tunai bagi subsidi petrol yang diagihkan melalui Pos Malaysia Berhad (PMB) kini boleh dibuat melalui online.

Transaksi itu boleh diakses di www.posonline.com.my dan pilihan itu adalah bagi melengkapkan tuntutan rebat tunai yang ada sekarang yang boleh dibuat di semua pejabat pos di seluruh negara, kata Pos Malaysia dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Melalui online, pemilik kenderaan mempunyai pilihan untuk menerima tuntutan dalam bentuk kiriman tunai atau dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka, kata kenyataan itu.

Bagi kiriman wang, ia mengambil masa tujuh hari bekerja mulai daripada tarikh tuntutan itu dibuat bagi Pos Malaysia membuat penghantaran kepada alamat surat menyurat pemilik kenderaan.

Kenyataan itu berkata bagi mereka yang memilih rebat itu dimasukkan terus ke dalam akaun masing-masing, mereka akan menerima wang itu dalam tempoh tiga hari daripada tarikh tuntutan itu.

Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan bagi mengurangkan beban orang ramai berikutan kenaikan harga bahan api itu.

Pemilik kenderaan berkuasa 2000 cc ke bawah, pikap dan pacuan empat roda yang berkuasa 2500 cc ke bawah akan diberi rebat RM625 setahun namun, bagi pemilik motosikal berkuasa 250 cc ke bawah rebatnya RM150 setahun.

Pemilik kenderaan boleh membuat tuntutan rebat itu sehingga 31 Mac tahun depan.

-- BERNAMA

PKR Mahu Umno Letak Mohamad Ezam Tentang Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:55 PM

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta UMNO supaya meletakkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor menentang penasihat parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata UMNO patut meletakkan Mohamad Ezam bertanding di kawasan itu berikutan kesediaannya bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana kawasan Parlimen.

"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, katanya selepas majlis ramah mesra bersama media di sini hari ini.

Minggu lepas, Anwar membayangkan akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Anwar, 60, hari ini mengumumkan beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen kawasan itu berkuat kuasa hari ini.

Dr Wan Azizah, 55, yang juga Ketua Pembangkang di PArlimen adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili Anwar.

Di PULAU PINANG, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas Sabtu ini untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil itu.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu, "katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu juga cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.

-- BERNAMA

PAS, DAP Ikrar Bantu Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:25 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- PAS dan DAP menerima keputusan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding pada pilihan raya kecil di situ.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Anggota Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang berkata kedua-dua parti Pakatan Rakyat itu akan mengerahkan jentera parti masing-masing untuk memastikan kemenangan Anwar, yang juga Penasihat PKR.

Mereka mengakui telah dimaklumkan berhubung keputusan Dr Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang.

Dr Wan Azizah, 55, mengumumkan keputusannya pada persidangan akhbar di ibu pejabat PKR hari ini, yang turut dihadiri Anwar dan anaknya Nurul Izzah, Anggota Parlimen Lembah Pantai.

Ketua Penerangan PAS Pusat Mahfuz Omar menyifatkan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu adalah sesuatu yang baik dan bijak.

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Anggota Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalu-alukan keputusan yang dibuat oleh Dr Wan Azizah itu.

Kami juga mengalu-alukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya kepada Bernama.

Berhubung kekosongan jawatan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau berkata PR membincangkan sama ada kekosongan itu perlu diisi sebelum pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Mahfuz berkata Dr Wan Azizah telah menunjukkan ketokohan sebagai anggota Parlimen dan Ketua Pembangkang yang berwibawa.

Mahfuz, yang juga Anggota Parlimen Pokok Sena, yakin Anwar akan mendapat sokongan penduduk di Permatang Pauh.

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan," katanya.

"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh," kata Kit Siang ketika dihubungi.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohammad ketika ditanya mengenai tindakan Dr Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimen Permatang Pauh, berkata: "Sesungguhnya..., itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang."

Dr Mahathir berkata demikian pada satu sidang akhbar di pejabatnya di Menara Berkembar Petronas di sini hari ini.

Sementara itu di TUMPAT, Ketua Wanita MCA Datuk Dr Ng Yen Yen berkata tindakan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan Anggota Parlimen Permatang Pauh sebagai mengkhianati rakyat.

Ng, yang juga berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata tindakan itu dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

"Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Minda Insan di sini, hari ini.

Di PULAU PINANG, Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid juga sependapat dengan Ng.

"Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.

"Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tindakan Dr Wan Azizah itu adalah lambang kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.

Katanya perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.

"Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar)," katanya.

-- BERNAMA

Siasatan Kes Liwat Anwar Ibrahim Selesai: Syed Hamid

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:18 PM

PUTRAJAYA, 31 Julai (Bernama) -- Siasatan kes liwat melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim telah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya adalah menjadi prosedur pihak polis untuk menyerahkan kertas berikut kepada pejabat Peguam Negara sebaik sahaja proses siasatan selesai dilakukan.

"Saya difahamkan bahawa proses siasatan telah selesai, dan kertas itu telah diserahkan kepada pejabat Peguam Negara. Terpulang kepada pejabat Peguam Negara untuk menentukan bentuk dakwaan yang akan diambil," katanya.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata beliau tidak diberitahu mengenai isi kandungan kertas siasatan tersebut.

"Saya bukan pihak yang bertanggungjawab dengan siasatan itu, bagaimana saya boleh tahu. Sebagai menteri, saya tidak campur tangan dalam siasatan," katanya.

Mengulas ura-ura polis akan menahan Anwar hari ini, Syed Hamid berkata semua pihak hendaklah membiarkan perkara tersebut berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.

"Biarlah ia berlaku mengikut proses. Undang-undang kita menetapkan bahawa Anwar tidak bersalah sehingga beliau dibuktikan (bersalah). Tiada dakwaan setakat ini terhadapnya," katanya.

-- BERNAMA

Pemuda MIC Kembali Pulih, Kata Ketua Baru

BERNAMA
31 Julai, 2008 17:15 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Pemuda MIC, yang dilanda krisis kepimpinan sejak beberapa bulan lepas, kini sudah pulih selepas pelantikan penyandang jawatan di peringkat kebangsaan dan negeri, kata ketua barunya T. Mohan hari ini.

Katanya kesemua pemimpin baru Pemuda telah mengadakan mesyuarat exco pertama dan semua bersetuju untuk melupakan masalah yang melanda sayap MIC itu dan berusaha dengan semangat jitu untuk menjadikan pergerakan itu lebih relevan.

"Peranan pertama kita adalah untuk menarik kira-kira 5,000 ahli baru. Kita tidak lihat matlamat ini sukar dicapai. Kami juga mengadakan sesi percambahan idea di Cameron Highlands hujung minggu lepas dan maklum balas yang diterima amat menggalakkan.

"Kita akan mengadakan pejabat pentadbiran sendiri dan bilik latihan untuk melahirkan pemimpin muda di tingkat tujuh ibu pejabat MIC di sini," katanya pada sidang media di sini..

Mohan menjelaskan bahawa dengan pelantikan pemimpin Pemuda, Majlis Penasihat Pemuda MIC yang diketuai oleh bekas timbalan ketua Pemuda, S. Ramis akan terus memainkan peranan sebagai badan penasihat sayap itu.

Pemuda MIC dilanda krisis sejak beberapa bulan lepas selepas Jawatankuasa Kerja Pusat MIC (CWC), menasihatkan bekas pemimpin yang telah mencapai umur 41 supaya berundur dari memegang jawatan walaupun tempoh perkhidmatan mereka belum berakhir.

Keputusan tersebut menyebabkan beberapa pemimpin termasuk Ketua Pemudanya S. A. Vigneswaran meletakkan jawatan dan keluar parti.

Mohan juga berkata presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu telah bersetju dengan pelantikan pemegang jawatan dalam Pemuda kebangsaan dan peringkat negeri.

Sementara itu, Samy Vellu telah diberi taklimat oleh Yayasan Tekun Nasional mengenai skim pinjaman pembangunan usahawan muda kaum India berjumlah RM3 juta di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Usahawan muda diberi pinjaman antara RM500 hingga RM10,000. Peminjam perlu berusia di bawah 40 tahun serta mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat dan permohonan pinjaman akan diproses dalam tempoh 14 hari.

SENARAI PEMIMPIN PEMUDA KEBANGSAAN DAN NEGERI

----------------------------------------------

Pemuda MIC Kebangsaan:

Ketua: T.Mohan

Timbalan:S. Murugesan

Setiausaha: C. Shivarraaj

Penolong Setiausaha: R. Vengadasalam

Setiausaha Eksekutif: M. Nitesh

Bendahari: S. Ganesan

Ketua Penerangan: T.M.Selvam

Ketua Pemuda MIC Negeri:

M. Yogeswaran (Selangor), B. Pannier Selvam (Johor), S.K. Suresh (Kedah), M. Suresh (Pulau Pinang), G. Shanmugiavallo (Perak), G. Shanker (Kelantan), G. Padmanathan (Wilayah Persekutuan), P.Shanmugam (Melaka), K Murali (Negeri Sembilan), G. Ramesh (Pahang), Dr Hari Ram (Perlis), M. Taren Sunil (Sabah), P. Ramachandran (Terengganu).

-- BERNAMA

Thursday, July 31, 2008

Pilihan raya kecil hujung Ogos atau awal September?

mStar Online
31-07-2008 06:50:29 PM

Oleh G. MANIMARAN

BILA pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh? Ia bakal menjadi pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum ke-12 8 Mac lalu.

Selepas sembilan tahun menjadi wakil rakyat bagi menggantikan suaminya Datuk Seri
Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr. Wan Azizah
Wan Ismail mengosongkan kerusi itu demi suaminya.

Anwar telah menjadi wakil rakyat kerusi itu sejak 1982 sehingga 1999. Anwar menyertai Umno pada 1982. Pada 1998 beliau dipecat daripada kerajaan dan Umno.

Tiada pilihan raya kecil diadakan ketika itu, sebaliknya pengundi kawasan berkenaan memberi sokongan kepada Dr. Wan Azizah dalam pilihan raya tahun berikutnya dan disusuli 2004 dan 2008.

Undang-undang memerlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan wujud.

Berdasarkan kenyataan Dr. Wan Azizah beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen berkuat kuasa hari ini.

Justeru, bila pilihan raya akan diadakan?

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa "saya telah mengetahui secara informal" mengenai kekosongan tetapi masih menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sehingga dihubungi petang tadi, beliau belum menerima makluman secara rasmi.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu wujud tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Suruhanjaya itu akan mengambil kira pelbagai aspek sebagai pertimbangan apabila menentukan tarikh pilihan raya.

Ini termasuklah soal logistik dan sumber tenaga kerja untuk menguruskan pilihan raya.

"Perkara ini juga akan dibincangkan dengan Pengarah Pilihan Raya (Pulau Pinang), siapa pengurus pilihan raya.

"Ini di antara aspek yang perlu diteliti dalam menentukan tarikh yang sesuai," katanya.

Mengambil kira tempoh 60 hari daripada sekarang, Ramadan dijangka bermula 1 September.

Lazimnya pilihan raya kecil diadakan selepas dua hingga tiga minggu apabila sesuatu kekosongan wujud dengan diambil kira tempoh pengeluaran notis pilihan raya, tempoh minimum untuk penamaan calon dan tempoh minimum untuk berkempen.

Oleh itu pilihan raya kecil diadakan pada minggu terakhir Ogos? Ini perlu untuk mengelakkan kempen dan hari pengundian pada bulan puasa!

Ketika ditanya sama ada bulan Ramadan akan diambil kira dan pilihan raya akan dipercepatkan, Abdul Rahsid memberitahu:

"Bulan berpuasa tidak menjadi halangan. Kita pernah mengadakan pilihan raya pada bulan Ramadan sebelum ini."

Apakah kemungkinan pilihan raya kecil boleh jatuh awal September?

Permatang Pauh dikosongkan: Reaksi pelbagai pihak

mStar Online
31-07-2008 10:20:54 PM

REAKSI PELBAGAI PIHAK:

Keputusan Dr. Wan Azizah baik

"Saya difahamkan, keputusan yang beliau buat itu juga adalah bagi memenuhi janji yang dibuat pada pilihan raya lepas, untuk melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh dan memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.
"Kami anggota Pakatan Rakyat (PR) mengalualukan keputusan yang dibuat oleh Dr. Wan Azizah itu. Kami juga mengalualukan kemasukan kembali Anwar ke gelanggang politik khususnya untuk bertanding pada pilihan raya kecil Permatang Pauh."
- Ahli Parlimen Pokok Sena dan Ketua Penerangan PAS, Pusat Mahfuz Omar

Anwar bakal Ketua Pembangkang

"Kami berharap Anwar bukan sahaja akan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen, malah beliau juga akan menjadi Ketua Kerajaan.
"Kami akan memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh."
- Penasihat DAP, Kit Siang


Tindakan Dr. Wan Azizah diragui

“Saya tidak pasti dengan motifnya yang meletak jawatannya.
“Kita berhujah untuk meyakinkan rakyat untuk mengundi kita semasa pilihan raya umum akan tetapi hanya empat bulan selepas pilihanraya beliau telah meletak jawatan.
“Tindakan beliau boleh dikatakan telah mengecewakan penaruhan rakyat terhadapnya.”
- Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan

PAS sokong Anwar di Permatang Pauh

“Ya, saya amat bersetuju dan meyokong Datuk Seri Anwar bertanding (pilihan raya kecil).
“Kita akan tolong mana yang perlu agar kemenangan berpihak kepada kita (Pakatan Rakyat).”
- Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pengorbanan seorang isteri

"Sesungguhnya... itulah yang sebaik-baiknya dilakukan oleh seorang isteri penyayang."
- Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad

Wan Azizah khianati pengundi

"Tindakan ini dilihat sebagai mengkhianati amanah yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.
"Saya tidak terkejut dengan tindakan presiden PKR itu kerana sebelum ini pun kita sudah maklum beliau hanya pegang sementara untuk suaminya tetapi beliau sepatutnya menghormati mandat yang diberikan."
- Ketua Wanita MCA dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen

Khianati rakyat dan pembaziran

"Pengundi bersusah payah mengundi beliau tetapi dengan senangnya dia mengkhianati mereka. Bila dah menang, letak jawatan dan bagi pada suaminya pula bertanding.
"Tindakan sedemikian juga dilihat sebagai satu pembaziran kerana perbelanjaan untuk mengadakan pilihan raya kecil bukannya sedikit. Wang itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan."
- Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid

Lambang kasih dan cinta seorang isteri

"Perkara itu sudah lama dijangkakan berikutan tindakan Anwar sendiri yang sering membuat pengumuman bahawa beliau akan kembali bertanding pilihan raya.
"Itu menunjukkan kasih dan cinta seorang isteri kepada suaminya.. itu sangat bagus. Selamat maju jaya kepada beliau (Anwar)."
- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar

Umno patut letak Mohamad Ezam Mohd Nor di Permatang Pauh

"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak."
- Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim


PKR Pulau Pinang isytihar Anwar calon Permatang Pauh Sabtu ini

"Peluang untuk Anwar memenangi kerusi ini juga cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.
"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau. Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu."
- Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed

Azizah undur Anwar tanding, pilihan raya Permatang Pauh hujung Ogos?

mStar Online
31-07-2008 10:25:54 PM

Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN HUSSAIN

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang pernah disandangnya dari 1982 hingga 1999, dalam pilihan raya kecil yang bakal diadakan dalam 60 hari lagi.

Ia berikutan tindakan isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi itu berkuat kuasa hari ini.

Ia diumumkan pada sidang media di sini pukul 3.15 petang tadi.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Sehingga petang ini SPR belum menerima makluman secara rasmi.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu wujud tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Dr. Wan Azizah merupakan Ahli Parlimen kawasan itu sejak 1999 iaitu selepas Anwar dipecat daripada parti dan kerajaan setahun sebelum itu dan dihadapkan di mahkamah.

"Hari ini saya secara rasmi meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi membolehkan Datuk Seri Anwar bertanding dalam satu pilihan raya kecil diadakan secepat mungkin," kata Dr. Wan Azizah dengan ditemani suaminya di Ibu Pejabat PKR.

Dr. Wan Azizah merupakan Presiden PKR manakala Anwar pula penasihatnya.

Dengan keputusan itu, yang telah dijangkakan ramai, Dr. Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sejak April lalu secara automatik melepaskan jawatan tersebut.

Pada April lalu, Dr. Wan Azizah mencatatkan wanita pertama dilantik memegang jawatan tersebut dan ketua pembangkang pertama memegang jawatan bagi tempoh yang singkat.

Permatang Pauh dianggap sebagai kerusi yang selamat berdasarkan kepada keputusan pilihanraya umum 8 Mac lalu, Wan Azizah menang besar dengan majoriti 13,388 undi.

Beliau memperoleh 30,338 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari Umno, Datuk Pirdaus Ismail yang memperolehi 16,950 undi.

Wan Azizah mewakili kerusi Permatang Pauh selama tiga penggal. Dalam pilihanraya 2004, beliau menang tipis dengan majoriti 590 undi, juga menewaskan Datuk Pirdaus Ismail.

Baru-baru ini, Anwar telah menyatakan hasratnya untuk bertanding di beberapa kawasan Parlimen termasuk di Kulim Bandar Baharu, Bandar Tun Razak dan Lembah Pantai.

Kerusi Bandar Tun Razak diwakili oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Lembah Pantai pula anak mereka, Nurul Izzah dan Gombak pula diwakili oleh Naib Presiden PKR, Azmin Ali.

Ditanya mengapa beliau yang mengosong kerusinya untuk Anwar, Dr. Wan Azizah berkata, sejak dahulu lalu beliau bersedia berbuat demikian.

Jelas Dr. Wan Azizah, sejak dari mula-mula bertanding dahulu lagi, beliau sedia mengosong kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar.

Beliau juga berkata, keputusannya diambil setelah berbincang dengan keluarganya, dengan pemimpin PKR serta DAP dan PAS.

“Saya meraskan inilah masa yang terbaik bagi Anwar bertanding kerana di kawasan tersebut kami mendapat majoriti yang selesa,” kata Azizah dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Anwar berkata, beliau terharu dan terhutang budi kepada Dr. Wan Azizah.

"Selama ini Azizah telah memainkan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang yang cemerlang dan efektif," katanya sambil menambah keputusan tersebut bukan mudah untuk diambil.

Katanya, pemimpin PAS dan DAP telah menghubunginya dan menyokong penuh dengan tindakannya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh.

Menurut Anwar, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah menghantar wakil parti itu menghadiri sidang akhbar tersebut iaitu ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai

Sementara itu menurut Anwar, PAS tidak dapat menghantar wakil sebab mereka sedang bermesyuarat di pejabat agung parti tersebut.

Ditanya mengenai jawatan ketua pembangkang yang kosong selepas Dr. Wan Azizah mengosongkan kerusi Parlimennya, Anwar berkata:

“Kami akan berbincang mengenainya dan akan mengumukannya pada minggu depan.”

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut ditanya mengapa beliau tidak bertanding di kerusi Kulim-Bandar Baharu seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, Anwar berkata:

“Petisyen yang dikemukakan di kawasan Parlimen akan mengambil masa yang panjang untuk selesai.”

Ditanya adakah beliau bersedia menghadapi cabaran daripada bekas Setiausaha Politiknya, Ezam Mohd Nor jika Ezam dipilih oleh Umno, Anwar menjawab:

"Itu anda kena tanya Umno. saya tak tahu."

Anwar menjadi Ahli Parlimen Permatang Pauh sejak 1982 sebelum dipecat dari Kabinet dan Umno pada 1998.

Dalam pada itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman memberitahu mStar Online bahawa pihak "telah dimaklumkan secara informal" mengenai kekosongan tetapi menunggu makluman rasmi daripada Speaker Dewan Rakyat.

Kata beliau, SPR akan menentukan tarikh sesuai mengadakan pilihan raya kecil sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kekosongan itu secara rasmi.

Jelas beliau, pihaknya akan mengadakan pilihan raya kecil dalam tempoh 60 hari untuk mengisi kekosongan itu.

Ketika ditanya sama ada pilihan raya kecil akan diadakan meskipun kerusi itu dikosongkan atas 'kehendak sendiri', Abdul Rashid memberitahu, bagi pihaknya cara kekosongan itu tidak penting.

"Yang penting apabila ada kekosongan, kekosongan itu akan diisi (dengan diadakan pilihan raya kecil)," katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...