Friday, August 1, 2008

PKR Mahu Umno Letak Mohamad Ezam Tentang Anwar Di Permatang Pauh

BERNAMA
31 Julai, 2008 19:55 PM

SHAH ALAM, 31 Julai (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini meminta UMNO supaya meletakkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor menentang penasihat parti itu dalam pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata UMNO patut meletakkan Mohamad Ezam bertanding di kawasan itu berikutan kesediaannya bertanding menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana-mana kawasan Parlimen.

"Sebelum ini, Ezam dilaporkan sedia bertanding menentang Anwar yang mengumumkan akan bertanding di Parlimen Bandar Tun Razak, katanya selepas majlis ramah mesra bersama media di sini hari ini.

Minggu lepas, Anwar membayangkan akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Anwar, 60, hari ini mengumumkan beliau akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh apabila isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan sebagai Anggota Parlimen kawasan itu berkuat kuasa hari ini.

Dr Wan Azizah, 55, yang juga Ketua Pembangkang di PArlimen adalah wakil rakyat Permatang Pauh sejak 1999. Sebelum itu, kerusi itu diwakili Anwar.

Di PULAU PINANG, PKR negeri itu akan mengadakan satu majlis khas Sabtu ini untuk mengisytiharkan Anwar sebagai calon parti itu dalam pilihan raya kecil itu.

Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata Anwar dijangka membuat pengisytiharan itu selepas berceramah di hadapan penyokongnya di tapak Ekspo Seberang Jaya, malam itu.

Beberapa pemimpin Pakatan Rakyat juga dijangka menghadiri program itu, "katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Zahrain berkata, PKR hanya menunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengumumkan tarikh pilihan raya kecil itu sebelum menggerakkan kempen dan strategi yang telah diatur.

Katanya, peluang untuk Anwar memenangi kerusi itu juga cerah kerana kawasan itu memang merupakan kawasan beliau sejak 25 tahun lepas.

"Kalau Wan Azizah boleh menang pada pilihan raya lepas dengan majoriti lebih 13,000 undi, mengapa pula Anwar tidak boleh, sedangkan itu memang kawasan beliau.

Kita hanya nak lihat anggota Umno mana yang sanggup bertanding dengan Anwar. Itu yang kita dok tunggu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...