Sekumpulan penyokong Pakatan Rakyat telah menahan sebuah kereta daripada memasuki kawasan Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman di Batas Baru, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, kerana disyaki membawa pengundi hantu.
Timbalan Ketua PKR Terengganu, Razali Alias berkata kumpulan penyokong Pakatan itu menahan kereta tersebut pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.
Beliau berkata, kereta tersebut membawa tiga orang penumpang ketika hendak memasuki kawasan sekolah berkenaan.
Razali berkata, mereka menyerbu ke arah kereta itu ketika ia berhenti di pintu pagar sekolah, kerana ia membawa tiga orang penumpang.
Ditanya mengapa mereka menyerbu kereta tersebut, Razali berkata, mereka berbuat demikian kerana mengesyaki penumpang itu mungkin pengundi hantu.
"Kami terdengar pemandunya memberitahu pengawal di situ yang dia anggota polis dan menunjukkan kad kuasa polis," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tidak dibenar mengundi
Katanya, anggota polis itu juga memberitahu pengawal tersebut dan orang ramai di situ yang polis berhak membawa pengundi masuk untuk mengundi.
Selepas itu, kata Razali, kereta tersebut dibenarkan oleh pengawal itu masuk ke kawasan sekolah.
"Kami tidak dibenarkan masuk dan terus memerhati kereta dari luar pagar sekolah," jelas Razali.
Bila sampai di dalam, katanya, ketiga-tiga penumpang kereta tersebut bertemu dengan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas.
Bagaimanapun, kata Alias, pegawai kelihatan tidak membenar masuk ke bilik pengundian.
"Selepas kira-kira 30 minit, mereka beredar dari situ dengan menaiki kereta yang sama," katanya.
5.00 ptg Proses pengundian bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang bermula jam 8 pagi ini, ditutupkan tepat jam 5 petang ini.
4.30 ptg Sebanyak 76 peratus pemilih telah keluar mengundi sehingga jam 4 petang tadi.
4.00 ptgPengerusi Biro Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan beliau 'ditahan' skuad pemantau PAS kerana menyamar sebagai agen tempat mengundi. Berita mengenainya di siarkan dalam Harakahdaily.net hari ini, yang mendakwa Azeez ditahan ketika keluar dari tempat mengundi di SK Pusat Cabang Tiga. Ketika dihubungi Malaysiakini, Azeez berkata ia adalah satu fitnah kerana beliau sepanjang masa berada di pondok panas Tok Ku di DUN Bandar.Baca berita lanjut
2.45 ptg Dua jam lagi menjelang tamat tempoh mengundi pada jam 5 petang, petugas dan penyokong kedua-dua parti yang bertanding ramai semula. Pengundi mula mengundi selepas waktu makan tengahari. Bagaimanapun, jumlah mereka kurang daripada pagi tadi dan jalan-jalan juga agak lengang.
2.00 ptg Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil (Mafrel) menyifatkan jumlah 42 peratus pemilih yang telah mengundi sehingga tengahari tadi sebagai perkara biasa. Badan itu belum menerima sebarang laporan mengenai insiden tidak diingini berlaku sehingga ini, kata Pengarah Mafrel, Kol (B) Shahrudin Othman.
1.30 t/hariSatu pergaduhan kecil dilaporkan berlaku antara penyokong Umno dan Pakatan Rakyat di depan Sekolah Menengah Gong Kapas tengahari tadi. Baca berita lanjut.
1.00 t/hari Kemeriahan penyokong petugas BN dan PAS yang dari Terengganu jelas kelihatan di jalan dan tempat membuang undi. Menurut penduduk, pilihanraya umum lalu tidak semeriah hari ini. Penyokong PAS bertakbir dan berselamat, manakala penyokong BN melaungkan gelombang biru.
12.40 t/hari Di DUN Batu Buruk, PKR menyediakan sukarelawan untuk membawa pengundi ke pusat pengundian di sana. Menurut ketua bahagian PKR Batu Burok, Zarawi Embong berkata, keadaan seperti pesta apabila kedua belah pihak bersorak ria antara satu sama lain. 12 t/hariSemua saluran di SK Tengku Bariah mulai lengang jam 11.30 pagi tadi. Kawasan ini mempunyai lebih 3,000 pengundi dan merupakan antara pusat pengundian terbesar di DUN Ladang.
Suruhanjaya Pilihanraya Raya (SPR)berkata kira-kira 41 peratus pemilih telah keluar mengundi dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu sehingga jam 12 tengahari.
Sehingga jam 11 pagi tadi, kira-kira 30 peratus pemilihan telah keluar mengundi.
Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi ini. Seramai 80,229 pengundi layak mengundi dalam pilihanraya kecil hari ini.
Sehingga ini cuaca dilaporkan baik di seluruh kawasan Kuala Terengganu dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan sehingga ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menjangkakan 90 peratus daripada 80,229 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka.
Pengundi berdaftar itu turut melibatkan 1,302 undi pos daripada anggota polis dan tentera.
Manakala 6,000 anggota polis dilaporkan bertugas sepanjang pilihan raya kecil ini.
11.15 pagi Kesesakan teruk dilaporkan berlaku di Jalan Pasir Panjang, membabitkan lokasi tiga buah sekolah yang menjadi pusat mengundi Bukit Besar, Pasir Panjang dan Bukit Bayas.
11 pagi Kesesakan lalulintas dilaporkan berlaku kesesakan di sebelas pusat pembuangan undi di DUN Batu Burok, apabila orang ramai berkumpul untuk mengundi.Pengundian berjalan lancar.
10.30 pagiProses pengundian di kebanyakan pusat tempat di DUN Bandar dilaporkan perlahan. Keadaan lalulintas juga tidak sesak. Menurut pekerja PKR di situ, setakat ini semua berjalan lancar dan tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku.
9.50 pagiDi pusat pengundian di Dewan Tunku Abd Rahman, dalam DUN Bandar, di mana sebahagian besarnya pengundi Cina, ramai yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka pagi ini. Terdapat kira-kira 50 penyokong kedua parti di situ tetapi keadaan terkawal. 9.00 pagi Di SK Pusat Chabang Tiga station, kira-kira 100 penyokong PAS dan Umno berada di tepi jalan membawa sepanduk dan mengebar bendera parti masing-masing. Mereka saling melaung antara satu sama lain. Penyokong PAS melaungkan ' Allahu-akbar' dan dijawab oleh penyokong Umno dengan laungan "PAS kluk klek", "PAS bohong." 8.50 pagi Sekumpulan besar penyokong BN yang membawa bendera parti, mula berkumpul di luar SK Bukit Besar. Kedengaran laungan Allahu-akbar dan 'Hidup BN'. 8.30 pagi Keadaan cuaca dilaporkan baik di seluruh Kuala Tetangganu pagi ini. Anggota polis yang ramai kelihatan mengawal di luar beberapa pusat-pusat mengundi. 8.15 pagi Selepas mengundi Wan Farid memberitahu pemberita: "Insya-Allah, pengundi akan mengundi dengan bijak dan memilih kesinambungan melalui BN". 7.50 pagiCalon BN, Datuk Wan Ahmad Farid tiba untuk mengundi SK Bukit Besar. Beliau tiba bersama isterinya, Toh Puan Intan Baizura. Mereka mengundi pada jam 8.05 pagi. 7.45 pagicalon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut tiba di pusat pengundian di SK Pusat Chabang Tiga untuk mebuang undi. Beliau ditemani isterinya dan lima daripada sembilan orang anaknya. Mohd Abdul Wahid berkata beliau datang awal untuk menjadi orang pertama mengundi di situ.
Beberapa penyokong PAS menyuarakan rasa kesal mereka dengan tindakan pekerja BN yang didakwa mereka bersikap agresif dengan menarik tangan pengundi yang tiba untuk mengundi di Sekolah Menengan Bukit Losong dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam.
Mereka mendakwa, sebaik sahaja pengundi keluar kereta, penyokong BN itu terus memegang tangan mereka dan menunjukkan poster calon BN ke arah muka mereka.
Seorang penyokong PAS, Hanafiah Mat memberitahu Malaysiakini kejadian berlaku sejak jam 7.45 tadi dan berlarutan hingga sekarang.
Hanafiah berkata, penyokong BN terbabit dipercayai dari Kelantan.
"Kami nampak penyokong BN Terengganu tidak berbuat demikian," tambahnya.
Menurutnya, tindak tanduk penyokong BN telah menimbul kemarahan di kalangan pengundi berkenaan, tetapi tidak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Ini kerana, ada masanya, poster calon BN yang dipegang, hampir terkena muka pengundi," katanya.
Sementara itu, calon BN, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut antara yang terawal mengundi pagi ini.
Wan Ahmad Farid merupakan pengundi pertama mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar pada jam 8.02 pagi.
Beliau ditemani isterinya, Toh Puan Intan Baizura Abdul Wahab, yang turut mengundi di pusat yang sama.
Manakala calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut pula mengundi di Sekolah Kebangsaan Pusat Chabang Tiga jam 8.07 pagi.
Calon bebas Azharudin Mamat atau Adam bagaimanapun tidak mengundi di kawasan Parlimen itu kerana beliau merupakan pengundi berdaftar di Parlimen Petaling Jaya Utara.
Cuaca di sekitar Kuala Terengganu adalah baik dan pengundi dilihat sudah mula keluar ke tempat mengundi masing-masing untuk menunaikan tanggungjawab.
Sebanyak 143 saluran di 36 pusat mengundi dibuka mulai pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 80,229 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
Satu kekecohan kecil berlaku di sebuah hotel di Kuala Terengganu ekoran tersebar khabar yang mengatakan sebuah parti politik sedang mengedarkan wang tunai kepada pengundi.
Apabila Malaysiakini tiba di dewan bankuet hotel tersebut pada jam 5.30 petang, sekumpulan orang kelihatan sedang menulis nama dan nombor kad pengenalan mereka pada sekeping kertas.
Kira-kira 100 orang yang berada di dewan tersebut kelihatan tidak selesa dengan kehadiran para wartawan yang turut mengambil gambar, lalu menggesa yang lainnya berhenti menulis butiran diri mereka.
"Mengapa kamu masih tulis. Semua pegawai telah beredar," kata seorang wanita yang sudah berusia.
Apabila semakin ramai wartawan tiba di situ, seorang lelaki yang tidak dikenali terus mengambil 10 keping kertas yang mengandungi butiran diri orang ramai dan beredar dari situ.
"Saya akan tanya bos saya sama ada masih ada lagi wang untuk kita," kata lelaki tesebut lalu beredar, diikuti oleh yang lain-lainnya.
Kebanyakan mereka sudah berusia itu berkata, mereka datang ke situ untuk menghadiri satu jamuan pada jam 4 petang yang turut mempunyai ucapan politik.
Tidak seperti majlis politik yang lain, tidak kelihatan sebarang logo atau kain rentang parti yang dipasang di situ. Terdapat dakwaan yang bercanggah mengenai siapakah penganjurnya.
Antara mereka yang dikatakan berucap di majlis tersebut ialah seorang bekas menteri besar dari sebuah negeri di pantai barat Semenanjung.
Wartawan diberi wang
Ketika wartawan tiba, keadaan menjadi kecoh dengan ramai yang bercakap dengan kuat bahawa mereka telah ditipu dan tiada wang yang diedarkan.
Sesetengahnya turut mendakwa yang mereka yang datang lebih awal, telah memperolehi wang tersebut.
Dalam satu lagi perkembangan, wang tunai RM300 telah diedarkan kepada beberapa wartawan yang bertugas di pusat media Jabatan Penerangan di Kuala Terengganu.
Mereka terlebih dahulu diminta oleh seorang kakitangan pusat media itu, supaya menulis nama, pertubuhan media dan nombor telefon pada sekeping kertas, sebelum diberi sampul surat berwarna putih yang mengisi enam keping wang RM50.
Empat wartawan Malaysiakini turut menulis butiran diri mereka di kertas tersebut tanpa menyedari bahawa mereka akan diberi wang tersebut.
Bagaimanapun, kesemua mereka terus memulangkan wang tersebut kepada kakitangan pusat media tadi.
Kakitangan berkenaan bagaimanapun tidak dapat memberi jawapan apabila disoal dari siapa datangnya tersebut.
Sementara itu, wartawan Merdeka Review telah membuat laporan polis mengenai perakara itu di ibupejabat polis Kuala Terengganu jam 6.30 petang tadi.
Tertuduh pertama kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu, Cif Inspektor Azilah Hadri, hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam bahawa beliau tidak mempunyai niat untuk membunuh dan melenyapkan wanita Mongolia itu.
Azilah, 32, berkata dia dan tertuduh kedua Sirul Azhar Umar mengunjungi Hotel Malaya, tempat penginapan Altantuya, hanya bertujuan untuk menasihati wanita itu supaya tidak terus menganggu Abdul Razak Abdullah Baginda, lapor Bernama.
Mereka pergi ke Hotel Malaya pada 18 Oktober 2006 (sehari sebelum kejadian pembunuhan) hanya bertujuan untuk menasihati Altantuya secara lembut supaya tidak mengugut Abdul Razak dan tidak membuat kecoh di rumah penganalisis politik itu, katanya.
Azilah yang memberikan keterangan membela diri tidak bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah bahawa dia dan Sirul Azhar hanya menunggu masa dan tempat yang sesuai untuk menjalankan misi membunuh wanita itu.
Azilah dan Sirul Azhar,37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis, diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di Mukim Bukit Raja di sini antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokan harinya.
Abdul Razak, 48, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan dan dilepaskan daripada pertuduhan itu oleh mahkamah yang sama pada 31 Oktober tahun lalu tanpa dipanggil membela diri.
Kepada soalan Tun Abdul Majid adakah dia menerima upah atas perkhidmatan nasihat tersebut, Azilah berkata: "Tiada"
Tun Abdul Majid: "Bagaimana dengan perbelanjaan minyak kereta untuk meronda? Kamu guna perbelanjaan sendiri?"
Azilah: "Takkan itupun nak berkira?"
Tun Abdul Majid: "Jadi tiada upah?"
Azilah: "Tiada."
Tun Abdul Majid: "Jadi itu macam amal jariah sahajalah? Waktu itu bulan puasa kan?"
Kenyataan Tun Abdul Majid itu membuatkan semua orang yang berada di dalam mahkamah tertawa.
Azilah turut menafikan dia pernah memberitahu Abdul Razak bahawa dia boleh menyelesaikan masalah ugutan itu kerana pernah membunuh lebih daripada enam orang sebelum ini.
Azilah mengakui bahawa dia dan Sirul Azhar telah berada di Hotel Malaya pada sebelah petang 18 Okt 2006 (sepertimana rakaman cctv di Hotel Malaya) dan berlegar-legar di hadapan bilik 512 (bilik Altantuya) tetapi dia tidak mengetuk pintu kerana beranggapan akan menganggu privasi orang lain.
"Saya tidak mahu menganggu privasi orang kerana jika saya ketuk tapi tersilap orang, orang marah kita balik, kita kena hormat orang, lagipun bukan masalah kita, kita tolong sahaja," katanya.
Kepada soalan Tun Abul Majid mengapa dia tidak menelefon sahaja Altantuya (untuk beri nasihat), Azilah berkata:"Saya tak terfikir pulak."
Kenyataan Azilah itu ditempelak Tun Abdul Majid dengan berkata: "Kamu dengan "misi" hendak menasihati, tak nak ganggu privasi dan hormat orang, boleh kamu tak terfikir hendak telefon dulu?."
Azilah hanya menjawab: "Tidak terlintas pulak."
Terdahulu Azilah memberitahu dia langsung tidak tahu siapa nama perempuan dan lelaki Cina yang dimaksudkan oleh Abdul Razak dan dia bertindak mencari wanita itu hanya berdasarkan alamat hotel yang diberikan.
Tun Abdul Majid: "Jika kamu tidak tahu nama mereka bagaimana kamu hendak menasihati mereka?"
Azilah: "Boleh. Kita boleh panggil dia "hello brother" bagi lelaki, "hello sister" bagi perempuan."
Mengenai hubungannya dengan Sirul Azhar, Azilah berkata dia mula mengenali tertuduh kedua itu ketika bersama-sama berkhidmat dalam UTK empat tahun lalu dan dia sememangnya mempercayai Sirul Azhar untuk membantu dalam menyelesaikan masalah Abdul Razak.
Hari ini Azilah sekali lagi menegaskan bahawa tindakkannya membantu Abdul Razak adalah atas arahan DSP Musa Safri.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung Isnin.
Pelajar Universiti Malaya (UM) gempar awal pagi ini apabila kepala babi yang dibelah dua, ditemui diletakkan di atas bendera parti politik pembangkang, di dalam surau Akademi Pengajian Islam, UM di ibu negara.
Malaysiakini difahamkan bahawa kepala babi itu ditemui oleh salah seorang pelajar pro-Mahasiswa - Mohd Azlan Zainal - yang pergi ke surau tersebut, untuk menunaikan solat Subuh.
Sebelum itu, Mohd Azlan dan seorang lagi rakannya - Ahmad Shahir Md Shah - bertugas mengawal poster dan kain rentang kumpulan tersebut di sekitar kawasan berkenaan.
Ketika itu, katanya, terdapat beberapa orang pelajar yang tidur di dalam surau berkenaan tetapi tidak menyedari kepala babi tersebut diletakkan di situ.
Sebaik sahaja ternampak kepala babi yang diletak di atas bendera parti PAS, Mohd Azlan terus menghubungi pihak keselamatan Universiti Malaya dan pihak polis Brickfields untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Bagaimanapun, ketika ditemui wartawan, Mohd Azlan berkata beliau tidak percayai perbuatan itu dilakukan oleh mahasiswa di situ.
Sebaliknya, beliau mengesyaki ada pihak-pihak lain yang mahu mengganggu-gugat dan mahu memecahkan perpaduan mahasiswa.
Mohd Azlan berkata, pensyarah undang-undang Akademi Pengajian Islam, UM, Dr Ruzman Mohd Noor datang pada kira-kira jam 6 pagi.
"Dr Ruzman juga mengesyaki ada orang tertentu yang melakukan perbuatan tersebut," katanya.
Sebelum ini, mantan exco Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM sesi yang lalu, Mohd Hilman Nordin memberitahu Malaysiakini,kepala babi itu diletakkan di atas bendera parti PAS.
Juga terdapat tulisan PMI,PRO-M dan PAS pada bendera tersebut.
Di telinga babi terdapat tulisan nombor 872.
Katanya, pada kira-kira jam 7.30 pagi, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, datang ke surau tersebut, selepas dimaklum mengenai kejadian tersebut.
Mohd Hilman berkata, Dr Mohd Amin kemudiannya menasihatkan para pelajar supaya bersurai dan ke kuliah masing-masing.
Menurutnya lagi, kepala babi tersebut dilihat dimasukkan ke dalam kereta polis yang datang ke situ.
Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) mengadakan satu sidang akhbar pada jam 2.30 petang untuk mengecam perbuatan tersebut.
Sidang akhbar tersebut akan diadakan di depan surau terbabit.
Kampus UM kini hangat dengan kempen pilihanraya kampus yang menyaksikan pertembungan calon-calon kumpulan pro-Aspirasi dan pro-Mahasiswa. Pilihanraya kampus UM dijadual 19 Januari ini.
Sementara itu, Yang Dipertua PMIUM, Mohamad Haafizuddin Abi Rerah berkata, pada jam 8 pagi, pasukan forensik polis tiba di surau tersebut untuk menjalankan siasatan serta untuk mengesan cap jari.
"Kejadian itu mungkin berlaku antara jam 4 hingga 5 pagi tadi. Pada waktu itu, difahamkan terdapat beberapa aktivis pro-Mahasiswa sedang tidur di situ kerana keletihan berkempen. Mereka tidak sedar kejadian itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Mohamad berkata, kepala babi itu diletak di bahagian pintu surau yang jarang digunakan, dan terlindung di belakang sebatang tiang surau.
Serangan PAS terhadap calon BN yang didakwa meminggirkan bekas timbalan menteri pelajaran Datuk Razali Ismail di peringkat Umno bahagian Kuala Terengganu nampaknya membuahkan hasil.
Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, sebagai ketua bahagian itu selama dua penggal, dituduh tidak memberikan ruang kepada allahyarham, waktu itu ahli parlimen Kuala Terengganu, untuk mendapat sebarang kedudukan dalam Umno.
Anggota-anggota keluarga Razali dikatakan tidak senang dengan perkembangan itu dan suara-suara mereka berkumandang dalam kalangan Umno, termasuk para penyokong BN yang akan membuang undi, Sabtu ini.
PAS mendakwa Razali seorang ahli politik Umno yang baik, bersih dan profesional dalam tugasnya tetapi tidak dihargai oleh parti itu.
Susulan serangan tersebut, BN mengambil langkah drastik mendekati keluarga Razali dan cuba menampilkan imej bahawa ia tidak mengabaikan sumbangan tokoh besar pendidikan itu yang mula dibawa ke Dewan Rakyat sejak pilihanraya umum 2004.
Malam tadi timbalan perdana menteri dan juga ketua jentera BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu menghadiri majlis tahlil arwah di rumah keluarga Razali di Lorong Kenanga dalam DUN Batu Burok.
Datuk Seri Mohd Najib Razak diiringi oleh Menteri Pelajaran dan juga Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Calonnya sendiri Wan Ahmad Farid bagaimanapun tidak hadir di majlis tersebut.
Selain itu, Hishammuddin juga mengumumkan nama Razali akan diabadikan di sebuah maktab perguruan di utara bandar raya Kuala Terengganu dan sekolah menengah di kawasan parlimen ini.
Institut Perguruan Kuala Terengganu di Batu Rakit akan dikenali Institut Perguruan Dato' Razali Ismail dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di Kg Gong Tok Nasek ditukar kepada SMK Dato' Razali Ismail berkuatkuasa Jumaat ini, 24 jam sebelum hari pengundian 17 Januari ini.
Majlis perasmiannya dilaporkan akan disempurnakan oleh Najib.
Hishammuddin menafikan pengabadian nama tokoh pendidikan Terengganu ini bertujuan memancing undi kaum pendidik.
Mereka didakwa lebih senang menyokong BN jika pegawai kanan Jabatan Pelajaran Terengganu, Mohd Zuber Embong berdiri sebagai calon parti itu.
Kira-kira 5,000 guru bertugas di daerah ini tetapi difahamkan hanya lebih 3,000 orang akan menentukan nasib Wan Ahmad Farid dan pencabar dekatnya, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut, Sabtu ini.
Pilihanraya kecil parlimen ini turut disertai calon bebas, Azharudin Mamat @ Adam.
Selain itu, Najib kini sedang bergerak dari rumah ke rumah orang-orang PAS dalam usaha memastikan calon BN menambah jumlah undinya.
PAS juga menyifatkan BN terdesak apabila sanggup mengeluarkan risalah palsu Buletin Kuala yang terbitkan untuk mempromosikan Abdul Wahid dan mendedahkan isu-isu parti Islam.
Risalah palsu itu - meniru akhbar empat halaman bersaiz A3 yang diterbitkan oleh penerangan PAS - memuatkan berita-berita negatif seperti memaparkan foto Abdul Wahid tertidur di muka depan, penghakiman kes liwat penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh membantah hudud.
Dalam sidang media hariannya, timbalan pesuruhjaya PAS negeri Datuk Wan Abdul Mutalib Embong turut mendakwa pegawai pengurus pilihanraya kecil dan juga datuk bandar Kuala Terengganu menyeru 500 kakitangan majlis bandaraya mengundi BN dalam satu pertemuan pagi ini.
PAS, tambahnya , akan membuat laporan polis terhadap Datuk Mat Razali Kassim berhubung tindakannya itu dan mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggugurkannya.
Pesuruhjaya PAS Datuk Mustafa Ali pula mendakwa setiausaha kerajaan dan pegawai kewangan negeri telah bertemu beberapa kumpulan kakitangan Terengganu berperingkat-peringkat setiap hari bagi memastikan mereka mengundi Wan Ahmad Farid.
Sementara MCA pula menaburkan risalah (foto kiri) dan menerbitkan iklan di akhbar-akhbar utama Cina edisi pantai Timur dengan dakwaan Abdul Wahid - sewaktu menjadi exco negeri dalam kerajaan PAS antara 1999 hingga 2004 - memainkan peranan utama merobohkan sebuah kuil dekat Kampung Cina.
Bagaimanapun barisan pembangkang yakin PAS kini masih dahului BN. Sumber-sumber PKR meramalkan rakan kongsinya itu boleh mengatasi calon Umno dengan kelebihan 20 peratus.
Sementara akhbar web PAS Harakahdaily hari ini menjangkakan calonnya akan meraih majoriti sehingga 2,000 undi.
Mahkamah Majistret Kajang hari ini menolak permohonan pihak polis untuk mendapatkan perintah tahanan selama tujuh hari ke atas bekas pelajar Kolej New Era, Lim Ken Zhi yang didakwa menumbuk pengerusi kolej tersebut, dan memerintahkan dia dibebaskan jam 5 petang ini.
Ketika dihubungi, peguamnya KK Wong mengesahkan bahawa mahkamah telah memerintah pihak polis membebaskan Lim, 22, pada jam 5 petang ini.
Dan bekas pelajar itu telah dibebaskan pada jam 4.55 petang.
Tidak dapat dipastikan sama ada Lim akan didakwa kerana didakwa menyebabkan kecederaan ke atas pengerusi senat Kolej New Era, Yap Sin Tian, yang juga presiden kumpulan pendidik Cina, Dong Zong.
Timbalan ketua polis Kajang Toha Abdullah memberitahu pemberita bahawa Lim akan didakwa jika terdapat bukti yang mencukupi.
Beliau juga berkata, Lim telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Jika didapat bersalah, Lim boleh dijatuhkan hukuman penjara dan denda.
Selepas dibebaskan, Lim tidak menjawab sebarang soalan dari wartawan. Sebaliknya, Lim meminta segelas air.
Satu pasangan yang sudah berusia kelihatan di situ, dipercayai ibubapa Lim.
Ahad lalu, Lim, lulusan diploma dalam pengajian drama, telah menumbuk Yap sewaktu majlis konvokesyen, sehingga mengakibatkan Yap mengalami keretakan pada tulang pipi.
Foto insiden tersebut, yang dirakamkan dengan video, disiarkan oleh hampir kesemua akhbar utama pada hari berikutnya.
Hari penamaan calon pilihanraya kampus Universiti Malaya (UM) yang berlangsung hari ini dipanaskan dengan perang mulut kedua-dua pihak yang bertanding.
Menariknya, sahut-menyahut antara kumpulan pro-Mahasiswa dan pro-Aspirasi - kini dikenali sebagai Penggerak Mahasiswa - seolah-olah mewujudkan sebuah irama.
Kira-kira 150 penyokong pro-Mahasiswa yang berpakaian oren melaungkan slogan "hidup mahasiswa", "bantah rasuah", "Gerak rasuah", "bongkar rasuah", "hope and change" dan "yes, we can can".
Sementara itu, kumpulan Penggerak Mahasiswa yang berpakaian hitam menjawab dengan slogan "fitnah, fitnah, cakap lebih buat tak ada", "hapus fitnah", dan "hancur politik luar".
Mereka diasingkan kira-kira tujuh meter di antara bangunan Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Kompleks Perdana Siswa.
Penyokong kedua-dua kumpulan bertanding - sebahagian besarnya mahasiswi - sebelum itu berkumpul di dua tempat berasingan kira-kira 200 meter daripada tempat penamaan calon di kompleks berkenaan.
Sejak jam 8.30 pagi tadi, kumpulan pro-Mahasiswa berkumpul di padang fakulti kejuruteraan bertentangan dengan tasik Varsiti.
Mereka bergerak bergerak bersama calon ke tempat penamaan calon dan tiba kira-kira jam 9.40 pagi tadi.
Sementara itu, kumpulan Penggerak Mahasiswa berkumpul di tempat letak kenderaan di belakang Jabatan Kimia, Fakulti Kejuruteraan. Mereka bergerak dan sampai lebih awal ke tempat tersebut.
Calon-calon mereka sebaliknya tidak turut sampai dan hanya kelihatan memasuki bangunan tempat penamaan calon kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Apabila kesemua calon bertanding kedua-dua belah pihak masuk untuk mendaftar sebagai calon, penyokong masing-masing berhenti bersorak.
Pro-Mahasiswa kali ini menggunakan tema "Hope and Change" manakala Penggerak Mahasiswa mengekalkan temo tradisi mereka "UM is One".
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kemalangan di KM28 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur pukul 3.30 petang ini yang mengakibatkan tumpahan minyak kelapa sawit, menyebabkan gangguan bekalan air di lapan kawasan utama membabitkan 18,000 pengguna.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam satu kenyataan di sini berkata tumpahan minyak kelapa sawit itu mencemarkan sumber air mentah di Loji Rawatan Air Sungai Gombak.
"Syabas telah melakukan pengalihan bekalan air dari sumber yang lain bagi mengurangkan jumlah kawasan gangguan dan sedang giat melakukan kerja-kerja pemulihan bagi mengatasi pencemaran minyak kelapa sawit di muka sauk," kata kenyataan itu.
Antara kawasan yang terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa (UIA), British Malaysian Institute (BMI), Sekolah Menengah Teknik Gombak, Sekolah Menengah Integrasi Gombak, Tol Lebuhraya Karak, Sekolah Al-Amin Gombak, International Islamic School dan Stesen Minyak BHP Lebuhraya Karak.
Menurut kenyataan itu Syabas telah mengaturkan penghantaran air kecemasan menggunakan lori tangki ke lapan kawasan berkenaan bagi meringankan beban gangguan bekalan air kepada pengguna.
Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, selaku operator loji rawatan air di Sungai Gombak melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sungai yang tercemar.
Pengguna dinasihatkan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 untuk maklumat lanjut.