Sunday, May 24, 2009

EGM PPP: Lucutkan Kayveas, Murugiah Presiden baru

Ahad Mei 24, 2009

Murugiah: Ini tsunami politik PPP, sejarah baru tercipta

PRESIDEN BARU... Senator T. Murugiah (tengah) menjawab
soalan wartawan selepas dipilih sebagai Presiden PPP yang baru
pada Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar di Putrajaya hari ini.


PUTRAJAYA: Parti Progresif Penduduk (PPP), yang pernah dilanda krisis kepimpinan dua dekad lalu, kini kembali ke era lama apabila kumpulan penyokong Senator T. Murugiah, yang dipecat minggu lalu, memilih beliau sebagai Presiden baru parti itu hari ini.

Ia diputuskan pada Mesyuarat Agung Tahunan Tergempar (EGM).

Malah, EGM itu juga melucutkan Datuk M. Kayveas sebagai Presiden.

Ketika mesyuarat ini diadakan Kayveas dikatakan berada di Johor untuk merasmikan persidangan perwakilan negeri itu.

Ketika dihubungi Kayveas berkata, beliau tidak akan melayani 'resolusi' yang diluluskan oleh kumpulan tersebut.

"Beliau (Murugiah) boleh melakukan apa yang dia mahu tetapi kami masih menunggu rayuan (berhubung keputusan dilucutkan) beliau, yang perlu dikemukakan sebelum 30 Mei ini," kata beliau sambil menambah, EGM itu bercanggah dengan Akta Pertubuhan.

EGM yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula pukul 12 tengah hari dan berakhir dua jam kemudian.

Murugiah dibawa masuk ke dalaman dewan persidangan dengan iringan muzik dan diusung oleh penyokongnya sebaik sahaja usul pertama diluluskan oleh perwakilan.

Usul pertama menyebut tentang pembatalan keputusan memecat enam pemimpin PPP termasuk Murugiah minggu lalu.

Enam usul diluluskan EGM termasuk yang berkaitan dengan pemilihan Murugiah sebagai Presiden.

Lima usul yang lain ialah: - undi tidak percaya dan melucutkan Kayveas sebagai Presiden PPP

- memilih Murugiah sebagai Presiden

- undi tidak percaya terhadap kesemua Ahli Majlis Tertinggi, sekali gus memecat mereka

- memilih tiga Naib Presiden dan 22 Ahli Majlis Tertinggi yang baru

- membatalkan proses penamaan calon 30 Mei ini dan menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan dijadual pada 7 Jun ini

Kesemua usul diluluskan dengan ucapan mengecam kepimpinan Kayveas.

Selain memilih Murugiah, EGM juga memilih tiga Naib Presiden yang baru dan 22 AMT.

Pada 9 Mei lepas, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa terlibat dengan politik wang.

Ketika ditemui wartawan kemudian, Murugiah berkata, EGM hari ini dihadiri 1,760 perwakilan dari seluruh negara.

"EGM ini sah dan ikut undang-undang," kata Murugiah yang akan menemui Pendaftar Pertubuhan (ROS) esok untuk memaklumkan perkembangan dan hasil EGM.

Beliau juga mahu menemui Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak untuk memaklumkan perkembangan baru ini.

Sambil menyifatkan perkembangan hari ini sebagai "tsunami politik PPP", Murugiah berkata, beliau juga sudah menerima pengesahan ROS yang cawangannya, Sg. Parit Tower di Perak sudah dihidupkan semula.

"Saya menerima surat daripada ROS Jumaat lalu," katanya.

Bagaimanapun Murugiah kelihatan "beremosi" apabila ditanya soalan sama ada PPP kini mempunyai dua orang presiden.

"Kayveas sudah dilucutkan tadi dan perwakilan memilih saya... ini keputusan perwakilan," kata beliau yang turut menegaskan, notis secukupnya telah dikeluarkan untuk mengadakan EGM hari ini.

Kata Murugiah, beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenainya dan menyerahkan kepada peguamnya dan ROS.

Kata Murugiah, EGM dianjurkan oleh perwakilan dan beliau hanya dijemput hadir, sekali gus dipilih sebagai Presiden PPP yang baru.

Terdahulu dalam ucapannya sebagai Presiden baru, Murugiah berkata, beliau akan kembali menjalin hubungan baik dengan parti-parti komponen BN.

"Saya akan mengadakan kunjungan hormat menemui pemimpin parti-parti komponen BN tidak lama lagi," katanya.

Malah jelas Murugiah, di bawah kepimpinannya PPP juga tidak akan mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan keluar BN.

Hari ini beliau turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Agung, Bendahari Agung, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri serta pengerusi perhubungan negeri PPP.

FORMULA 1 GRAND PRIX DE MONACO 2009

Pos No Driver Team Laps Time/Retired Grid Pts
1 22 Jenson Button Brawn-Mercedes 78 Winner 1 10
2 23 Rubens Barrichello Brawn-Mercedes 78 +7.6 secs 3 8
3 4 Kimi Räikkönen Ferrari 78 +13.4 secs 2 6
4 3 Felipe Massa Ferrari 78 +15.1 secs 5 5
5 14 Mark Webber RBR-Renault 78 +15.7 secs 8 4
6 16 Nico Rosberg Williams-Toyota 78 +33.5 secs 6 3
7 7 Fernando Alonso Renault 78 +37.8 secs 9 2
8 11 Sebastien Bourdais STR-Ferrari 78 +63.1 secs 14 1
9 21 Giancarlo Fisichella Force India-Mercedes 78 +65.0 secs 13
10 10 Timo Glock Toyota 77 +1 Lap 19
11 6 Nick Heidfeld BMW Sauber 77 +1 Lap 16
12 1 Lewis Hamilton McLaren-Mercedes 77 +1 Lap 20
13 9 Jarno Trulli Toyota 77 +1 Lap 18
14 20 Adrian Sutil Force India-Mercedes 77 +1 Lap 15
15 17 Kazuki Nakajima Williams-Toyota 76 +2 Laps 10
Ret 2 Heikki Kovalainen McLaren-Mercedes 51 +27 Laps 7
Ret 5 Robert Kubica BMW Sauber 28 +50 Laps 17
Ret 15 Sebastian Vettel RBR-Renault 15 +63 Laps 4
Ret 8 Nelsinho Piquet Renault 10 +68 Laps 12
Ret 12 Sebastien Buemi STR-Ferrari 10 +68 Laps 11

Saturday, May 23, 2009

Sultan Kelantan stabil, jalani rawatan lanjut di Singapura

KOTA BHARU 23 Mei — Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas mengalami masalah jantung dan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak 14 Mei lepas.

Pengarah HUSM Dr Zaidun Kamari berkata walaupun stabil, keadaan baginda masih belum pulih sepenuhnya dan akan ke Hospital Mt. Elizabeth, Singapura bagi menerima rawatan lanjut.

Dalam satu kenyataan hari ini, Dr Zaidun berkata Sultan Kelantan pada mulanya dimasukkan ke HUSM setelah baginda mengadu mengalami masalah pernafasan tetapi setelah diberikan rawatan, baginda didapati mengalami sakit jantung.

Baginda dirawat oleh sepasukan pakar dari HUSM, Hospital Raja Perempuan Zainab II, Institut Jantung Negara dan Hospital Mt. Elizabeth, katanya.

— BERNAMA

Pilihan raya kecil Penanti saksikan pertandingan empat penjuru

BUKIT MERTAJAM 23 Mei — Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara seorang calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan tiga calon bebas.

Selepas satu jam tempoh bantahan, Pegawai Pengurus pilihan raya Roslan Yahaya mengumumkan hanya empat calon akan bertanding pada hari pengundian 31 Mei ini manakala pencalonan seorang lagi calon bebas ditolak.

Empat calon itu ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, bekas Ketua Wanita Parti Keadilan Nasional (KeAdilan) Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56, Pengurus syarikat yang juga bekas Ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti di sini, Nai-Khan Ari a/l Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman itu di pusat penamaan calon di Dewan Perdana Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Jalan Berapit di sini, beliau berkata kertas pencalonan ahli perniagaan Mohd Saberi Othman, 49, ditolak berikutan tidak menepati syarat ditetapkan.

Sebanyak enam bantahan diterima setelah tempoh bantahan ditutup pada kira-kira pukul 11 pagi ini. Bagaimanapun, tiada penjelasan mengenai bentuk bantahan.

- BERNAMA

Lima tawar diri tawan Penanti - MalaysiaKini

May 23, 09 10:08am

Selepas tempoh penamaan calon tamat jam 10 pagi ini, lima orang termasuk calon PKR Mansor Othman kini sedang menunggu proses bantahan.

Jika tiada sebarang penolakan, kelima-lima mereka akan bertarung menghadapi pilihanraya kecil DUN Penanti.

Friday, May 22, 2009

MP wanita PAS dakwa menteri kurang sopan - MalaysiaKini

Muda Mohd Noor | May 22, 09 11:28am

Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin didakwa mengeluarkan kata-kata kurang sopan yang bersifat "gangguan seksual" terhadap ahli parlimen wanita PAS semalam.

Menurut Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali - ahli parlimen Titiwangsa - pemimpin Umno itu berkata kepadanya:

"Saya turun setiap tempat, takkan nak beritahu awak semua. Ini saya nak pergi tandas, takkan nak beritahu awak, awak nak ikut ke?"

dr loloMenulis dalam blognya hari ini, ahli jawatankuasa pusat PAS itu mendakwa kata-kata tersebut diucapkan oleh Raja Nong Chik sewaktu lawatan mengejut menteri baru itu ke sebuah pasar baru di Kampung Datuk Keramat petang semalam.

"Sebagai seorang wanita yang terhormat, seorang Wanita Islam yang menjaga sahsiah diri, saya merasa terhina dan tidak dapat menerima kata-kata tersebut keluar dari mulut seorang menteri, lebih-lebih lagi saya seorang wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat," kata Dr Lo' Lo' lagi.

"Ada ramai rakan-rakan yang berpendapat ini satu bentuk gangguan seksual walau pun tidak berapa jelas tujuan dan maksud kata-kata tersebut dikeluarkan."

Dalam sidang media pagi ini, Dr Lo' Lo' menjelaskan bahawa Raja Nong Chik telah memohon maaf kepadanya secara peribadi semalam.

Bagaimanapun beliau mahu menteri berkenaan berbuat demikian secara terbuka kerana ramai orang mendengar kata-kata tersebut.

Ahli parlimen Titiwangsa juga mempertikaikan program semalam sebagai "lawatan mengejut" kerana terdapat aturcara lengkap bersama pegawai kanan kementerian, datuk bandar Kuala Lumpur dan pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Persatuan peniaga Wilayah Persekutuan cawangan Pasar Datuk Keramat juga diwakili oleh semua ahli jawatankuasa, dan yang paling menonjol adalah kehadiran ketua bahagian Umno Titiwangsa bersama timbalannya, ahli jawatankuasa, Wanita dan Pemuda Umno," kata Dr Lo' Lo' lagi.

"Ketua bahagian Umno Titiwangsa diberi tempat istimewa sebelah menteri sepanjang majlis tersebut."

Selain mempertikai Raja Nong Chik, wakil rakyat PAS itu memuji bekas menteri berkenaan Datuk Seri Zulhasnan Rafique yang disifatkannya "jauh lebih matang, berhemah dan sering bersikap prpfesional" terhadap beliau dan ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat di Wilayah Persekutuan.

Di Kuala Lumpur, pembangkang menguasai 10 kerusi parlimen daripada 11 kawasan. BN hanya menang di Setiawangsa yang disandang oleh Zulhasnan.

Shaari: Mengapa saya keluar Umno - MalaysiaKini

Abdul Rahim Sabri | May 22, 09 5:47pm

Bekas ahli jawatankuasa bahagian Kangar, Shaari Ludin berkata beliau meninggal Umno untuk menyertai PKR dua bulan lalu, kerana mahu menyedarkan kepimpinan Umno tentang kelemahan parti itu sekarang.

Beliau juga turut menyalahkan kepimpinan tertinggi Umno yang didakwanya 'lari dari matlamat perjuangan asal Umno" sehingga mendorong beliau beralih kepada pembangkang.

"Saya nak beri 'getaran' kepada Umno, bahawa saya dapat menarik ramai ahli parti itu untuk turut serta masuk PKR, supaya mereka sedar kelemahan diri.

"Saya sudah lama dalam Umno, saya masuk PKR, sebab kepimpinan Umno sudah jauh menyimpang.

"Kepimpinan tertinggi Umno telah lari dari matlamat perjuangan asal Umno sendiri," kata Shaari ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilapor mengesahkan terdapat ahli Umno di negeri itu yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti itu sejak bulan lalu.

Menurut Shaari lagi, beliau menyertai PKR atas kerelaan beliau sendiri dan diikuti oleh ahli-ahli Umno yang lain, yang juga tidak puashati dengan parti itu sekarang.

Boleh cecah 1,000 orang

Seingatnya, kata Shaari, sehingga bulan April lalu, 500 hingga 600 ahli Umno sudah menyertai PKR.

"Kesemua mereka adalah penduduk di DUN Kuala Perlis yang terdiri daripada kaum Melayu dan Cina," tambahnya.

DUN Kuala Perlis terletak dalam Parlimen Kangar. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu adalah ketua Umno bahagian Kangar.

"Saya bukan tarik mereka (menyertai PKR), saya masuk atas kehendak diri sendiri.

"Mereka ramai-ramai minta borang (keahlian PKR)," katanya sambil menambah jumlah tersebut boleh mencecah 1,000 orang.

Ditanya sama ada beliau menerima sebarang ugutan atau sabotaj selepas menyertai PKR, Shaari berkata:

"Tidak ada sebarang sabotaj sebab saya orang bukan orang kuat dalam Umno. Bagi mereka (Umno) saya tak ada apa-apa. Bagi mereka saya orang kecil," katanya.

Gagal dapat hakmilik

Shaari juga mendakwa penduduk di Kuala Perlis terutama di Kampung Seberang Tok Pi yang pernah memohon hakmilik tanah daripada kerajaan negeri, kecewa kerana sehingga hari ini belum diluluskan.

Sebelum ini, katanya penduduk di kampung tersebut pernah kehilangan tempat kediaman dalam dua kebakaran sebelum ini.

"Sekarang ini penduduk kampung tinggal di rumah yang didirikan di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Ia rumah kayu seperti rumah panjang yang dikenali sebagai rumah pelangi.

"Bekas tapak tanah mereka telah dibangunkan, jadi mereka tak ada harapan nak pulang (ke situ).

"Di mana mereka nak tinggal jika JPS ambil balik tanah itu?" soal Shaari.

Semalam Pengerusi Perhubungan PKR Perlis, Johari Shafie dilaporkan sebagai berkata memang terdapat ahli Umno, yang memohon borang keahlian untuk menyertai parti tersebut sejak bulan lalu.

Katanya, kebanyakan mereka dari bahagian Kangar, terutama di DUN Kuala Perlis dan setakat ini pihaknya sudah menerima hampir 200 borang keahlian.

Manakala mantan menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan berkata mereka yang menyertai PKR termasuk ketua cawangan dan bekas ketua cawangan Umno di Perlis yang tidak puas hati dengan tindakan kerajaan negeri membuang mereka dari jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK).

Pemecatan ahli JKKK itu berlaku di Pauh, Kuala Perlis, Titi Tinggi, Santan, Mata Air dan Beseri.

Mahkamah Rayuan isytihar Zambry MB sah

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini diisytihar sebagai Menteri Besar Perak yang sah oleh Mahkamah Rayuan dalam satu keputusan sebulat suara.

Mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lalu bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar yang sah adalah salah, dan mengetepikan keputusan itu.

"Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan telah gagal menilai dengan betul dan secukupnya kesemua keterangan yang ada padanya sehingga membuat keputusan yang salah," kata Hakim Datuk Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Datuk Zainun Ali dan Hakim Datuk Ahmad Maarop.

ADUN PAS meninggal dunia

May 22, 09 8:11am

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut - bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.


Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Thursday, May 21, 2009

Ibu, anak, pembantu rumah dibunuh kejam


Suami mangsa, Jafri Tajol Aripin (kanan) memeluk anaknya di Taman Pinji Seni, Ipoh, semalam. - UTUSAN/HANAFI KHAMIS


IPOH 20 Mei - Kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang penagih dadah yang terdesak mahu mendapatkan wang sanggup menikam mati seorang pengusaha salon bersama anak lelaki berusia lima tahun dan pembantu rumahnya dalam rompakan di sebuah rumah di Taman Pinji Seni, di sini hari ini.

Penjenayah kejam itu bagaimanapun tidak sempat melarikan sebuah komputer riba yang diambilnya dari rumah mangsa kerana berjaya ditangkap oleh orang ramai yang kebetulan melalui tempat kejadian dan menyedari rompakan tersebut.

Mayat mangsa, Mah Yah Matzi, 42, ditemui berlumuran darah di ruang tamu manakala mayat anaknya, Ermin Denish dan pembantu rumahnya dikenali sebagai Dani, 20-an, ditemui dalam bilik mandi pada pukul 2.45 petang oleh suami Mah Yah, Jafri Tajol Aripin, 47.

Difahamkan, Mah Yah telah diekori oleh perompak terbabit selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di Gunung Rapat dekat sini sehingga ke rumahnya.

Sebelum dibunuh, mangsa dikatakan sedang berbual melalui telefon dengan Jafri yang bekerja sebagai pegawai kutipan di sebuah bank di Medan Gopeng yang terletak kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

Suami mangsa kemudian bergegas pulang ke rumah apabila tiba-tiba mendengar isterinya menjerit ketakutan kerana terserempak dengan perompak tersebut.

Pada masa sama, dua rakan Jafri yang kebetulan melalui kawasan rumahnya dan menyedari kejadian itu segera menangkap suspek lalu mengikatnya dengan getah paip sebelum menghubungi polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu pukul 2.45 petang pada mulanya menyangka berlaku pergaduhan di rumah tersebut.

''Polis mulanya ingatkan berlaku kejadian pergaduhan di tempat kejadian tetapi apabila sampai, mendapati ia adalah kes rompakan dan pembunuhan.

''Siasatan menemui satu mayat di ruang tamu dan dua mayat di bilik air dalam rumah berkenaan,'' katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata, suspek berusia 26 tahun kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami kecederaan dalam pergelutan ketika ditangkap.

Katanya, siasatan mendapati lelaki itu merupakan penagih dadah dan mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu mencuri.

Tambahnya, dalam kejadian itu, suspek telah mengambil sebuah komputer riba tetapi tidak sempat melarikannya.

''Kita menemui sebuah beg hitam mengandungi komputer riba dari mangsa dan sebilah pisau serta motosikal milik suspek,'' katanya sambil memberitahu lelaki itu akan ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...