Monday, June 15, 2009

Tindakan jerit, pakai lilitan "Bubar DUN" memalukan - Nazri

KUALA LUMPUR: Tindakan melaungkan dan memakai lilitan "BUBAR DUN" oleh bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan sebahagian ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat pagi tadi disifatkan sebagai "tindakan memalukan."

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tindakan itu sememangnya telah dirancang oleh pembangkang sempena majlis angkat sumpah Nizar sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang.

"(Apa yang berlaku) satu perkara yang amat memalukan kerana tidak menunjukkan satu teladan, satu contoh sebagai ahli Yang Berhormat.

"Saya kesal dan berharap ia tidak menjadi contoh, berharap tindakan dan perangai ini tidak mewakili pandangan majoriti ahli-ahli Parlimen," kata Nazri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.

Nazri mengulas tindakan Nizar yang melaungkan "bubar DUN" dan kemudian mengikat lilitan "BUBAR DUN" Perak sambil diikuti beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat.

Nizar memenangi kerusi Parlimen Bukit Gantang awal April lalu.

Termasuk beliau tujuh wakil rakyat Pakatan diarah keluar Dewan Rakyat oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mereka 'digantung' selama dua hari ini sehingga esok.

Jelas Nazri, setiap pihak yang memasuki Dewan Rakyat dikehendaki mematuhi kod etika pakaian yang ditetapkan.

"Pakaian kita pun, masuk ke dalam Dewan ditetapkan oleh kod pakaian," katanya.

Sebarang pakaian di luar kod etika, kata beliau, jika hendak diamalkan perlu mendapatkan kebenaran Speaker, kata Nazri.

"(Malah) apa-apa dokumen yang hendak diletakkan di atas meja (wakil rakyat di Dewan) pun kena mendapat kebenaran," katanya.

Mengenai komen Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pemakaian lilitan diamalkan di negara lain, Nazri memberitahu, "kalau Ketua Pembangkang kata di luar negara, itu di luar negara, ini Malaysia... tak boleh dilakukan, perlu dihormati."

Ketika ditanya mengapa pemakaian lilitan di kalangan wakil rakyat dibenarkan semasa kempen anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum, beliau memberitahu, banyak perkara yang dilakukan pada masa lalu adalah atas "dasar terlepas pandang."

"Yang penting daripada pemerhatian mata Speaker, kalau Speaker tidak nampak terlepaslah... tapi apabila perkara gila berlaku macam pagi tadi, dia menarik perhatian, tiba-tiba ramai yang pakai.

"Maka daripada segi perhatian Speaker dan mengambil keputusan dia.

"Dulu dia pakai lilitan, kita tak sedar pun, kita tidak tahu pun ada yang pakai... ada juga Ahli Parlimen yang tidak membangkitkan perkara itu pun.

"Jadi keputusan dibuat berdasarkan tarikan perhatian berdasarkan perkara itu baru kita ambil keputusan (mengarah keluar Dewan Rakyat)," katanya.

Nizar, 6 lagi digantung sidang parlimen - MalaysiaKini

Jun 15, 09

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mencetuskan drama lagi sejurus selepas mengangkat sumpah sebagai anggota baru parlimen bagi Bukit Gantang pagi ini - melaungkan "hidup rakyat, bubar DUN".

Dengan tujuan menarik perhatian ramai berhubung perjuangannya untuk menuntut jawatan menteri besar Perak, yang dirampas BN dalam pertukaran kerajaan pada Februari lalu, laungannya itu disambut pula oleh anggota-anggota Pakatan Rakyat dalam dewan tersebut.

Akibatnya, menteri besar Pakatan Rakyat itu diperintah meninggalkan Dewan Rakyat bersama enam lagi ahli parlimen pembangkang.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengarahkan berbuat demikian atas dakwaan "berkelakuan kasar".

nizar jamaluddin sworn in at parliament opposition mps disolve perak state adun headband incident 150609 07Mereka juga didakwa "melanggar etika berpakaian" apabila mengenakan kain lilitan kepala berwarna hitam dengan tulisan putih "Bubar DUN" di ruang persidangan.

Mereka bertujuh turut digantung daripada menghadiri sidang dewan selama dua hari.

Selain Mohammad Nizar, mereka yang mengalami nasib yang sama: Datuk Ngeh Khoo Ham (DAP-Beruas), Nga Kor Ming (DAP-Taiping), Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), Dr Hatta Ramali (PAS-Kuala Krai), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan N Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai).

Mohammad Nizar bersama Nga dan Ngeh - kedua-duanya bekas exco kerajaan Pakatan Perak - antara pemimpin yang paling aktif dan lantang menuntut dikembalikan kerajaan yang mereka pernah kuasai sejak Mac tahun lalu.

Mohammad Nizar memenangi kerusi parlimen tersebut dalam satu pilihanraya kecil 7 April lepas setelah ia kosong akibat kematian wakil rakyat PAS di situ, Roslan Shaharum.

Sunday, June 14, 2009

Usul haram SIS: Penjelasan Khalid Samad

Jimadie Shah Othman | Jun 14, 09

Yang Dipertua PAS Shah Alam, Khalid Samad berkata, mereka tidak berniat menggalakkan penggunaan kuasa untuk berdakwah "pihak yang berbeza pandangan dengan aliran Islam arus perdana", seperti Sisters in Islam (SIS).

"Memang banyak pendirian SIS yang kita tidak senangi, tidak setuju dan kita rasakan bercanggah dengan hukum Islam itu sendiri. Tetapi apa yang dimaksudkan di sebalik usul itu, supaya tindakan diambil dan diperbetulkan.

"Dalam perbincangan kita, kita bersetuju, perkataan itu (mengharamkan), menggambarkan kecenderungan dengan penggunaan kekerasan dan kuasa. Dan kalau itu yang dimaksudnya, ia bercanggah degan Islam itu sendiri," katanya dalam sidang media di Shah Alam.

Beliau mengulas usul yang dicadang PAS kawasan itu dalam muktamar PAS lalu yang meminta kerajaan menyiasat dan mengharamkan SIS sekiranya aliran dan pandangannya bertentangan dengan syariat Islam.

Usul PAS Shah Alam itu diterima tanpa bahas oleh muktamar ke-55 PAS minggu lalu. Usul itu berbunyi, antara lain:

"(Muktamar) mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan membuat penyelidikan ke atas SIS yang membawa aliran Islam liberal.

"Dan seterusnya mengharamkan pertubuhan tersebut sekiranya terbukti bertentangan dengan syariat Islam serta membuat program pemulihan ke atas ahli-ahlinya."

Dapat bantahan meluas


Menurut usul itu juga, aliran dan pandangan yang dibawa oleh SIS didakwa boleh mengelirukan masyarakat dan pemikiran SIS didakwa "mudah meresapi pemikiran dan meracuni akidah umat Islam" terutamanya golongan muda dan golongan yang berpendidikan sekular.

Ia bagaimanapun mendapat bantahan meluas daripada pemimpin-pemimpin Pakatan - PKR dan DAP - serta sejumlah NGO dan individu.

Khalid berkata, Islam menggariskan beberapa panduan berdakwah, seperti disebut dalam al-Quran, antaranya, menggunakan pendekatan berhikmat, memberi nasihat dam berhujah dengan cara yang baik dan menarik.

Beliau berkata, kaedah dan pendekatan tersebut telah digunapakai sejak lama dahulu, termasuk oleh tokoh besar Islam Imam al-Ghazali.

Katanya, usul itu asalnya dicadangkan Dewan Muslimat PAS kawasan itu, tetapi tidak dibincangkan dalam mesyuarat kawasan pada 19 April lalu, sebaliknya dibawa ke mesyuarat khas pada 23 April.

Khalid berkata, dalam mesyuarat itu, PAS Shah Alam bersetuju mengubah beberapa perkataan dalam usul itu yang boleh menimbulkan salah faham seperti perkataaan "mengharamkan" dan "pemulihan".

Selepas itu, tambah Khalid, ia diserahkan kembali kepada Dewan Muslimat bagi membetulkannya.

'Saya terlepas pandang'


"Tetapi oleh kerana sibuk dengan pilihanraya kecil Penanti ketika itu dan sibuk merasmikan mesyuarat agung menjelang muktamar, saya terlepas pandang," tambahnya.

PAS Shah Alam akan menulis kepada PAS pusat pada hari ini atau esok, bagi menerangkan pendirian mereka serta melampirkan kronologi kejadian tersebut, katanya.

Bagaimanapun, bekas ahli biro politik PAS itu berkata, mereka tidak perlu meminta maaf kepada SIS.

"Kalau perlu saya akan minta maaf kepada PAS terlebih dahulu. Kalau ikut ayat ini, kita tidak kata apa-apa. Tetapi imej buruk ini bukan kena kepada SIS tetapi PAS. Ia mengukuhkan persepsi salah kepada kaedah dan pendekatan PAS itu sendiri," katanya.

Beliau juga berkata, tidak timbul juga isu menariknya balik kerana ia bukan usul sebenar yang telah dipinda, dan sepatutnya kepada ibupejabat.

Walaupun menafikan beliau disabotak pihak-pihak tertentu, Khalid mengakui usul tersebut telah mencalarkan sedikit imej PAS.

SPRM putuskan dakwaan terhadap dua 'Datuk' - Nazri

KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua "Datuk" yang dibabitkan dengan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Beliau berkata ketika ini pihak SPRM telah pun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu.

"Siasatan telah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa terhadap tertuduh ini, keputusan itu akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno yang bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.

Nazri berkata SPRM akan melakukan siasatan secara bebas dan adil tanpa mengira kedudukan pihak yang disabitkan rasuah itu.

"SPRM akan bertindak adil dan bebas tanpa mengira orang yang disiasat atau didakwa itu datang dari parti tertentu, kita tak kira, kalau cukup bukti daripada siasatan dan ada keperluan untuk mendakwa, maka SPRM akan memutuskannya (untuk didakwa)," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan atau Umno juga tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap pemimpin Umno atau ahlinya yang terbabit rasuah.

Ditanya mengenai persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih "menyerang" pemimpin-pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Persepsi itu tidak betul.., mana lebih penting, lawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah, saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu," katanya.

Mohamed Nazri berkata persepsi berkenaan juga mungkin disebabkan Umno merupakan sebuah parti besar dan berkuasa dan segala tindak tanduk pemimpin dan anggotanya tentulah sentiasa menjadi perhatian rakyat.

"Bagi parti yang berkuasa ini, tentulah macam-macam berlaku, orang tak bercakap pasal parti lain yang tidak berkuasa dan tidak memerintah.

"Kita perlu menyambut baik usaha SPRM ini, ianya tidak mendatangkan malu kepada kita, jika SPRM mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit rasuah, maka kita akan dapat membanteras rasuah dalam Umno, dan rakyat akan kembali yakin kepada Umno," katanya. BERNAMA

SPRM putuskan dakwaan terhadap dua 'Datuk' - Nazri

KUANTAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan dalam tempoh terdekat sama ada untuk mendakwa dua "Datuk" yang dibabitkan dengan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Beliau berkata ketika ini pihak SPRM telah pun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu.

"Siasatan telah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa terhadap tertuduh ini, keputusan itu akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno yang bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2.

Nazri berkata SPRM akan melakukan siasatan secara bebas dan adil tanpa mengira kedudukan pihak yang disabitkan rasuah itu.

"SPRM akan bertindak adil dan bebas tanpa mengira orang yang disiasat atau didakwa itu datang dari parti tertentu, kita tak kira, kalau cukup bukti daripada siasatan dan ada keperluan untuk mendakwa, maka SPRM akan memutuskannya (untuk didakwa)," katanya.

Beliau berkata pihak kerajaan atau Umno juga tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap pemimpin Umno atau ahlinya yang terbabit rasuah.

Ditanya mengenai persepsi pihak tertentu bahawa SPRM kini dilihat lebih "menyerang" pemimpin-pemimpin Umno berhubung kes rasuah, Mohamed Nazri berkata perkara itu adalah tidak benar sama sekali.

"Persepsi itu tidak betul.., mana lebih penting, lawan rasuah atau hendak parti (Umno) membela seorang yang dituduh melakukan rasuah, saya kira ini adalah satu usaha membersihkan parti daripada gejala rasuah, itu lebih penting daripada hendak menjaga nama parti atau cuba melindungi perbuatan itu," katanya.

Mohamed Nazri berkata persepsi berkenaan juga mungkin disebabkan Umno merupakan sebuah parti besar dan berkuasa dan segala tindak tanduk pemimpin dan anggotanya tentulah sentiasa menjadi perhatian rakyat.

"Bagi parti yang berkuasa ini, tentulah macam-macam berlaku, orang tak bercakap pasal parti lain yang tidak berkuasa dan tidak memerintah.

"Kita perlu menyambut baik usaha SPRM ini, ianya tidak mendatangkan malu kepada kita, jika SPRM mengambil tindakan ke atas mereka yang terbabit rasuah, maka kita akan dapat membanteras rasuah dalam Umno, dan rakyat akan kembali yakin kepada Umno," katanya. BERNAMA

Pindaan dilulus 'selepas pengiraan undi penuh emosi' - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Jun 13, 09

Kongres khas PKR hari ini meluluskan pindaan perlembagaan parti itu "selepas pengiraan undi yang penuh emosi".

PKR meminda perlembagaannya bagi menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Empat usul lagi ialah mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR (AMK) daripada 40 kepada 35 tahun; memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa; memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti; menukar istilah bahagian kepada cabang, cawangan kepada ranting, majlis kepimpinan tertinggi kepada majlis pimpinan dan badan perhubungan negeri ditukar kepada majlis pimpinan negeri.

Pengarah Komunikasi, Jonson Chong, berkata dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, pindaan itu diterima seperti peruntukan Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Dalam satu kenyataan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali "selepas pengiraan undi penuh emosi".

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan dengan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan 'pengiraan undi penuh emosi' itu.

Difahamkam pengiraan undi dijalankan secara angkat tangan. Semua pindaan tidak diundi secara berperingkat, sebaliknya dibuat secara sekaligus.

Cadangan yang dibentangkan naib presiden Sivarasa Rasiah itu diluluskan setelah mendapat sokongan lebih 88 peratus daripada 1,061 perwakilan yang hadir.

'Kemungkinan p'raya mengejut'

"Dengan sokongan jelas dan padu yang ditunjukkan dalam kongres ini, kepimpinan PKR bersedia membangun dan mengukuhkan parti demi menghadapi kemungkinan pilihanraya mengejut di Perak dan Sarawak pada masa depan," kata Jonson.

Malaysiakini difahamkam, dalam perbahasan cadangan itu - yang tertutup kepada media - terdapat beberapa perwakilan tidak bersetuju dengan beberapa bahagian tertentu dalam cadangan pindaan itu.

Juga difahankan seorang perwakilan menyifatkan pertukaran nama bahagian dan cawangan kepada cabang dan ranting "tidak bersifat progresif".

Beliau sebaliknya mencadangkan istilah zon dan kawasan. Ucapan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Seorang lagi perwakilan dikatakan meminta cadangan had umur keanggotaan Angkatan Muda PKR diturunkan daripada 40 sehingga 35 tahun ditangguhkan terlebih dahulu kerana ia belum sesuai dilaksanakan lagi buat masa ini.

Kira-kira 1,000 perwakilan bersidang di kongres khas PKR hari ini bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu.

Saturday, June 13, 2009

Azizah: PKR mahu laksana pemilihan langsung elak politik wang

NILAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melangsungkan kongres nasional khas bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu, antara lain membolehkan 300,000 ahlinya memilih barisan kepimpinan pusat mulai tahun depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, langkah membolehkan pemilihan langsung akan membantu mengelakkan masalah politik wang.

"Sejarah membuktikan sebuah tamadun akan musnah apabila menularnya amalan rasuah dan diamal menjadi budaya.

"Justeru kita mengambil sikap proaktif dengan mencadangkan pindaan Perlembagaan ini," kata beliau dalam ucapan perasmian presiden sebentar tadi. Lebih 1,00 perwakilan menghadiri kongres khas hari ini, yang sepatutnya diadakan Februari lalu di Kedah.

Kongres diadakan di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di sini.

Pindaan yang dibincangkan hari ini merupakan paling komprehensif sejak parti ini ditubuhkan satu dekad lalu.

Pindaan sebelum ini diadakan pada 2001.

Antara pindaan lain yang dibincangkan ialah mengehadkan tempoh pegang jawatan presiden, menambah bilangan naib presiden, memperkenalkan istilah baru bagi menggantikan nama bahagian dan cawangan.

Wan Azizah menjelaskan, PKR akan memberi tanggungjawab secara langsung kepada seluruh ahli untuk memilih pemimpin yang mereka yakini.

"Sekiranya pindaan ini diluluskan para perwakilan, maka parti kita akan menjadi parti yang paling demokratik di Malaysia.

"Walau jiwanya muda namun langkahnya perkasa. Penghapusan sistem perwakilan dengan meletakkan hak dan tanggungjawap kepada setiap ahli akan mampu menghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik di dalam parti kita," kata beliau.

BERITA TERDAHULU

Kongres Khas PKR bahas pindaan perlembagaan

NILAI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedang melangsungkan Kongres Nasional Khas bagi meminda perlembagaan parti itu.

Lebih 2,000 perwakilan menghadiri kongres khas hari ini, yang sepatutnya diadakan Februari lalu.

Kongres diadakan di Pusat Konvensyen Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor di sini.

Pindaan yang dibincangkan hari ini merupakan paling komprehensif sejak parti ini ditubuhkan satu dekad lalu.

Antara pindaan yang dibincangkan ialah mengehadkan tempoh pegang jawatan presiden, menambah bilangan naib presiden, memperkenalkan istilah baru bagi menggantikan nama bahagian dan cawangan.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Parti Keadilan Rakyat akan memberi tanggungjawab secara langsung kepada seluruh ahli untuk memilih pemimpin yang mereka yakini.

"Sekiranya pindaan ini diluluskan para Perwakilan, maka parti kita akan menjadi parti yang paling demokratik di Malaysia.

"Walau jiwanya muda namun langkahnya perkasa. Penghapusan sistem perwakilan dengan meletakkan hak dan tanggungjawap kepada setiap ahli akan mampu menghapuskan bibit-bibit politik wang dari mula berputik di dalam parti kita," kata beliau dalam ucapan perasmian presiden.

Peruntukan memberi hak secara langsung memilih pemimpin pusat merupakan antara yang akan dibahaskan hari ini.

Zaid Ibrahim masuk PKR - MalaysiaKini

Jimadie Shah Othman | Jun 13, 09 1:45pm Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Datuk Zaid Ibrahim secara rasminya menyertai PKR hari ini.

Ketika mengumumkan perkara itu, ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zaid akan dilantik menganggotai Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

pkr egm 130609 zaid ibrahim join party 01Katanya, Zaid secara rasminya akan mengisi jawatan tersebut selepas disahkan presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan setelah “dirasmikan dalam mesyuarat” secepat mungkin.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Bangi hari ini, Anwar berkata, Zaid juga akan dilantik sebagai anggota biro politik PKR. Turut sama naib presiden, Sivarasa Rasiah dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Salehuddin Hashim.

Anwar juga menyifatkan penyertaan Zaid itu sebagai satu penghormatan kepada PKR.

"Ini berita yang cukup menggembirakan. Ia berkuatkuasa hari ini. Satu penghormatan dan lonjakan kepada perjuangan kita,” katanya.

Zaid, tambahnya merupakan seorang yang serius mempertahankan hak asasi dan kebebasan badan kehakiman di Malaysia.

"Sikap ketegasan dan keberanian beliau (dapat dilihat), terutama dalam isu hak asasi, kebebasan, proses demokrasi dan bebebasan badan kehakiman,” katanya.

Reaksi Zaid

Anwar yang juga ketua pembangkang, turut menganggap penyertaan Zaid itu sebagai satu langkah positif kepada PKR dalam usaha untuk mengukuhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat.

pkr egm 130609 zaid ibrahim join party 02"Saya percaya perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat Pakatan Rakyat. (Presiden PAS, Datuk Seri) Hadi tidak ada sekarang. Mesyuarat akan diadakan Isnin depan (bila Hadi dapat hadir).

Sementara itu Zaid berkata, beliau menyertai PKR kerana yakin dengan parti pelbagai kaum itu yang mahu membela nasib rakyat.

“Saya percaya, kalau diberi peluang, saya akan berusaha membantu Anwar dan pemimpin lain. Saya berminat dan berhasrat mengukuhkan Pakatan rakyat," katanya.

Menurut Zaid lagi, beliau bersedia membantu Pakatan menjadi alternatif yang benar-benar rakyat boleh harapkan untuk menubuhkan kerajaan yang baik.

Bagaimanapun, dengan merendah diri Zaid berkata: "Saya belum pakar lagi. Saya harap dapat memainkan peranan. Saya bukan pakar.”

Ditanya kenapa beliau mengumumkan penyertaannya hari ini, Zaid berkata:

“Saya selalu ingin sertai PKR. Saya beritahu Anwar. Tetapi saya rasa hendak berehat sekejap. Jadi, saya rasa hari ini hari yang sesuai.

“Ini hari yang bersejarah apabila kita akan meminda perlembagaan,” katanya.

Friday, June 12, 2009

Tiga pengawal keselamatan dibebaskan dalam kes kehilangan RM500,000

KUALA LUMPUR: Tiga orang pengawal syarikat kawalan keselamatan yang ditahan reman berhubung kehilangan wang tunai RM500,000 Isnin lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman berkata mereka dibebaskan setelah keterangan mereka diambil.

Beliau memberitahu, ketiga-tiga pengawal itu akan dipanggil semula untuk membantu siasatan bila diperlukan.

Dalam kejadian pada 6.30 petang itu, satu beg berisi wang tunai RM500,000 hilang ketika tiga orang pengawal itu sedang membuat kutipan di Wisma Perkeso, Jalan Ampang di sini, manakala pemandu van itu pula menghilangkan diri.

Pada Selasa lepas, seorang lelaki berusia 29 tahun ditahan di Sungai Way bagi membantu siasatan dan direman sehingga esok. BERNAMA

Jerebu: Cheras, Pelabuhan Klang di tahap tidak sihat

Jun 12, 09

Tahap pencemaran udara di Lembah Klang semakin buruk dalam tempoh 24 jam lalu, yang menjejaskan kawasan yang padat penduduk.

Bacaan indeks pencemaran udara di Pelabuhan Klang adalah 138 berbanding 125 sebelum jam 11 pagi ini.

Bacaannya di Cheras pula ialah 107.

Manakala 30 kawasan lagi diklasifikasikan di bawah bacaan sederhana, termasuk di Nilai, Petaling Jaya, Kajang Country Heights, Shah Alam, Putrajaya dan Batu Muda di Kuala Lumpur.

bm version haze air pollution hot spot map update 12 june 120609Kuching pula mencatatkan bacaan terbaik, diikuti Kangar dan Sandaran pada 28.

Bacaan antara 0 hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, manakala 51 hingga 100 adalah sederhana.

Kualiti udara dianggap tidak sihat apabila bacaannya 101 hingga 200, amat sangat tidak sihat (201 hingga 300) dan merbahaya jika melepasi 300.

Indeks tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.

Bacaan seterusnya akan dikeluarkan selepas jam 5 petang..

Pada masa lalu, pembakaran terbuka hutan di Sumatra Indonesia dikatakan menjadi punca jerebu di negara-negara jirannya.

Sehingga semalam, 98 tompok panas dikesan di Sumatra.

Bagaimanapun, pada jam 4.30 petang ini, jumlah tompok panas tersebut telah berkurangan kepada 49 di Sumatra.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...