Friday, April 15, 2011

28 kerusi panas jadi tumpuan di Sarawak

Daripada 71 kerusi yang menjadi rebutan dalam pilihan raya negeriSarawak Sabtu ini, BN dijangka memenangi 43 kerusi, manakala 28 lagi merupakan kerusi panas, dengan Pakatan mendahului di 19 kerusi dan sembilan lagi 50-50.

azlanIa diasaskan kepada maklumat dalaman Umno, yang merupakan parti utama menunjangi jentera kempen BN dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Pakatan memerlukan sekurang-kurangnya 24 kerusi untuk menafikan 
BN majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada 19 kerusi 'hitam', 16 kerusi ditandingi SUPP - lima di Kuching, empat di Sibu, tiga di Miri, dua di Sarikei, dan masing-masing satu di Sri Aman dan Bintulu.

SUPP diramal akan kehilangan kesemua 13 kerusi yang ditandinginya berdepan dengan calon DAP -Padungan,Pending, Kota Sentosa, Batu Kawah (semua di Kuching), Repok, Meradong (kedua-dua di Sarikei),Bukit Assek,Dudong, Bawang Assan, Pelawan(semua di Sibu),Kidurong (Bintulu),Piasau and Pujut(kedua-dua di Miri).

Manakala PKR pula dijangka memenangi lima kerusi. Antaranya ialah dua kerusi majoriti Cina - Batu Lintang (Kuching) dan Senadin (Miri). 

Tiga kerusi lagi ialah Ba'Kelalan - kerusi majoriti Orang Ulu - sementara Lingga and Saribas merupakan kerusi majoriti Melayu-Melanau.

Keseluruhannya, DAP dijangka memenangi 13 kerusi, PKR (lima kerusi) manakala PAS boleh mencatatkan kejayaan memenangi kerusi pertamanya di Sarawak - Beting Maro.

Manakala SNAP pula tidak dijangka memenangi sebarang kerusi di 27 DUN yang ditandinginya.

SUPP mungkin kalah di 18 daripada 19 kerusi

Dengan tinggal satu hari lagi sebelum hari pengundian Sabtu ini, terdapat sembilan kerusi 'kelabu' yang dianggap 50-50.

Simanggang dan Bengoh ditandingi oleh SUPP, dan kedua-duanya mungkin masing-masing dimenangi oleh DAP dan PKR.

Oleh yang demikian, SUPP mungkin mengalami nasib yang sama menimpa Gerakan di Pulau Pinang.

Ia boleh kalah 18 daripada 19 kerusi yang ditandinginya, kecuali di DUN Opar yang merupakan kerusi majoriti Bidayuh.

Semua orang kuat parti itu, termasuk bos SUPP, Tan Sri Dr George Chan dan ketua SUPP, Wong Soon Koh, mungkin kecundang.

Sementara itu, PBB pula mungkin kehilangan tiga kerusi (Tarat, Nangka dan Bukit Kota), manakala partu komponen yang lain - SPDP - boleh hilang tiga kerusi (Ba'Kelalan, Tasik Biru dan Batu Danu) dan PRS pula mungkin kehilangan satu kerusi (Belaga).

Pakatan dakwa wang mula ditaburkan...

Tinggal 36 jam lagi sebelum hari pengundian dalam pilihan raya Sarawak, Pakatan Rakyat bakal berdepan cabaran paling sukar setelah sepuluh hari berkempen – 'politik wang' di kawasan luar bandar.

NONEBukan lagi rahsia, BN dikatakan sentiasa bersandar kepada imbuhan pilihan raya pada saat-saat akhir pengundian, taktik yang tidak mampu ditandingi gabungan PKR, DAP dan PAS.

Seorang kapitan daripada kawasan majoriti Iban di Sri Aman mendakwa, petugas BN akan menabur wang tunai kepada pengundi di rumah-rumah panjang pada malam 15 April bagi mempengaruhi undi pada hari sesudahnya.

“Saya dengar kali ini mereka beri RM50 untuk seorang pengundi,” katanya sambil mendakwa jumlah itu cukup bagi pengundi Iban di kawasan itu yang pendapatan bulanan mereka antara RM100 hingga RM300.

NONE“Bulan lalu saya sudah kumpulkan senarai di kawasan saya dan berikan pada agen BN. Mereka akan mengedarkannya hari ini atau esok. Saya masih perlu kemaskini senarai itu.”

Jawatan kapitan atau pemimpin masyarakat Cina merupakan jawatan lantikan kerajaan yang dicadangkan oleh wakil rakyat BN setempat. Mereka mendapat elaun RM850 sebulan. Jawatan yang hampir sama bagi masyarakat Iban dipanggil tuai rumah (ketua rumah panjang).

Pembelian undi sudah mula
Pakatan juga mendakwa di banyak kerusi 'panas' di kawasan luar bandar pembelian undi sudah berlaku.

NONEDi Ba'kelalan - pengurus kempen PKR Paul Bian mendakwa setiap keluarga mendapat antara RM1,000 to RM2,000 – dakwaan melibatkan jumlah wang tertinggi setakat ini. PKR menurunkan pengerusi majlis pimpinan negerinya Baru Bian, di kerusi ini.

Selain politik wang, PKR juga mendakwa mereka bergelut memeriksa daftar pemilih kerana percaya lebih separuh daripada pengundi kawasan itu dipindahhkan dari tempat pengundian mereka.

NONEDakwa Paul lagi, terdapat risalah menyatakan Baru membuat untung besar dengan menjadi peguam kepada penduduk kampung yang menghadapai masalah dengan tanah adat (NCR) masing-masing.

BN juga dilihat bertali-arus menyerang kawasan berkenaan dengan ramai tokoh heavyweight mereka seperti Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Pembangunan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Shafie Apdal dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual melawat kawasan itu hari ini.
Sampaikan cek

Paul bagaimanapun percaya, Baru yang bertanding kali ketiga mempunyai kelebihan kali ini berikutan “kempen awalnya”

Suriyati Abdullah pkr Balingian mukah jubilant crowd“Kami bermula amat awal untuk mendidik pengundi. Saya yakin kami mendapat sokongan 60 peratus pengundi,” kata Paul lagi.

Di Belaga, sokongan pada BN didakwa mula kukuh apabila Menteri Pembangunan Tanah Sarawak Datuk James Masing menyampaikan cek dan hakmilik untuk rumah panjang di Sungai Asap sebagai pampasan untuk penempatan semula tanah mereka.

Bagaimanapun, aktivis setempat dan penulis blog Wing Miku mendakwa, BN masih mempunyai masalah ekoran pampasan yang diberikan didakwa hanya separuh daripada apa yang dijanjikan manakala hak miliknya pula hanya selama 60 tahun.

NONESungai Asap ialah tempat penempatan semula untuk penduduk yang terjejas oleh pembinaan empangan Bakun sebelum ini.

Di Beting Maro - kerusi paling berpotensi dimenangi PAS - parti Islam itu masih risau terhadap 'pembelian' undi yang didakwa melanda sejak beberapa hari lalu.
RM200 satu pintu

"Ada di satu tempat, RM200 diberi untuk satu pintu. Jadi, ada yang turut minta jumlah yang sama daripada PAS untuk menukar undi. Saya tidak beri. Ini rasuah.

NONE"Saya tanya, hari ini dia beli RM200, esok dia ambil tanah harga RM2 juta. Kamu hendak RM200 atau mahu pertahan tanah?" kata seorang petugas PAS, Jamaludin Ishak.

Menurutnya lagi, PAS setakat ini yakin akan memenangi 10 peratus undi Iban manakala undi Melayu, peluang masih terbuka untuk kedua-dua pihak bertanding.

Sementara itu, di Saribas pula, selain berterusan turunnya tokoh heavyweight BN, petugas PKR turut mendakwa usaha mempengaruhi undi melalui pemberian wang dan babi di rumah panjang sudah berlaku.

NONE"Kita harap, sebagai counter attack, kita boleh bawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berceramah di malam terakhir. Bukan lama, 30 minit sudah cukup (untuk pertahan sokongan)," kata pengarah pilihan raya PKR Saribas Abang Kassim Abang Bujang.

Menurutnya, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam dan Timbalan Pengerusi BN Selangor Datuk Noh Omar dijadual berada di Saribas untuk berkempen di saat-saat akhir.

Setakat ini, Abang Kassim menambah, PKR berada hanya sedikit di depan dengan kedudukan 51-49.

Tanah mendap di Kampung Baru, 40 keluarga pindah

Kuala Lumpur 15 April - Sebanyak 40 keluarga terpaksa dipindahkan ke asrama Wisma Belia ekoran kejadian tanah mendap yang berlaku di Jalan Syed Mahadi, Kampung Baru di sini, malam tadi.

Sebuah lubang sedalam kira-kira tiga kaki ditemui oleh para penduduk pada pukul 8.00 malam selepas banjir kilat akibat hujan lebat yang turun sejak pukul 6.00 petang semalam.

Kejadian tanah mendap seperti itu dipercayai pertama kali berlaku di kawasan berkenaan. - Utusan

Thursday, April 14, 2011

Pakatan mampu rampas 19 kerusi, 24 lagi '50-50'

Memasuki pusingan kedua dalam kempen pilihan raya Sarawak - yang dianggap paling sengit dalam sejarahnya - sokongan pada BN dijangka meningkat di saat-saat akhir walaupun menerima tamparan hebat di kawasan bandar pada permulaanya.

NONEMenurut pengamatan pelbagai sumber, walaupun bakal hilang banyak kerusi, BN masih mempunyai peluang cerah mengekalkan penguasaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana sentuhan terakhirnya.

"Dalam kempen di beberapa hari terakhir ini, semua kemungkinan boleh berlaku. BN masih ada strategi 'carpet bombing' melalui pengumuman projek segera dan pemberian imbuhan pilihan raya terutamanya di kawasan bandar," kata pemerhari politik Dr Jeniri Amir.

NONEPensyarah kanan di Universiti Malaysia Sarawak itu juga berkata, walaupun penduduk bandar menunjukkan perubahan yang luar biasa dengan menyokong Pakatan, berdasarkan tred dalam pilihan raya sebelum itu, bola akan kembali bertukar ke kaki BN semula.

"Masyarakat luar bandar masih dilihat mempunyai pemikiran simple minded," katanya kepada Malaysia.

Menurut sumber-sumber yang dekat dengan kerajaan, bacaan semasa menunjukkan, sebanyak 28 kerusi masih memihak kepada BN, 19 mampu dirampas pembangkang dan 24 lagi peluangnya masih '50-50' antara kedua-dua pihak yang bertanding.

NONEJika dilihat dari aspek kaum pula, undi Cina kini memihak kepada Pakatan, Melayu dan Melanau masih menyokong BN manakala masyarakat Iban pula mula sedikit demi sedikit berpindah daripada BN kepada pembangkang.

Bacaan ini selari dengan pemantauan NGO pengkaji "kepercayaan politik" Zentrum Future Studies yang mendapati sokongan masyarakat luar bandar kepada BN merosot dari 80 kepada 61 peratus.

Menurut presiden Zentrum, Abu Hassan Hasbullah, di kawasan luar bandar, sokongan terhadap parti pemerintah turut menyusut dari 65 kepada 38 peratus sahaja.

NONEJusteru, jika Pakatan mampu mempertahankan menangkis serangan terakhir BN, termasuk kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri, sejarah akan berlaku di Bumi Kenyalang.

Menurut sumber-sumber Umno pula, setelah parti Melayu itu mula menyuntik jenteranya di pelbagai kawasan, terutamanya di luar bandar dalam beberapa hari kebelakangan ini, mereka yakin, paling tinggi, Pakatan hanya dapat merampas 15 kerusi sahaja.

"Bagaimanapun, tujuh atau lapan kerusi di kawasan bandar memang sudah tidak boleh dipertahankan lagi," jelas sumber-sumber itu.

Kes Altantuya: Saya tak pernah tuduh PM, isteri terbabit, kata RPK

"Saya tidak pernah menuduh Perdana Menteri atau isterinya terbabit dalam kes pembunuhan kes Altantuya Sharibuu."

Itu pengakuan pengendali lamanweb Malaysia Today Raja Petra Kamarudin dalam temubual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini.


NONESebaliknya, Raja Petra mendakwa, beliau didesak dan dipengaruhi untuk berbuat demikian oleh beberapa individu yang tidak mahu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengambil-alih sebagai Perdana Menteri.
Berikutan adalah transkrip temubual tersebut yang disiarkan dalam lamanweb TV3.

Raja Petra berkata, akuan bersumpah yang dibuat beliau pada 18 Jun 2008, hanyalah bersandarkan maklumat yang diperolehi daripada beberapa individu ini

Menurut Raja Petra, ramai orang termasuk polis, membuat tuduhan tanpa meneliti akuan bersumpahnya.

Dalam akuan bersumpah itu Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat daripada beberapa individu kononnya isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berada di tempat kejadian ketika Altantuya dibunuh.

RAJA PETRA KAMARUDIN, PENGENDALI BLOG MALAYSIA TODAY

"Di dalam SD saya tadi saya telah bercerita bahawasanya orang ini telah beritahu dan biarlah orang ini yang datang dan bercerita. Dan pihak berkuasa perlu siasat dan panggillah orang ini. Itu yang saya tulis dalam SD. Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata saya tahu yang isteri timbalan perdana menteri semasa itu ada di tempat kejadian. Saya tidak cakap. Saya tidak buat satu tuduhan seperti berikut. Yang saya kata ada orang yang bercerita tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini lebih lanjut lagi dan untuk orang-orang ini kedepan. Dan saya sebut nama-nama orang ini. Saya sebut semasa siasatan polis."

Raja Petra berkata, beliau menerima maklumat berkenaan, daripada beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik, termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mereka ialah Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog Din Merican.

Menurut Raja Petra seorang pegawai perisik angkatan tentera dikenali sebagai Leftenan Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat yang sama.

"Saya tidak terima lagi cerita itu. Sebab saya rasa mungkin mustahil kot. Takkanlah isteri Perdana Menteri nak pergi tempat itu kerana tempat itu kerana kawasan itu tempat hutan dan saya dok fikir dia nak panjat bukit, masuk hutan tengah tengah malam, pukul 12 malam, saya ingat mustahil kot."

Tambah Raja Petera, tujuan mereka ialah untuk memastikan Datuk Seri Najib tidak mengambil alih sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Menurutnya dalam pertemuan dengan Nik Azmi, beliau bertanya kenapa beliau didesak untuk membuat akuan bersumpah itu.

"what do you hope to achieve? Dia kata pak lah akan letak jawatan, kalau kita tak block Najib, Najib akan menjadi Perdana Menteri, ganti Pak Lah"

Menurut Raja Petra, beliau kemudian meminta Din Merican untuk mendapatkan pengesahan Datuk Seri Anwar.

"Din Merican pun contact saya balik dia kata dia dah cakap dengan Anwar dan Anwar pun bagi green light. Dia kata ok, orang ini no problem, apa dia cakap kita boleh percaya. Anwar pun kenal baik dengan dia ini dan dia pun biasa jumpa Anwar…leftenan kolonel ini. Dan dia pun banyak bercerita kepada Anwar tentang isu ini…dia kata proceed. Saya pun proceed."

Beliau berkata, kesemua individu ini berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau di dakwa di mahkamah.

Bahagian kedua temubual ini dalam Buletin Utama esok.

Wednesday, April 13, 2011

Media diarah tidak lagi siarkan perhimpunan Pakatan

BN yang kini dilihat semakin goyah menjelang pilihan raya negeriSarawak 16 April ini, terus memperkuatkan cengkamannya ke atas media arus perdana .

NONEDengan portal berita, termasukMalaysiakini danSarawak Report, yang telah menerbitkan laporan kritikal mengenai ketua menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, tidak dapat diakses akibat serangan siber, rangkaian televisyen telah diarahkan jangan menyiarkan rali dan ceramah-ceramah Pakatan Rakyat.

Sumber yang rapat dengan gergasi media yang dikaitkan dengan Umno itu - Media Prima - memberitahu Malaysiakini bahawa semua rangkaian televisyen miliknya telah diarahkan supaya tidak menyiarkan ceramah harian Pakatan yang berjaya menarik kehadiran ribuan orang.

azlan“Visual rali mega tidak sama sekali boleh disiarkan meskipun ia berkaitan dengan pilihan raya,” kata sumber dalaman itu.

Media Prima memiliki semua rangkaian televisyen swasta percuma di negara ini -TV3, ntv7, 8TV and TV9.

Selain televisyen, akhbar Cina juga diberi tekanan selepas BN dikatakan mungkin tumbang di beberapa kawasan yang mempunyai pengundi majoriti masyarakat Cina.

“Walaupun belum diberi arahan, kita mesti berhati-hati dengan laporan berita. Saya tidak fikir, kita mampu lagi memberi liputan pada ratio 60:40 bagi BN dan Pakatan, kita sekarang terpaksa menukarnya kepada 70:30,” kata seorang editor akhbar harian Cina.

“Sejak dua atau tiga lalu, liputan ke atas kami telah berkurangan dengan begitu ketara sekali,” kata seorang pekerja kempen DAP.

Majoriti dua pertiga adalah satu 'bonus', kata Najib

Perdana Menteri Najib Abdul Razak berkata, kemenangan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya negeri Sawarak pada 16 April ini adalah satu 'bonus'.

Katanya, ini kerana sasaran BN adalah untuk membentuk kerajaan negeri, yang hanya memerlukan kemenangan majoriti mudah.

"Kemenangan dua pertiga adalah satu sasaran yang mampu dicapai. Jika kita capainya dua pertiga itu satu markah bonus untuk wujud kerajaan yang kuat dan stabil," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Mesra Rakyat di Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya yang mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Najib menjawab soalan mengenai kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud semalam yang optimis untuk mengekalkan majoriti dua pertiga dengan kemenangan di kawasan luar bandar dan pinggir bandar.
Najib, yang disambut dengan paluan kompang dan bunga Manggar, mengakui BN menghadapi tentangan hebat di kawasan bandar, dan cabaran yang dihadapi kali ini "mungkin yang paling sukar dalam sejarah politik Sarawak".

Oleh itu, katanya, parti komponen BN dari Semenanjung Malaysia datang untuk membantu memperkukuhkan lagi jentera gabungan itu.

Katanya, mereka datang sebagai sebuah keluarga untuk membantu calon BN kekal diperintah BN.

Najib berkata, pihaknya tidak dapat menafikan bahawa kerusi di kawasan bandar berdepan dengan tentangan paling sengit.

Bagaimanapun, katanya, BN telah membariskan senarai calon yang berwibawa.

"Jika (pengundi) tidak melihat ini dan hanya mengundi untuk protes, maka saya tidak tahu lah," katanya kepada wartawan.
Sementara itu, perdana menteri juga berkata, dalam mana-mana pilihan raya, prestasi turun naik biasa berlaku dan BN menyedari pilihan raya Sarawak kali ini adalah paling sengit dalam sejarah politik negeri ini.

"Saya tahu di mana kekuatan BN, di mana kita hadapi tentangan. Kita kena bekerja kuat lagi di kerusi yang terlepas dan kita ada calon yang berwibawa," katanya.

Ditanya kononnya BN cuma membawa "politik Semenanjung", Najib berkata, tuduhan pembangkang itu hanya untuk mengelirukan pengundi sedangkan mereka sendiri turut berkempen di Sarawak.

"Anda tengoklah sendiri Lim Kit Siang, Anwar Ibrahim, Hadi Awang dan Lim Guan Eng juga ada di sini turun berkempen.

"Saya - mereka kata tak boleh pulak. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua, untuk ralyat Sarawak juga," katanya.

Deepak dakwa bayar RPK tarik balik tulisan

Usahawan Deepak Jaikishan muncul lagi dengan satu dakwaan terbaru – beliau pernah membayar wang kepada penulis blog popular Raja Petra Kamaruddin untuk menarik balik satu tulisan daripada laman Malaysia Today.
Deepak berkata, beliau telah membayar RM50,000 dan turut memberi satu komputer riba kepada Raja Petra sebagai dorongan untuk menarik balik tulisan berkenaan.
"Saya boleh buktikannya," kata Deepak yang menjelaskan, beliau membayar wang itu secara tunai kepada Raja Petra dalam satu pertemuan dengan penulis blog itu di Subang Jaya kira-kira tiga tahun lalu.
Tulisan berkenaan yang antara lainnya mengaitkan beliau dengan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor telah dikeluarkan sehari selepas pertemuan tersebut, kata Deepak lagi.
Katanya lagi, beliau "terkejut" apabila mendapat tahu mengenai penyiaran tulisan berkenaan dan membuat keputusan untuk bertemu Raja Petra bagi meminta penulis blog itu mengeluarkan artikel tersebut.
Tambahnya lagi, beliau bertindak demikian kerana tidak mahu perkara mengenai dirinya disiarkan dalam blog Raja Petra yang disifatkannya sebagai "pelacur web."
Beliau juga tidak mahu "serangan peribadi" oleh Raja Petra ke atasnya itu menjejaskan reputasi diri dan perniagaannya, katanya dalam satu sidang media semalam.
Deepak berkata, tindakan Raja Petra itu tidak lebih daripada satu pemerasan untuk mendapatkan wang daripada individu yang dinamakan dalam laman blog tersebut.
"RPK telah berubah daripada seorang penulis blog nasionalis menjadi seorang pemeras ugut yang menggunakan Internet bagi mengutip wang dan komputer riba daripada orang yang takut kepadanya.
"Saya juga salah seorang daripada mangsa (Raja Petra)," katanya dan menambah, beliau juga mengetahui bahawa dua lagi individu telah membayar wang kepada Raja Petra supaya tulisan berkaitan mereka dikeluarkan daripada Malaysia Today.
Deepak berkata, seorang daripada individu berkenaan merupakan menantu kepada seorang bekas perdana menteri yang didakwa telah membayar sejumlah wang yang besar kepada Raja Petra.
Seorang lagi yang disebut oleh Deepak ialah seorang lelaki yang merupakan kawan baiknya. Keluarga lelaki tersebut juga telah membayar wang kepada Raja Petra, kata Deepak lagi.
Tambahnya, beliau juga bercadang untuk membuat laporan polis terhadap Raja Petra dan mengambil tindakan undang-undang ke atas penulis blog tersebut atas dakwaan fitnah yang dilemparkan ke atasnya.
Tindakan undang-undang itu mungkin difailkan di London atau di Australia memandangkan penulis blog itu tidak berada di dalam negara.
"Saya sedang berbincang dengan peguam. Kalau saya tidak dapat bankrapkan dia, nama saya bukan Deepak.
"Jika saya salah, dia boleh saman saya," tambah Deepak.
Sementara itu, dalam satu kenyataan balas hari ini, Raja Petra berkata beliau menafikan kesemua dakwaan yang dinyatakan Deepak.
Raja Petra juga berkata, individu lain yang dinyatakan oleh Deepak itu juga perlu mengesahkan atau menafikan dakwaan berkenaan memandangkan Usahawan berkenaan telah mengheret mereka ke dalam kemelut ini.
"Sekiranya mereka tidak dapat (menafikan atau mengesahkan) dan Deepak terus mengambil tindakan (saman) ke atas saya, maka dia berbuat demikian atas risiko sendiri," kata Raja Petra.

Najib cuba selamatkan Taib atau singkirkannya?

Tanda tanya kini timbul berhubung peranan Putrajaya dalam menentukan tarikh pengunduran Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai ketua menteri Sarawak.

najib rally kuching 100411Semuanya bermula malam Isnin lalu, pada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di stadium tertutup MBKS di Kuching.

Meskipun Najib menghabiskan sebahagian besar masanya menangkis hujah-hujah Pakatan Rakyat di kawasan bandar, namun jaminannya bahawa Taib pasti akan berundur menarik perhatian media.

Ia adalah ucapan pertama dalam lawatan enam harinya bagi merancakkan kempen BN Sarawak.

NONENamun 24 jam kemudian, Taib mengejutkan pelbagai pihak semasa konsert percuma di Padang Merdeka, Kuching malam semalam dengan mengumumkan bahawa beliau hanya akan meletakkan jawatan dalam “beberapa tahun” lagi.

Walaupun Taib menyebutnya secara sambil lalu sahaja, tetapi ini dilakukan oleh ketua menteri selama 30 tahun itu di hadapan kehadiran Najib. Bagi pemimpin pembangkang dan penganalisis ini boleh diterjemahkan sebagai mengingkari kehendak Putraya.

Putrajaya ambil alih?

Walaupun Najib berulang kali secara umum berkata Taib bukan satu liabiliti untuk BN tetapi bukan menjadi rahsia lagi, beliau kini dianggap membebankan parti komponen BN yang lain.
Fokus kini cuba mengalihkan perhatian dari Taib. Pada separuh masa kedua, kempen ini, Najib dan menteri-menteri persekutuan kini dilihat giat berkempen di Sarawak.

Semakan di laman sesawang Jabatan Penerangan menunjukkan majlis-majlis yang dianjurkan di Sarawak kini diterajui oleh menteri persekutuan dan timbalan mereka.

Selain itu, mesyuarat mingguan jemaah menteri juga dipercayai dibatalkan minggu ini bagi membolehkan sebanyaka mungkin menteri persekutuan berkempen di Sarawak.

Ini petanda paling jelas BN Sarawak menghantar isyarat SOS kepada rakan-rakannya di peringkat persekutuan untuk campur tangan dan Putrajaya dikatakan mengerahkan bantuan atas inisiatif sendiri.
Tidak terdaya

Setakat ini, kempen BN Sarawak di kawasan bandar dianggap cukup lesu sejak hari penamaan calon lagi.
Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) nyata tidak terdaya melawan kempen agresif Pakatan Rakyat yang cekap mengeksploitasi rasa tidak puas hati rakyat dengan Taib yang telah berkuasa sebegitu lama.
SUPP yang terdesak kini memberitahu sekiranya mereka tumbang, masyarakat Cina akan hilang perwakilan mereka dalam kerajaan negeri.
Sentimen luar bandar pula sukar dibaca kerana kekurangan maklumat, tetapi berdasarkan apa yang dilapor di akhbar, petugas Pakatan mempunyai alasan untuk bersikap optimistik.

NONEPresiden PRS Datuk James Masing juga berulang kali memberi amaran kerusi-kerusi di luar bandar seperti - Balai Ringin, Ngemah, Belaga dan Pelagus yang majoritinya pengundi Iban juga menghadapi kemungkinan akan tumbang.

Masing yang sebegitu terdesak juga merayu bantuan penyandang kerusi Pelagus, Larry Sng, yang merupakan seterunya yang digugurkannya sebagai calon membantu BN berkempen tetapi permintaan itu ditolak,

'Pegawai SPRM belasah saya dengan batang besi'

Seorang pegawai pemasaran berkata beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membelasahnya selepas menahannya dua tahun lalu atas dakwaan menerima rasuah.
NONET Sivanesan,24, dalam keterangannya kepada Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kematian Teoh Beng Hock berkata seorang daripada pegawai itu juga menggunakan sebatang besi yang dibungkus dengan surat khabar bagi membelasahnya.
Pukul di kemaluan, letak ais

"Seorang lagi yang dikenali sebagai Mohd Ashraf Mohd Yusof menggunakan rotan bagi memukul di bahagian kemaluan saya. Seorang lagi meletakkan ais di tempat sulit saya.

"Semua ini berlaku ketika saya ditahan oleh SPRM Selangor dan tangan saya digari. Saya juga dibogelkan dan hanya dibenarkan memakai seluar dalam dan semua ini berlaku di Plaza Masalam," dakwanya.

Selain Ashraf, beliau juga menamakan Khairul Nizam, Zulkifli, dan Hairul Ilham Hamzah sebagai pegawai yang memukulnya itu.

Menyambung keterangannya, Sivanesan berkata pada permulaannya, dia ditampar dan ditendang berulang kali oleh lima hingga enam anggota suruhanjaya berkenaan.

Lelaki itu juga berkata seorang pegawai yang dinamakannya sebagai Mogan memaklumkannya bahawa tempat tahanan itu akan menjadi neraka sekiranya beliau tidak berkerjasama.

NONE"Mereka mahu saya tandatangan mengaku bahawa saya setuju ditahan SPRM tetapi saya tak setuju,” katanya.

Sivanesan (kiri) berkata beliau kemudiannya dibawa kepada seorang majistret yang kemudiannya mengeluarkan arahan tahanan reman selama empat hari.

Menurutnya, SPRM menuduhnya menerima rasuah sebanyak RM30,000 dan malah menggelidah rumahnya tetapi tidak menjumpai apa-apa.

"Berikutan tahana reman itu, mereka terus pukul saya selama 15 hingga 20 minit apabila saya pergi ke Plaza Masalam," katanya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...