Informasi didalam blog ini adalah daripada sumber-sumber berita media internet.Sebarang komen @ pendapat, sila email ke cardozas02@gmail.com
Wednesday, March 11, 2009
Sritharan calon PKR di Bukit Selambau? - MalaysiaKini
Ahli jawatankuasa PKR Kedah, S Sritharan disebut-sebut sebagai calon paling popular untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau.
Beliau antara empat calon yang telah disenarai pendek untuk ditimbang oleh pucuk pimpinan PKR pusat.
Pemilihan Sritharan dijangka diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat ini.
Manakala akhbar China Press pula melaporkan bahawa Sritharan telahpun dihubungi ibupejabat PKR memintanya untuk membuat persiapan.
Akhbar itu memetik sumber-sumber sebagai berkata, Sritharan dilihat sebagai calon yang paling layak bertanding di situ.
Ini kerana beliau adalah seorang yang peramah, mesra rakyat serta berkhidmat dengan cemerlang sebagai ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
Sumber-sumber itu berkata, setiap kali menerima aduan, Sritharan segera turun memberi khidmat kepada rakyat.
Beliau yang berusia 45 tahun menyertai PKR pada November 2007, sudah berumahtangga serta mempunyai dua orang anak perempuan.
Sudah diramalkan
Malah, banyak pihak yang sebelum inipun telah meramalkan beliau akan dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding dalam piliharanraya kecil Bukit Selambau.
Selain Sritharan, beberapa nama lain yang turut menawar diri ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).
Tiga lagi yang menawar diri ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Dua lagi ialah R Muniandi dan Manogaran - kedua-duanya ahli jawatankuasa bahagian Merbok.
DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.
Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.
Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.
Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.
Sunday, March 1, 2009
Sidang tergempar tidak sah, kata Setiausaha DUN Perak - MalaysiaKini
Kemelut politik yang melanda negeri Perak, selepas Barisan Nasional (BN) menubuhkan kerajaan negeri baru awal bulan lalu, terus berlanjutan.
Hari ini, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Abdullah Antong Sabri berkata cadangan Speaker V Sivakumar untuk memanggil satu sidang tergempar Selasa ini adalah tidak sah.
Katanya, ia tidak boleh diadakan kerana tidak mendapat perkenan
Sultan Perak berdasarkan Perintah Tetap Dewan Negeri serta
Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.
Abdullah menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur hari ini.
Sebelum ini, Sivakumar dilaporkan berkata sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan dalam keadaan DUN bersidang biasa dan bukannya untuk sidang tergempar.
Sivakumar memanggil sidang tergempar itu untuk membincangkan dua notis usul yang diterimanya berhubung krisis peralihan kuasa
kerajaan negeri itu.
Keluar notis
Sehingga hari ini, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin masih mengakui beliau merupakan menteri besar Perak yang sah.
Manakala menteri besar BN, Datuk Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah awal bulan lalu, selepas BN menubuh kerajaan baru di negeri itu.
Sementara itu, dalam kenyataan tersebut, Abdullah berkata mengikut Perintah Tetap Dewan Negeri (PT) 8(1) yang perlu dibaca bersama-sama dengan Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan berkehendakkan perkenan
Tuanku Sultan untuk memanggil apa-apa sidang Dewan Negeri sama ada dalam keadaan biasa atau tergempar.
Menurutnya, beliau telah menerima arahan dari Sivakumar supaya
mengeluarkan notis segera untuk mengadakan sidang tergempar DUN Selasa ini melalui urat Sivakumar yang bertarikh 25 Februari 2009 yang turut disertakan notis usul aripada Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Teja dan ADUN Titi Serong.
Abdullah berkata, walaupun ia sidang tergempar, "dalam apa jua pun keadaan, saya hendaklah menghantar notis bertulis tersebut berserta dengan warta pemasyhuran memanggil dewan kepada tiap-tiap anggota DUN menarik perhatian mereka kepada pemasyhuran tersebut.
"Permasyhuran memanggil dewan dibuat oleh DYMM (Duli Yang Maha Mulia) Sultan. Ini adalah berdasarkan PT 1 (Perintah Tetap DUN) yang mengatakan "maka Setiausaha Dewan hendaklah membacakan Pemasyhuran DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan memanggil mesyuarat.."
Kuasa mutlak
"PT 10 (1) mengatakan " Penggal Dewan hendaklah diadakan pada
waktu dan tempat sebagaimana yang ditetapkan oleh DYMM Seri Sultan Perak Darul Ridzuan dari semasa ke semasa melalui perisytiharan dalam Warta," katanya.
Beliau berkata berasaskan PT 10 (1) itu, kuasa mutlak untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak dan ia tidak boleh dipertikaikan.
"Ini adalah kerana Perkara XXXVI(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan memberi kuasa yang jelas kepada DYMM Sultan Perak untuk memanggil DUN bersidang," katanya.
Beliau berkata, Perkara XXXVI (1) memperuntuk "DYMM hendaklah dari semasa ke semasa memanggil bersidang Dewan Negeri itu dan tidaklah boleh membiarkan tempoh enam bulan berlalu di antara perjumpaan yang akhir lepas dalam satu persidangan dengan tarikh yang ditetapkan bagi perjumpaan yang pertama dalam persidangan yang di hadapan."
Abdullah berkata peruntukan di atas adalah peruntukan Perlembagaan yang merupakan Undang-Undang Tertinggi di negeri Perak dan jelas menunjukkan kuasa untuk memanggil sidang DUN adalah kuasa Sultan Perak.
Khamis lalu, Sivakumar menerima dua usul dengan yang pertama daripada ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim Abdullah daripada PAS, adalah bagi dewan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar, manakala usul kedua oleh Chang Lih Kang (PKR-Teja) yang memohon supaya dewan itu dibubarkan untuk membolehkan pilihanraya negeri diadakan.Saturday, February 28, 2009
Polis guna meriam air surai penyokong Uthayakumar - MalaysiaKini
Polis melepaskan tembakan meriam air untuk menyuraikan kira-kira 300 orang yang berhimpun di luar ibu pejabat polis Brickfields untuk membuat laporan polis beramai-ramai berhubung layanan perubatan terhadap tahanan ISA, P Uthayakumar.
Polis melepaskan tembakan meriam air itu kira-kira jam 11.55 pagi selepas mereka tidak mengendahkan tiga arahan polis supaya bersurai.
Sebelum itu, kira-kira 50 orang dibenarkan masuk untuk membuat laporan polis berhubung layanan terhadap Uthayakumar.
Mereka terdiri daripada lima wakil dari sembilan negeri dan lima anggota keluarga Uthayakumar.
Mereka berkumpul hari ini sebagai membantah kerana Uthayakumar - yang menghidap kencing manis - tidak diberi rawatan perubatan sewajarnya.
Beberapa anak jari kaki kiri Uthayakumar mengalami kecederaan pada 31 Januari lalu ketika berada di Kem Tahanan Kamunting.
Pada 20 Februari lalu, Manikavasagam dilaporkan berkata, jika keadaan itu berterusan, 'beratus-ratus" laporan polis akan dibuat terhadap pihak berkuasa hari ini.
Menurut ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, 17 orang ditahan termasuk ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam dan penyelaras badan pemantau polis dan jawatankuasa hak asasi manusia, S Jayathas.
Gobind Deo berada di balai polis untuk memberi sokongan kepada mereka.
Bagaimanapun, pada kira-kira jam 12.45 tengahari, orang ramai sudah beredar dan hanya tinggal polis dan para wartawan di situ.
Gobind persoal tindakan polis
Sementara itu, Gobind mempersoalkan tindakan polis yang didakwanya berbeza 'standard' dalam mengawal keadaan.
"Saya tidak faham, setiap kali masyarakat India buat laporan polis, kena tangkap. Hantar memorandum dan bawa bunga pun kena tangkap, kenapa?" katanya.
Beliau sebaliknya mempersoalkan tindakan Pemuda Umno menyerang dua ahli Parlimen termasuk bapanya, Karpal Singh, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap mereka.
Ekoran itu, beliau kemudiannya memasuki ibu pejabat polis untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya.
Dalam sidang media sejurus mendapatkan penjelasan daripada pihak polis, Gobind berkata, 17 orang telah ditahan oleh polis kerana didakwa engkar mematuhi arahan polis untuk bersurai.
Bagaimanapun beliau berkata, mereka tidak melakukan sebarang kesalahan kerana hadir di situ untuk membuat laporan polis dan tidak berniat untuk melakukan kesalahan atau kekecohan.
Tambahnya, mereka juga ditahan untuk diambil kenyataan dan beliau meminta pihak polis membebaskan mereka yang ditahan.
Menurutnya, beliau memohon penjelasan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung alasan polis menggunakan meriam air untuk menyuraikan penyokong pemimpin Hindaraf tersebut.
Tiada laporan polis
Gobind berkata, laporan polis tidak dapat dibuat ekoran polis melepas tembakan meriam air ke arah penyokong yang hadir.
Menurutnya, tiga orang telah dihantar ke hospital iaitu seorang perempuan dan dua lelaki.
Sebelum itu, kira-kira jam 10.45 pagi, penyokong Uthayakumar berarak dari deretan kedai di persimpangan Jalan Sultan Abdul Samad, menuju ke Ibu pejabat polis Brickfields yang terletak kira-kira 150 meter dari tempat mereka berkumpul.
Mereka melaung-laungkan "Makkal Sakthi" sambil membawa sepanduk "Justice For Indians", "Treat Uthaya as human. Sent him to hospital" beserta foto wajah pemimpin Hindraf itu.
Turut menyertai dalam perarakan tersebut adalah beberapa pemimpin Hindraf termasuk Koordinator Penyelaras Hindraf, RS Thanenthiran.
Hasil perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Brickfileds, Wan Abdul Bari Wan Khalid, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu kepada penyokong bahawa pihak polis membenarkan 50 orang termasuk ahli keluarga P.Uthayakumar membuat laporan polis.
Turut sama dalam perbincangan tersebut, antaranya, dua ahli Parlimen - Manikavasagam dan M Ravi (PKR-Port Dickson) - serta Thanenthiran dan Jayathas
Katanya, polis juga memberi kerjasama yang baik serta memberi jaminan tidak akan membuat sebarang tangkapan.
Sementara itu, Wan Abdul Bari Wan Khalid ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas jumlah penyokong yang ditahan polis.
Bkt Selambau: 8 calon India tawar diri wakili PKR - MalaysiaKini
Lapan calon keturunan India adalah antara 18 orang yang telah menawarkan diri untuk mewakili PKR dalam pilihanraya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau 7 April depan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, ahli jawatankuasa PKR Merbok, A. Loganathan berkata, lima daripada lapan calon berkenaan berpotensi dipilih mewakili PKR bertanding di kerusi tersebut.
Katanya, mereka ialah Dr Krishnamurthy (Ketua Penerangan PKR Sungai Petani), S Sritharan (AJK PKR Sungai Petani), K Masilamani (AJK PKR Merbok), B Kalai Vanar (Ketua PKR Jerai) dan N Gobalakrishnan (ahli Parlimen Padang Serai).
Tambahnya, tiga lagi calon yang menawarkan diri untuk bertanding ialah seorang pemimpin daripada Hindraf, iaitu RS Thanenthiran. Manakala, R Muniandi dan Manogaran turut menawarkan diri. Kedua-dua mereka ialah ahli jawatankuasa bahagian Merbok.
Menurut Loganathan, seorang lagi ahli jawatankuasa PKR Merbok yang turut menawarkan diri ialah Kamal Nasir Taufik.
Dilaporkan bekas ketua PKR bahagian Pokok Sena, A Jayagopal turut menyatakan hasrat untuk bertanding atas tiket bebas jika tidak dipilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil tersebut.
DUN Bukit Selambau kosong berikut peletakkan jawatan V Arumugam sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan exco Kedah.
Pilihan pucuk pimpinan
Dalam pilihanraya umum 8 Mac tahun lalu, V Arumugam yang bertanding atas tiket bebas menang dengan majoriti 2,362 undi.
Beliau mendapat 13,225 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, S Krishnan yang mendapat 10,863 undi.
Manakala kertas pencalonan calon PKR, Saiful Izham Ramli ditolak atas sebab-sebab teknikal.
Selasa lalu, Saiful Izham yang juga ketua AMK Kedah, mengesahkan tidak akan bertanding sebaliknya menumpukan kepada tanggungjawabnya sebagai pengarah pilihanraya kecil DUN tersebut.
Menurut Loganathan, penduduk di Bukit Selambau memerlukan calon yang lantang bersuara, ikhlas dan tegas dengan perjuangan parti.
Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir pemilihan calon yang bertanding akan diputuskan oleh pimpinan tertinggi parti tersebut.
Foto intim Eli: Editor Malay Mail letak jawatan - MalaysiaKini
Editor lamanweb Malay Mail, U-En Ng telah meletak jawatan ekoran laporan akhbar berkenaan berhubung kontroversi pendedahan gambar intim ahli exco kerajaan negeri Selangor, Elizabeth Wong.
Ng mengumumkan keputusannya meletak jawatan dalam forum bertajuk 'Privasi: Adalah ia wujud di Malaysia? Tiba masa untuk digubal undang-undang?' anjuran Majlis Peguam semalam.
Menurut laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily hari ini, Ng yang menjadi salah seorang ahli panel di forum tersebut, berkata laporan mengenai gambar intim Elizabeth gagal untuk menyatakan kebenaran dan sebaliknya telah menimbulkan lebih banyak masalah.
Soal prinsip
Beliau menegaskan bahawa pihak media mesti mengamalkan selia-diri dan mengelak melaporkan berita yang menceroboh privasi peribadi.
Oleh itu, Ng berkata, keputusannya untuk meletakkan jawatan adalah kerana soal prinsip.
Bagaimanapun, Ng bersetuju bahawa menceroboh privasi demi kepentingan awam mungkin ada masanya boleh diterima, seperti dalam kes pegawai kerajaan menerima rasuah di rumah mereka sendiri.
Malay Mail adalah antara dua media yang pertama menyiarkan berita mengenai gambar intim Elizabeth yang diedarkan kepada umum pada 16 Februari lalu.
Sidang tergempar DUN kusutkan lagi krisis Perak - MalaysiaKini
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar memanggil sidang tergempar dewan itu Selasa depan untuk membahaskan dua usul yang boleh mengusutkan lagi krisis politik negeri tersebut.
Beliau menggunakan kuasanya bawah peraturan tetap 8 dan 11 DUN itu untuk membahaskan isu-isu utama yang menjadi ketegangan pokok antara Pakatan Rakyat dan BN sejak awal bulan ini.
Usul pertama, mengesahkan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar yang sah sebelum ditumbangkan dalam rampasan kuasa BN.Kedua, membubarkan DUN bagi membolehkan satu pilihanraya peringkat negeri diadakan seperti hasrat Pakatan Rakyat sebelum ini.
Krisis politik di negeri itu tercetus susulan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat meninggalkan kerajaan campuran itu dan menyatakan sokongan kepada BN.
Speaker membenarkan kesemua Adun hadir di persidangan khas itu kecuali mereka yang telah digantung pada 18 Feb lalu, iaitu menteri besar kerajaan BN sekarang Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exconya.
Tiga wakil rakyat bebas - yang dianggap telah mengosongkan kerusi masing-masing melalui surat peletakan jawatan mereka - juga dilarang menyertai sidang tersebut.
Jika larangan itu dipatuhi, barisan wakil rakyat BN akan tinggal 21 orang, sementara Pakatan Rakyat 27 orang, tidak termasuk Sivakumar.
Sidang tergempar DUN ini akan mencetuskan satu lagi babak tegang dan tidak menentu perebutan kuasa antara BN dan Pakatan.
Menurut Bernama, Sivakumar memberitahu media di Ipoh bahawa sidang tergempar itu tidak memerlukan perkenan Sultan Perak terlebih dahulu kerana notis 14 hari hanya perlu dikeluarkan persidang biasa DUN dan bukannya untuk sidang tergempar.
Katanya, arahan telah diberikan kepada Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong, untuk menghantar notis secepat mungkin kepada semua 49 Adun yang dibenarkan hadi bagi menyertai sidang itu.
Ditanya sama ada tindakannya memanggil sidang tergempar itu tanpa perkenan Sultan Azlan Shah akan dianggap sebagai tidak menghormati baginda, Sivakumar berkata beliau hanya mengikut Perintah Tetap dewan.
Beliau juga enggan mengulas tindakan selanjutnya jika kesemua
Adun BN enggan menghadiri sidang tergempar itu atau jika kesemua 10 wakil rakyat yang dilarang itu tetap hadir ke sidang tersebut, lapor agensi berita itu lagi.
Sementara itu, exco kanan Perak bawah kerajaan Pakatan Rakyat, Datuk Ngeh Koo Ham dilaporkan berkata penasihat undang-undang negeri Datuk Ahmad Kamal Mohd Shahid cuba menghalang notis sidang tergempar itu dikeluarkan.
Tambahnya, tindakan sedemikian boleh disifatkan menghina dewan dan boleh dikenakan tindakan oleh DUN tersebut.
Kabinet tunda kenaikan tol di lima lebuhraya - MalaysiaKini
Kabinet hari ini menunda keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya seperti diumumkan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Mohd Zin Mohamed semalam.
Dalam sidang medianya sebentar tadi, Mohd Zin berkata berikutan itu, kenyataannya semalam mengenai kenaikan kadar tol tersebut, dibatalkan.
Katanya, kenaikan kadar tol itu ditangguhkan hingga akhir tahun ini ekoran reaksi negatif orang ramai serta keadaan ekonomi sekarang.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta keputusan menaikkan kadar tol itu dikaji semula kerana sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk membuat keputusan.
Semalam kalangan wakil-wakil rakyat kerajaan mempertikaikan tindakan mendadak kementerian tersebut.
Semalam, Mohd Zin Mohamed mengumumkan kenaikan kadar tol - antara 0.68 sen/km hingga 50 sen - bagi Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Mohd Zin pada sidang akhbar di kementeriannya petang ini berkata kerajaan kan menangguhkan kenaikan kadar baru tol di lima lebuhraya berkenaan sehingga akhir tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan kenaikan kadar tol itu akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar RM500 juta, yang terdiri daripada ang pembayar cukai kepada syarikat konsensi kelima-lima lebuh raya itu.
Najib yang juga menteri kewangan berkata demikian bagi menjawab soalan emberita mengenai perkara itu dalam sidang akhbar mengenai ekonomi negara di Kementerian Kewangan di Putraya.
Friday, February 27, 2009
PM: Kaji semula kenaikan tol - MalaysiaKini
Perdana menteri meminta Kabinet menimbang semula kenaikan tol di lima lebuh raya yang akan dinaikkan mulai 1 Mac ini kerana kenaikan itu tidak sesuai dalam keadaan sekarang.
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata kajian semula itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan kabinet esok yang dipengerusikan oleh timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak, lapor Bernama dari Pattaya, Thailand.
"Kajian semula adalah perkara terbaik yang perlu dilakukan. Selepas itu kita akan buat keputusan yang wajar," beliau dipetik berkata di sela-sela program Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asean hari ini.
Walaupun kenaikan itu selaras dengan terma perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dan pemegang konsesi lebuhraya, kelulusan yang diberikan Kabinet beberapa minggu lepas mungkin tidak sesuai dengan situasi sekarang, tambahnya.
"Walaupun dipertimbangkan daripada segi syarat-syarat konsesinya patut dinaikkan, tetapi situasi pada masa sekarang ini tidak wajar dinaikkan kerana keadaan rakyat yang susah," katanya lagi.
Tambahnya, satu pendekatan baru akan dicari untuk menangani isu itu, termasuk peruntukan dalam pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan di Parlimen, 10 Mac ini.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Mohd Zin Mohamed hari ini mengumumkan bahawa kenaikan kadar tol antara 0.68 sen/km hingga 50 sen melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Menurut Bernama lagi, Abdullah berkata sejak perbincangan dan keputusan menaikkan tol dibuat Kabinet, keadaan ekonomi tidak bertambah baik dan ini mendorong kerajaan mengeluarkan peruntukan bantuan berupa pakej rangsangan kedua yang akan dibentangkan dalam bentuk bajet mini.
"Kalau kerajaan sendiri telah mengambil pendekatan ini memandangkan rakyat dalam keadaan kesusahan dan di samping itu ekonomi dapat dirangsangkan, saya fikir perkara ini (kenaikan) boleh dibincangkan semula dalam Kabinet mengambil kira situasi yang ada sekarang ini," kata beliau.
Perdana menteri bagaimanapun enggan menyatakan sama ada keputusan kenaikan itu akan ditangguhkan, sebaliknya berkata bahawa ternyata sekali rakyat tidak dapat menerima kenaikan itu berdasarkan laporan yang beliau terima.
Sebarang keputusan perlu mengambil kira keadaan sekarang, katanya.
MB S'gor gali lagi 'kesalahan' Khir - MalaysiaKini
Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menggali satu persatu 'kesalahan' menteri besar terdahulu Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).
Kali ini, Dr Mohd Khir didakwa mendapat faedah dan imbuhan selaku pengerusi PNSB sebelum itu – termasuk kemudahan kereta berjenama Toyota Harrier, bersama pemandu – tetapi perkara itu didakwa gagal diisytiharkan kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).
“Sekumpulan penasihat lantikan Perbadanan Menteri Besar (MBI) kini sedang melakukan penilaian terhadap prestasi PNSB. Dalam proses tersebut, didapati pengerusi sebelum ini, Dr Mohd Khir pernah diberikan kereta Toyota Harrier pada tahun 2005 dan disediakan seorang pemandu pada tahun 2006.
“Beliau menggunakan kesemua faedah sehingga bersara selaku pengerusi PNSB pada Mac 2008. Walau bagaimanapun, tiada kemudahan ini yang dinyatakan dalam borang taksiran (EA) yang diserahkan oleh PNSB sebelum ini,” kata kenyataan sekretariat akhbar pejabat menteri besar Selangor hari ini.
Kenyataan itu juga mendakwa, PNSB turut menanggung penggunaan petrol dan penyenggaraan kereta Toyota tersebut.
“Sehubungan itu, MBI hari ini mengarahkan PNSB menyerahkan senarai lengkap faedah dan kemudahan yang diberikan kepada kalangan pekerjanya pada tahun-tahun lepas kepada LHDN,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, Abdul Khalid, yang juga pengerusi MBI dan PNSB berpendapat, langkah tersebut dilakukan bagi memastikan GLC Selangor tidak mengingkari undang-undang supaya membayar cukai pendapatan.
Implikasi kewangan
Pejabat menteri besar juga mendedahkan, selama beberapa tahun, PNSB memberikan kemudahan kepada kakitangannya – termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah – dalam bentuk barangan atau wang tunai, atau dua bentuk pemberian tersebut.
Kemudahan itu termasuk kereta dan pemandu serta percutian dalam dan luar negara, tambah kenyataan itu.
“Menteri besar menyedari keprihatinan kakitangan PNSB terhadap implikasi kewangan akibat pengurusannya gagal mengisyhtiharkan pendapatan dalam borang EA.
“Beliau meminta kakitangan PNSB bersabar sementara menunggu tindakan LHDN mengenakan tambahan cukai bagi individu yang berkaitan,” kata kenyataan tersebut.
Semalam, Abdul Khalid berkata, lembaga pengarah PNSB sekarang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah 'Al Marwa Tower Makkah' di bawah nama menteri besar ketika itu, Dr Mohd Khir - yang dibangkitkan oleh auditor luar.
Abdul Khalid juga mendakwa pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah didakwa hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit tersebut.
Angkatan Muda PKR petang semalam – diringi seekor lembu – turut memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) di Shah Alam di samping menyerahkan semula 20 aduan lama terhadap Dr Mohd Khir yang didakwa tidak disiasat secara profesional oleh suruhanjaya itu.
Kadar tol 5 lebuhraya naik Ahad ini - MalaysiaKini
Kadar tol bagi lima lebuhraya, termasuk Lebuhraya Utara Selatan (Plus) naik sebanyak 5 peratus mulai 1 Mac ini.
Empat lagi leburaya ialah Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuhraya Baru Pantai (NPE).
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zin Mohamad.
Kadar kenaikan tol terbabit adalah seperti berikut:
Lebuhraya Utara-Selatan (Plus): Kadar kenaikan tol untuk sistem kutipan tol tertutup Plus dinaikkan 0.68 sen sekilometer bagi kereta. Bagaimanapun, kenaikan ini tidak membabitkan tol di Plaza Tol Bukit Kayu Hitam, Tambak Johor dan Bangunan Sultan Iskandar.
Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint). Plaza tol Pantai: naik 50 sen dari RM1.50 kepada RM2 (naik 33) dan Plaza tol Damansara: naik 30 sen dari RM1 kepada RM1.30 (naik 30%).
Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh)(Lebuhraya E12): Kadar tol dinaikkan sebanyak 50 sen bagi kereta - dari RM1.50 hingga RM2 (naik 33%).
Kadar tol Lebuhraya Sungai Besi (Besraya): Kadar tol dinaikkan sebanyak 10 sen bagi kereta - dari RM1.30 kepada RM1.40 (naik 7.7%). Bayaran hanya dibuat di Plaza Tol Mines kerana Tol Salak Selatan Jaya telah ditutup mulai semalam.
Lebuhraya Baru Pantai (NPE): Kadar tol dinaikkan sebanyak 40 sen bagi kereta - dari RM1.60 kepada RM2 (naik 25%).
Dalam kenyataannya, Mohd Zin menyifatkan kenaikan kadar tol baru itu sebagai sangat kecil.
Mohd Zin berkata, sebenarnya kadar tol di lebuhraya Plus, Sprint dan Akleh sepatutnya dinaikkan pada 1 Januari 2008, tetapi telah ditangguhkan kepada 28 Februari lalu.
"Berikutan penangguhan itu, kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM245 juta, iaitu RM177 juta kepada Plus, RM38 kepada Sprint dan RM30 juta kepada Akleh," katanya.
Menurut Mohd Zin lagi, kenaikan kadar tol itu tidak seharusnya dilihat sebagai membebankan kerana mutu dan kualiti lebuhraya berkenaan terjamin, selain menjadi laluan altenatif di kawasan berkenaan.
Kewujudan lebuhraya berkenaan juga, katanya, telah membawa rahmat kepada rakyat dan negara, dengan menggalakkan pembangunan, perumahan, perniagaan dan juga meningkatkan sosio-ekonomi penduduk sekitar.
