Saturday, June 14, 2008

Anak dipaksa kahwin Beego

KUALA LUMPUR 13 Jun - Seorang pensyarah memberitahu Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa beliau berasa bersalah kerana memaksa anak gadisnya meneruskan pernikahan dengan pelakon dan penyanyi Beego sehingga menyebabkan anaknya menanggung penderitaan.

Sambil menahan sebak, Dr. Mohd. Shahru Bahari dari Jabatan Kimia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, beliau menyedari melakukan kesilapan apabila melihat Intan Shahira menangis teresak-esak semasa pernikahannya walaupun tahu anaknya itu tidak rela dengan perkahwinan tersebut.

"Saya sedar saya mungkin telah membuat kesilapan walaupun saya sangat berharap pernikahan itu dapat dilangsungkan," katanya sebagai saksi kedua plaintif pada perbicaraan tuntutan fasakh oleh Intan Shahira, 27, daripada Beego atau nama sebenarnya, Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 28.

Menurut Mohd. Shahru, anaknya menderita selepas pernikahan itu kerana Beego selalu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bukan sahaja kepada anaknya tetapi juga kepada rakan-rakan anaknya sehingga mereka mengetahui masalah yang menimpa Intan Shahira.

Ditanya semasa pemeriksaan balas oleh peguam syarie, Mohd. Nor Md. Din yang mewakili Beego mengenai apakah bentuk SMS yang dihantar, kata beliau, menantunya itu banyak menghantar mesej merayu Intan Shahira kembali semula kepadanya.

Terdahulu, Mohd. Shahru berkata, Intan Shahira hanya berjumpa sekali dengannya untuk menyatakan keengganan meneruskan perkahwinan dan ketika itu anaknya kelihatan kecewa dan tidak tenang.

Sebelum perkahwinan, jelas pensyarah itu, beliau curiga dengan Beego kerana tidak mengetahui latar belakang bakal menantunya dan keluarganya.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui latar belakang Beego melalui anaknya dan diberitahu bahawa Beego hanya menuntut sehingga tingkatan lima dan ibu bapanya telah bercerai sejak dia masih bayi lagi.

Berikutan itu, ujarnya, beliau kurang senang dengan perhubungan tersebut dan hanya membenarkan mereka menjalinkan hubungan sebagai kawan kerana terdapat perbezaan ketara antara anaknya dan Beego.

"Dari segi pendidikan, saya menyekolahkan anak saya sampai ke universiti luar negara (Sydney) tapi defendan (Beego) yang saya tahu berkelulusan Sijil Pengajian Malaysia (SPM). Grednya saya pun tidak tahu," katanya ketika ditanya apakah perbezaan itu.

Ujarnya, beliau dan isterinya ada menasihatkan Beego supaya melanjutkan pelajaran sehingga ke kolej bagi membolehkannya menambah ilmu agar mempunyai tahap pemikiran yang lebih tinggi.

"Ia juga supaya defendan mempunyai tahap pemikiran setaraf dengan plaintif (Intan Shahira) dan kalau kami berbual dari segi ilmiah atau berita-berita dunia, saya harap defendan akan sama-sama berbual dan menunjukkan tahap pemikirannya," katanya.

Menurut beliau, Beego kemudian telah berjanji untuk melanjutkan pelajaran dan menunjukkan keinginan memperbaiki dirinya sebagai ketua keluarga dan mendirikan solat tetapi janji itu tidak pernah dipenuhi.

Walaupun serba kekurangan yang ada pada Beego, katanya lagi, beliau meneruskan perkahwinan anaknya kerana tiga jam sebelum pernikahan, beliau telah bersemuka dengan Beego dan pelakon itu berjanji mengubah perangainya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zain disambung 7 Julai ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...