Saturday, June 14, 2008

Hakim Chin perlu buat laporan polis - Karpal

KUALA LUMPUR 13 Jun - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menggesa Hakim Mahkamah Tinggi Ian Chin membuat laporan polis berhubung dakwaannya bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di satu persidangan pada 1997 mengancam memecat hakim-hakim jika beliau tidak bersetuju dengan keputusan mereka.

Karpal, yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor berkata, Chin tidak harus melindungi diri dengan bersembunyi di belakang kekebalan diberikan kepada hakim-hakim di bawah undang-undang dengan hanya mendedahkannya di mahkamah.

"Walaupun pendedahan beliau terus menjejas keyakinan awam terhadap badan kehakiman, beliau harus beri peluang kepada Dr. Mahathir untuk mempertahankan diri dengan membenarkan polis menyiasat perkara itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini.

Pada Isnin, Chin, ketika mendengar pertikaian berhubung satu keputusan pilihan raya umum Mac di Sarawak, mendedahkan bahawa hakim-hakim telah dihantar ke pusat indoktrinasi dan diancam akan dipecat jika mereka gagal membuat keputusan yang memihak kepada kerajaan.

Karpal juga menggesa polis merekod kenyataan daripada semua hakim yang menghadiri persidangan hakim pada 24 April, 1997.

Beliau juga meminta polis dan pejabat Peguam Negara memberi prioriti teratas dalam menyiasat dakwaan terbaru ini dan berkata beliau akan menimbulkan perkara itu pada persidangan parlimen akan datang 23 Jun.

- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...