Thursday, June 26, 2008

Bekas peniaga mohon injunksihalang tuntut mayat adik

PULAU PINANG 25 Jun - Seorang bekas peniaga hari ini mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perintah injunksi untuk menghalang Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Perak menuntut mayat adiknya yang meninggal dunia, Ahad lalu.

Di samping itu, plaintif, S. Selvam, 48, memohon mahkamah mengeluarkan satu deklarasi bahawa B. Elangesvaran, 33, adalah seorang beragama Hindu sehingga pada hari kematiannya.

Selain itu, plaintif turut menuntut mahkamah mengarahkan defendan pertama, kedua dan ketiga atau kakitangan mereka menyerahkan mayat adiknya itu kepada pihak plaintif atau saudara maranya.

Permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) itu difailkan oleh beliau melalui firma guaman, R. Nethaji Rayer & Co. di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Beliau turut memfailkan writ saman dan surat perakuan segera bagi membolehkan permohonan tersebut didengar secepat mungkin.

Dalam writ saman tersebut, plaintif menamakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sebagai defendan pertama; Jabatan Agama Islam Perak sebagai defendan kedua dan defendan ketiga, Pengarah Hospital Parit Buntar, Perak.

Peguam plaintif, R. Nethaji Rayer berkata, berdasarkan pernyataan tuntutan yang dibuat oleh plaintif menerusi firma guamannya, mendakwa adiknya itu didapati telah menggantungkan diri di rumahnya di Bagan Serai, Perak.

Katanya, setelah dibedah siasat, kakitangan defendan ketiga memberitahu bahawa mayat tersebut tidak boleh diserahkan kepada plaintif kerana Elangesvaran telah memeluk agama Islam di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan ia perlu dikebumikan mengikut adat resam orang Islam.

''Sehubungan itu, plaintif telah menghubungi kakitangan defendan kedua untuk mendapatkan penjelasan dan bukti bahawa adiknya itu telah benar-benar memeluk Islam.

''Defendan pertama dan kedua gagal membekalkan plaintif apa-apa dokumen rasmi yang mengandungi tandatangan dan cap jari adiknya itu untuk mengesahkan dan membuktikan bahawa dia telah memeluk Islam serta meninggalkan agama Hindu," katanya.

Sementara itu, Rayer berkata, plaintif hanya diserahkan dengan satu laporan polis dibuat di Parit Buntar oleh Penguatkuasa Agama yang mendakwa Elangesvaran telah memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Pulau Pinang disertai sepucuk surat bersaiz A4.

Menurutnya, di dalam surat itu mengandungi tulisan yang dikatakan dibuat oleh Elangesvaran tetapi tidak mengandungi tandatangan atau cap jarinya dan tiada mengandungi tandatangan saksi untuk membuktikan bahawa pemelukan Islam oleh dia adalah sempurna, teratur dan sah menurut agama Islam.

''Justeru, memandangkan defendan pertama dan kedua gagal membuktikan Elangesvaran telah memeluk agama Islam dengan mengemukakan dokumen-dokumen pemelukan agama Islam, maka mereka tiada hak untuk menuntut mayatnya daripada defendan ketiga," tambahnya.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...