Tuesday, June 17, 2008

Pekerja OKU selesa syarat elaun

BANGI 16 Jun - Golongan pekerja orang kurang upaya (OKU) kini menikmati kehidupan yang lebih terjamin dan selesa berikutan syarat pendapatan minimum untuk memperoleh elaun OKU dinaikkan kepada RM1,200 daripada syarat asal iaitu RM750 mulai Mei lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen berkata, syarat tersebut adalah bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Sebelum ini, katanya, beliau mencadangkan agar elaun sebanyak RM300 sebulan itu dinaikkan, bagaimanapun ia perlu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sebelum dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, keprihatinan kerajaan terbukti apabila mekanisme bagi menyalurkan bantuan dipertingkatkan dan dilaksanakan dengan berkesan meskipun subsidi petroleum telah dikurangkan.

''Contohnya, kerajaan telah memperkenalkan pembayaran rebat tunai kepada pemilik kenderaan persendirian berdasarkan syarat yang ditetapkan.

''Ini bagi memastikan bantuan diterima oleh semua lapisan masyarakat dengan keutamaan diberi kepada mereka yang berpendapatan rendah,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), di sini hari ini.

Sementara itu, pada majlis itu Yen Yen turut menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada sejumlah 435 orang kakitangan kementeriannya dan agensi di bawah kementerian itu seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).

Anugerah tersebut adalah bagi menghargai pekerja sektor kerajaan yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang tahun lalu berdasarkan penilaian oleh panel juri.

Sementara itu, salah seorang pemenang Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Mazlinda Mohd. Roslin, 34, melahirkan rasa gembira kerana bukan sahaja terpilih sebagai penerima anugerah itu buat kali yang kedua, tetapi juga telah dinaikkan pangkat kira-kira tiga bulan lepas.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pembantu Kanan Pembangunan Masyarakat di Seberang Prai Selatan bagaimanapun berkata, masih banyak yang perlu dipelajari olehnya bagi memantapkan ilmu seterusnya meningkatkan kualiti kerja.

''Meskipun pernah menerima gaji sebanyak RM 470 ketika mula bekerja di Kuala Lumpur dulu, tetapi berkat sokongan rakan-rakan, semua kepayahan itu dapat diatasi dan pekerjaan juga dilaksanakan dengan lebih baik.

''Dengan memperbaiki diri juga membolehkan kita pergi lebih jauh dalam bidang yang diceburi,'' katanya yang turut menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan pada majlis itu.

Pendapatnya turut dikongsi oleh penerima anugerah yang sama, NorJohana Abdullah, 35, yang berkhidmat sebagai jururawat di LPPKN Melaka.

''Kekurangan diri harus diperbaiki dengan menambah ilmu pengetahuan. Oleh itu, saya berharap agar berpeluang melanjutkan pelajaran,'' ujarnya.

Seorang lagi penerima anugerah, Mohd. Khaier Mohd., 46, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan selama hampir 30 tahun di beberapa tempat sebelum berkhidmat di Asrama Bukit Senyum iaitu Pusat Tahanan Pesalah Juvenil di Johor Bahru memberitahu, beliau bangga kerana pengorbanannya turut dihargai.

Beliau menjadikan kepatuhan kepada ketua dan sifat tidak berkira dalam menjalankan tugas tanpa mengharapkan balasan sebagai prinsip hidupnya.

''Biarpun diminta melakukan kerja di luar bidang tugas, saya tetap melakukannya kerana semua itu dianggap amal ibadat dan sama sahaja seperti melaksanakan perintah Tuhan,'' katanya.

Kesemua penerima angerah menerima sijil penghargaan dan juga wang tunai RM1,000.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...