Tuesday, June 24, 2008

Pembangkang gagal - Usul subsidi minyak dibawa kerajaan lulus dengan undi majoriti

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 23 Jun – Cubaan pakatan pembangkang untuk menolak usul penstrukturan semula subsidi minyak dan isu kenaikan harga barang yang dibentangkan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini tidak berjaya apabila keputusan undian belah bahagi memihak kepada kerajaan.

Usul tersebut disokong oleh 129 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) manakala 78 undi menolak usul yang dikemukakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi dengan BN mempunyai 140 Ahli Parlimen dan pembangkang dianggotai 82 wakil.

Ini merupakan kali kedua pembangkang memilih kaedah undian belah bahagi selepas berbuat demikian ketika undian meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2008 pada 28 Mei lalu, yang juga memihak kepada kerajaan sebanyak 92 berbanding 60 undi menentang.

Usul itu antara lain menjelaskan secara terperinci penstrukturan semula subsidi minyak iaitu strategi yang boleh mengelakkan negara daripada terjejas ekoran kenaikan harga minyak di pasaran dunia dan tidak meletakkan Malaysia dalam kemelesetan ekonomi.

Ia juga menghuraikan penjimatan hasil penstrukturan semula subsidi minyak yang disalurkan kepada golongan miskin serta kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketika membentangkannya, Shahrir turut menggariskan peranan Petronas dalam pembangunan negara dengan pendapatannya digunakan untuk aktiviti-aktiviti ekonomi.

Kesemua 129 Ahli Parlimen BN yang menghadiri mesyuarat kedua penggal pertama Parlimen ke-12 itu menyokong usul tersebut termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul itu dibahaskan selama tujuh jam dari pukul 12.30 tengah hari oleh seramai 18 wakil rakyat iaitu sembilan daripada BN dan sembilan wakil pembangkang, antaranya Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Sebanyak 11 Ahli Parlimen BN tidak hadir semasa pengundian termasuk dua Ahli Parlimen Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui (BN-Tawau) dan Datuk Eric Enchin Majimbun (BN-Sepanggar) yang disebut-sebut minggu lalu akan mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Abdullah.

Ahli Parlimen BN lain yang tidak hadir semasa pengundian usul kerana urusan rasmi ialah Menteri Luar, Datuk Seri Rais Yatim (BN-Jelebu), Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulhasnan Rafique (BN-Setiawangsa) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datoh).

Turut tidak hadir ialah Tan Sri Rafidah Aziz (BN-Kuala Kangsar), Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (BN-Kangar), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Datuk Tiong Thai King (BN-Lanang), Datuk Dr. James Dawos Mamit (BN-Mambong) dan Raimi Unggi (BN-Tenom).

Empat Ahli Parlimen pembangkang yang tidak hadir pula ialah Gobind Singh Deo (DAP- Puchong), Chow Kon Yeow (DAP-Tanjung) dan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai).

Usul itu pada mulanya dipersetujui diputuskan melalui undi persetujuan suara semasa sidang dipengerusikan oleh Timbalan Yang Dipertua, Ronald Kiandee.

Bagaimanapun, ia terpaksa dimuktamadkan dengan pengundian belah bahagi oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas Ahli Parlimen pembangkang membuat bantahan.

Bantahan itu menyebabkan dewan menjadi gamat seketika apabila wakil daripada kedua-dua belah pihak saling mempertahankan keputusan masing-masing.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) berhujah bahawa keputusan Ronald itu telah dibuat dan ia adalah muktamad.

Ahli Parlimen pembangkang, bagaimanapun, bertegas mahukan pengundian dijalankan melalui belah bahagi berdasarkan kepada Peraturan Mesyuarat Perkara 44 (3).

Ketua Whip PKR, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) yang bangun membantah keputusan Ronald menegaskan, Ahli Parlimen DAP-Ipoh Barat, M. Kulasegaran telah bangun lebih awal untuk meminta pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Kulasegaran mendakwa ada Ahli Parlimen BN yang akan menolak usul itu dan mencadangkan agar sistem pengundian di Dewan Rakyat diubah bagi melindungi mereka yang bercadang menolak mana-mana usul kerajaan.

Dewan kecoh seketika dengan pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan Ahli Parlimen pembangkang itu, mendorong Pandikar Amin memutuskan supaya pengundian dijalankan secara belah bahagi.

Terdahulu, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) ketika membahaskan usul tersebut menyarankan kerajaan mengkaji perolehan syarikat minyak negara, Petronas, agar ia dapat digunakan bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat.

Katanya, kenaikan harga minyak dan barangan lain amat membebankan rakyat dan beliau percaya peningkatan itu lebih tinggi daripada gambaran inflasi 2.9 peratus yang dinyatakan kerajaan.

Halimah Sadique (BN-Tenggara) pula mencadangkan agar kerajaan menyediakan satu akaun khas bagi menyatakan penjimatan yang diperoleh daripada penstrukturan semula subsidi harga minyak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...