Tuesday, June 24, 2008

Tiada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri

KUALA LUMPUR 23 Jun - Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini tidak menerima sebarang usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah dua Ahli Parlimen daripada Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Datuk Eric Enchin Majimbun yang digembar-gemburkan akan membawa usul tersebut tidak hadir pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak menerima apa-apa notis berhubung usul undi tidak percaya daripada mana-mana ahli Parlimen.

''Isu ini digembar-gemburkan kononnya usul berkenaan akan dikemukakan tetapi saya tengok tidak ada apa-apa pun," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mohamed Nazri turut meminta Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee supaya tidak mengugut kerajaan Barisan Nasional (BN) dan jangan sekali-kali mengheret rakyat Sabah dalam isu itu.

Minggu lalu, Teck Lee mengisytiharkan parti itu hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Abdullah dan dua wakil rakyat SAPP bersedia menyokong sebarang usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sidang Dewan Rakyat perlu menyelesaikan semua urusan berkaitan kerajaan terlebih dahulu sebelum boleh menerima usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri daripada mana-mana ahli Parlimen.

Menurutnya, sebarang usul undi tidak percaya seperti yang mahu dibentangkan oleh ahli Parlimen daripada SAPP, hanya akan berlaku jika ia mendapat sokongan hampir semua ahli Parlimen lain.

"Tidak ada peraturan khusus disediakan dalam Parlimen berkaitan usul tidak percaya ini. Ia dibuat di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) tetapi itupun perlu dibuat selepas selesai semua urusan kerajaan dalam Parlimen. Masih banyak akta yang perlu dibentangkan dan kerja yang lepas pun masih tertunggak.

"Jadi usul seperti ini tidak boleh dibuat oleh dua tiga orang saja... kalau semua (ahli Parlimen) kata setuju untuk undi tidak percaya baru ia boleh berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Wan Junaidi berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3), notis mengenai usul undi tidak percaya perlu dikemukakan 14 hari sebelum ia dibentangkan di Parlimen.

"Tetapi sehingga sekarang, tiada ahli Parlimen yang menyerahkan notis berhubung perkara itu. Mereka belum bagi apa-apa notis lagi dan bagi saya kita hanya membuat spekulasi mengenai perkara ini. Jadi saya juga hanya memberi komen berdasarkan kepada spekulasi anda semua," katanya.

utusan malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...