Wednesday, June 4, 2008

Rais tanding Naib Presiden

leh ZULKIFLI JALIL

PUTRAJAYA 2 Jun - Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menjadi pemimpin UMNO ketujuh menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti Disember ini.

Bagaimanapun kesediaan beliau berbuat demikian dengan syarat sistem kuota kelayakan bertanding dihapuskan terlebih dahulu.

Menurutnya, sikap enggan mengumumkan pendirian bertanding jawatan itu sebelum ini berpunca kerana dirinya masih beranggapan bahagian-bahagian UMNO masih cenderung kepada perilaku 'mata duitan'.

''Saya sendiri pernah mengalami perkara ini beberapa tahun lalu sebab saya ini jenis yang tidak berduit.

''Kerana itu saya tidak melonjakkan apa-apa ramalan atau pendirian untuk bertanding. Namun jika tiada sistem kuota tetapi sekadar dua (bahagian) mencadang dan satu (bahagian menyokong), saya sedia bertanding Naib Presiden.

''Pemimpin-pemimpin besar dalam UMNO tidak harus gusar (jika sistem kuota dihapuskan), saya percaya rekod anda akan dinilai dengan sebaik-baiknya oleh ahli-ahli parti," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Enam pemimpin lain yang telah menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden ialah penyandangnya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.

Mengikut peraturan yang diluluskan pada Perhimpunan Agung Khas UMNO Oktober 1988, kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Presiden memerlukan sokongan daripada 10 peratus atau 19 bahagian daripada keseluruhan 191 bahagian parti di seluruh negara.

Pemilihan UMNO akan bermula di peringkat cawangan dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini, disusuli peringkat bahagian (9 Oktober hingga 9 November) sebelum pemilihan peringkat Pusat ditentukan oleh sekurang-kurangnya 1,700 perwakilan pada Perhimpunan Agung parti dari 16 hingga 12 Disember.

Dalam pada itu, Rais yang ditanya tentang kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau adalah antara empat calon yang dianggap paling layak oleh bekas Presiden UMNO itu untuk mengambil alih tempat Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata: ''Saya hargai pandangan beliau tetapi saya telah 'ukur baju di badan sendiri' bahawa jawatan Naib Presiden sahaja kelayakan saya. Bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden biarlah sesiapa nak bertanding, janganlah sekat."

Mengulas mengenai perjumpaan ahli-ahli MT pada Khamis dan Jumaat ini di Shah Alam, Rais berkata, ia akan membincangkan pandangan mengenai perjuangan tulen parti.

Kata beliau, antara yang dijangka dibincangkan ialah soal sistem kuota kelayakan bertanding selain untuk memberi penghormatan kepada UMNO bahagian terutama semasa membuat pencalonan dan cadangan pada perhimpunan agung nanti.

''MT UMNO akan mengadakan perbincangan dari hati ke hati dan semua pihak akan memberi pandangan secara ikhlas.

''Dan bagi saya, para pemimpin UMNO perlu menyisihkan soal antara setia pada parti dan menjadi pengikut kepada mana-mana pihak. Sikap untuk menjadi pak turut tidak wajar dibiarkan berterusan sehingga merencatkan perjuangan parti," katanya.

utusan malaysia

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...