Friday, June 20, 2008

Remaja didakwa rogol jiran

KLANG 19 Jun - Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol jirannya hingga menyebabkan mangsa kini mengandung.

Remaja berusia 18 tahun itu mohon dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Aslam Zainuddin.

Dia didakwa merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 15 tahun pada pukul 11 malam, September tahun lalu di sebuah rumah di Telok Gadong di sini.

Penolong Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan (pindaan September 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.

Menurut Aimi Syazwani meskipun mangsa kini telah berpindah ke tempat lain selepas kejadian namun beliau tetap membantah jaminan diberikan.

Ujar beliau, pendakwaan khuatir tertuduh akan mengganggu mangsa yang masih belajar di tingkatan empat dan sedang mengandung.

Peguam Azzizul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh memohon jaminan diberikan kerana anak guamnya yang berhasrat melanjutkan pelajarannya.

"Faktor mangsa mengandung tidak boleh dijadikan alasan untuk membantah jaminan disebabkan pada peringkat ini, belum dapat disahkan menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bayi siapakah yang sedang dikandung mangsa," tegas Azzizul sambil menyatakan mahkamah tidak boleh bergantung kepada andaian semata-mata.

Beliau menambah, ibu tertuduh yang tidak bekerja hanya mampu mengemukakan wang jaminan RM5,000.

Ketika Aslam membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin, beliau memberi amaran supaya tertuduh tidak menganggu mangsa.

Kes akan disebut semula pada 23 Julai ini.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...