Friday, June 20, 2008

"Yong arah bayar ejen RM5 juta"

Oleh Berita Harian
Jumaat, 20 Jun 2008

KK: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri mengarahkan pembayaran lebih RM5 juta hasil keuntungan jualan saham syarikat milik kerajaan negeri kepada ejen pilihannya pada 1996, Mahkamah Tinggi diberitahu, semalam.

Bekas Pengarah Briskmark Enterprise Sdn Bhd, Datuk Wasli Mohd Said, berkata ketika beliau menjadi Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), beliau berjumpa Yong di pejabatnya untuk memberikan taklimat mengenai cadangan pengambilalihan pengurusan 40 peratus saham Sapi Plantation milik LKTNS.

Wasli berkata, peguam yang mewakilinya William Cheah mencadangkan penubuhan syarikat (Briskmark) untuk dijadikan wadah bagi dana politik dan peguam itu memintanya memberikan taklimat kepada ketua menteri berhubungnya.

“Saya memberikan taklimat kepada Ketua Menteri mengenai perkara itu dan memberitahunya mengenai keuntungan daripada langkah penyenaraian membabitkan saham Sapi dalam PPB Oil Palms,” katanya.

Katanya, selepas perjumpaan pertama itu, beliau bertemu Yong beberapa kali lagi iaitu bukan saja di pejabat tetapi juga di tempat lain di mana bekas Ketua Menteri itu mengarahkannya membayar sebahagian keuntungan penjualan saham itu kepada ejen pilihannya.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria, Wasli berkata Yong akan menghubunginya menerusi telefon bimbit untuk memaklumkan bila bayaran itu akan dibuat, lokasi dan nombor pendaftaran kereta ejen terbabit.

Beliau memberikan keterangan pada perbicaraan bekas Menteri Pembangunan Tanah dan Koperasi, Tan Sri Kasitah Gaddam, yang didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi LKTNS untuk kepentingan peribadi dengan mengambil bahagian dalam membuat keputusan meluluskan cadangan penjualan 16.8 juta saham Sapi kepada Briskmark.

Kasitah, 60, juga didakwa memperdayakan LKTNS dengan menyembunyikan tawaran PPB Oil Palms untuk memperuntukkan lima saham bagi setiap saham Sapi dalam cadangan penyenaraian itu.

Kepada soalan lain, Wasli berkata satu daripada pembayaran kepada ejen Yong dibuat menjelang pilihan raya umum 1999.

Katanya, selain Yong, beliau membayar wang tunai RM500,000 kepada setiap daripada lapan anggota lembaga Briskmark sebagai derma kepada mereka.

Mereka ialah Datuk Salleh Otik, Datuk Ismail Jook, Abdul Kader Pateh, Laimun Laikim, Michael Emban, Talib Aning, John Liaw dan Catherine Yong.

Wasli memberitahu mahkamah yang beliau tidak menerima resit bagi pembayaran kepada ejen Yong atau yang lain.

Kepada soalan lain, katanya, kebanyakan surat itu yang dialamatkan kepada menteri yang bertanggungjawab terhadap LKTNS iaitu Datuk Joseph Kurup (kini Tan Sri), bekas Ketua Menteri dan LKTNS didraf oleh peguamnya (William Cheah) dan beliau hanya menandatanganinya.

“Pada asasnya beliau (peguam) merancang semuanya dan saya melaksanakannya,” kata Wasli.

Katanya, sebelum penjualan saham itu, peguamnya menasihatkan beliau supaya berjumpa Kasitah yang juga Pengerusi LKTNS dan memaklumkan kepadanya menerusi surat bahawa lapan peratus daripada 40 peratus saham Sapi akan dijual kepada Kasitah.

Wasli berkata, beliau menyerahkan surat itu kepada Kasitah pada 5 Oktober 1996 dan Kasitah hanya menganggukkan kepalanya selepas membaca kandungan surat berkenaan.

Beliau juga memberitahu mahkamah, Kasitah memintanya berjumpa seorang pegawai RHB Bank, Rossana Annizah mengenai penjualan lapan peratus saham itu yang bersamaan dengan 16 juta saham biasa PPB Oil Palms.

Perbicaraan di hadapan Hakim Suraya Othman disambung hari ini

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...