Saturday, June 21, 2008

Sokong Rafidah, Shahrizat

SHAH ALAM 20 Jun - Pergerakan Wanita UMNO Selangor menyatakan sokongan kepada Tan Sri Rafidah Aziz dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk terus mempertahankan jawatan masing-masing sebagai Ketua Wanita dan Naib Ketua Wanita pada pemilihan parti Disember ini.

Ketua Wanita UMNO Selangor, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin berkata, keputusan sebulat suara itu dibuat demi memastikan UMNO terus stabil di semua peringkat termasuk akar umbi.

Menurutnya, ketika UMNO berdepan dengan pelbagai cabaran pada masa ini, adalah penting semua ahli Wanita yang seramai 1.4 juta orang mengekalkan kekukuhan parti supaya tidak berlaku sebarang pergolakan.

"Kita mahu beri tumpuan untuk kukuhkan parti bermula dari akar umbi supaya UMNO terus stabil kerana kita sedang berdepan dengan pelbagai cabaran.

"Kita harap Wanita UMNO di negeri-negeri lain turut memberi sokongan yang sama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan Wanita UMNO Selangor di sini hari ini.

Selasa lalu, Rafidah menyuarakan hasrat untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO seandainya mendapat kuota pencalonan yang mencukupi daripada pergerakan itu.

Ditanya siapakah yang akan mencabar kerusi Naib Ketua Wanita UMNO berikutan kenyataan Sharizat sebelum ini bahawa jawatannya dijangka menjadi rebutan pada pemilihan parti, Seripah Noli memberitahu, beliau tidak mendengar desas-desus mengenainya.

Bagaimanapun, beliau percaya ia hanya khabar angin yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat untuk mengkucar-kacirkan UMNO.

Jelas beliau, Shahrizat merupakan calon yang paling layak untuk menerajui Wanita UMNO selepas Rafidah berdasarkan pengalamannya dalam pergerakan tersebut.

"Shahrizat sudah dididik dan mempunyai banyak pengalaman. Dia akan jadi ketua selepas ini," ujarnya.

utusan online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...