Wednesday, July 2, 2008

CYC hanyalah sejarah

Petikan: Harian Metro

Oleh Lokman Zainal Abidin

lockman@nstp.com.my
ISMAIL...bersyarat.
ISMAIL...bersyarat.

PERSETUJUAN sudah diberi tetapi kejohanan edisi kedua Piala Juara-Juara Belia (CYC) yang dijadualkan Ogos ini, tampak terlalu jauh dan sukar untuk direalisasikan penganjur, Gifted Group Limited (GGL).

Situasi ketika ini ternyata tidak langsung memihak kepada GGL dan atas dasar itulah maka persetujuan yang diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kelmarin, tidak akan mengubah apa-apa, sekali gus membuatkan kejohanan hanyalah sejarah.

KBS bersetuju untuk membenarkan GGL menganjurkan pertandingan terbabit tetapi dengan syarat, mereka hendaklah mendapatkan kebenaran daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dulu.

Mana mungkin GGL mampu merealisasikan CYC kerana selain perlu ‘menebalkan muka’ berdepan dengan pucuk pimpinan FAM, badan induk kebangsaan itu sendiri perlu mendapatkan kelulusan badan induk bola sepak dunia, Fifa yang menetapkan tempoh 60 hari sebelum memberikan sebarang kelulusan.

Kejohanan itu dijangka dilangsungkan bulan depan dan dalam tempoh tidak sampai 60 hari seperti yang disyaratkan, GGL memerlukan sentuhan yang benar-benar ajaib untuk mendapatkan kelulusan Fifa.

Selain itu, Penolong Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, tidak mungkin CYC dapat dilangsungkan kerana musim bola sepak tempatan masih belum tamat, malah kemuncaknya hanya akan diketahui bulan depan.

“CYC mahu dilangsungkan bulan depan dan pada masa itu juga saingan Piala Malaysia mencapai kemuncaknya.

“Pada bulan sama, kita akan mengadakan separuh akhir dan perlawanan akhir saingan paling elit di Malaysia itu.

“Lagi pula, semua venue di negeri-negeri yang dicadangkan GGL itu turut terbabit dengan Piala Malaysia.

“Di mana saingan Piala Malaysia mahu dijalankan sekiranya pada masa sama, CYC mahu menggunakan padang terbabit?” tanya Mohd Saifuddin.

Beliau juga mengesahkan bahawa setakat ini, FAM masih belum menerima sebarang surat atau dokumen daripada mana-mana pihak berhubung kelulusan yang diberikan KBS itu.

“Apa yang diperkatakan itu hanyalah kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob dan kami tidak boleh memberikan sebarang kenyataan balas mengenainya.

“Sekiranya kami menerima maklumat atau surat daripada GGL, kami perlu melanjutkan perkara itu kepada Presiden serta Exco kerana keputusan sebelum ini diputuskan oleh dua pihak berkenaan (Presiden dan Exco).

“Kami di FAM hanya bertindak selaku sekretariat. Sekiranya Presiden dan Exco sudah membuat satu persetujuan, barulah kami boleh melakukan apa yang perlu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...