Wednesday, July 2, 2008

Tindakan Mahkamah Jika Nikko Electronics Gagal Bayar Pampasan Kepada Pekerja, Kata Menteri

02 Julai, 2008 15:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Julai (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia akan mengambil tindakan mahkamah terhadap syarikat elektronik, Nikko Electronics Bhd yang beroperasi di Perai, sekiranya gagal membayar pampasan kepada 1,000 pekerjanya yang diberhentikan tanpa sebarang notis.

Menterinya Datuk Dr S Subramaniam berkata syarikat itu, yang menutup operasi secara tiba-tiba selepas beroperasi selama 19 tahun, diberikan tempoh dua bulan untuk membuat bayaran itu atau menghadapi tindakan mahkamah.

"Kalau mereka enggan bayar, tuntutan boleh dibuat di Mahkamah Perusahaan. Jumlah bayaran itu ada formula tertentu dan pembayaran juga bergantung kepada berapa lama seorang kakitangan berkhidmat dengan syarikat itu," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Pada 30 Jun lepas, syarikat itu mengeluarkan produk mainan tanpa wayar, memberhentikan operasinya dengan alasan pasaran dan eksport yang terjejas serta kos operasi kian meningkat, mengakibatkan 948 pekerja tempatan dan 73 pekerja asing hilang pekerjaan.

Subramaniam berkata syarikat itu telah memaklumkan awal kepada kementerian bagi menutup operasi selain menyatakan persetujuan untuk membuat bayaran pampasan.

Katanya pekerja-pekerja syarikat itu telah membuat laporan kepada Jabatan Tenaga Kerja Pulau Pinang menyebabkan siasatan dibuat.

Beliau berkata Jabatan Tenaga Rakyat akan membuat siasatan lanjut mengenai kemungkinan syarikat itu juga gagal mematuhi beberapa peraturan lain.

Menurutnya kesalahan ketara syarikat itu ialah memberhentikan pekerja tanpa sebarang notis dan kes itu tetap dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja untuk tindakan.

Subramaniam berkata bagi kesalahan seperti kes itu pengurusan syarikat boleh didenda, tidak dibenarkan keluar dari negara ini atau penjara.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...