Tuesday, July 8, 2008

Kerajaan Tidak Akan Naik Harga Petrol & Diesel Hingga Hujung Tahun Ini, Kata Nor Mohamed

08 Julai, 2008 18:54 PM

KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menegaskan kerajaan telah membuat keputusan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel sehingga hujung tahun ini walaupun terdapat kenaikan harga minyak dunia dalam tempoh itu.

Beliau berkata kerajaan akan mencari alternatif yang sesuai bagi menangani masalah kenaikan harga minyak yang berterusan.

"Pada masa ini, kerajaan telah berjanji bahawa sungguhpun harga minyak dunia naik dalam tempoh hingga hujung tahun ini, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel (dalam tempoh itu)," katanya pada sesi penggulungan perbahasan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Mengenai persoalan monopoli Petronas dalam penjualan gas asli untuk kenderaan (NGV), Nor Mohamed menegaskan Petronas tidak memonopoli dalam penjualan NGV di negara ini dan tidak ada halangan untuk syarikat-syarikat lain untuk terbabit dalam perniagaan itu.

Beliau berkata syarikat-syarikat petroleum yang beroperasi di negara ini enggan terbabit dalam perniagaan itu kerana masalah harga.

Katanya pada masa ini harga jualan NGV dikawal kerajaan iaitu pada 68 sen seliter berbanding harga pasaran iaitu RM3.11 seliter.

"Tidak ada monopoli dalam penjualan NGV oleh Petronas. Tidak ada halangan bagi syarikat-syarikat lain untuk menceburi perniagaan ini, tetapi mereka enggan kerana mereka akan mengalami kerugian berikutan harga kawalan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Nor Mohamed berkata bagi tempoh 1997 sehingga Mac 2008, Petronas telah membelanjakan RM430 juta sebagai subsidi untuk 30,000 pengguna.

Katanya selain menanggung subsidi, Petronas juga telah menanggung kos untuk menyediakan infrastuktur dan membina stesen-stesen NGV.

Pada masa ini sebanyak 73 stesen NGV telah dibina dan Petronas memberi jaminan jumlah itu akan meningkat kepada 200 stesen sebelum 2010.

Selain itu, Nor Mohamed berkata beliau akan berbincang dengan kabinet mengenai rungutan daripada pekebun-pekebun kecil yang meminta menarik balik levi 15 peratus bagi setiap tan minyak sawit mentah yang melebihi RM2,000.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...