Monday, July 14, 2008

Petugas media dihalang masuk Parlimen

14-07-2008 01:58:44 PM


PARA petugas media berkumpul untuk mendengar perbahasan di dalam Dewan Rakyat melalui televisyen yang di sediakan di dalam bangunan Parlimen di sini, hari ini. Mereka dibenarkan masuk ke bangunan itu satu jam kemudian hasil campur tangan Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional dan pihak berkuasa Parlimen. -foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 20 kakitangan media yang ditugaskan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat dihalang daripada memasuki perkarangan Parlimen sebelum dibenarkan masuk satu jam kemudian hasil campur tangan Kelab Anggota Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan pihak berkuasa Parlimen.

Larangan masuk itu dipercayai sebahagian daripada langkah keselamatan yang diambil oleh polis kerana satu perhimpunan bantahan dikatakan akan berlangsung di hadapan bangunan Parlimen hari ini.

Petugas media berkenaan akhirnya dibenarkan masuk pada 10.45 pagi selepas Pengerusi BNBBC Datuk Seri Tiong Sing King dan timbalan pengerusinya, Datuk Bung Mokhtar Radin dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Kamaruddin Baria berunding dengan pihak polis.

Bagaimanapun, beberapa petugas media asing, media portal berita dan petugas media tanpa kad akreditasi media rasmi tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.

Sehingga pukul 11 pagi, perhimpunan yang diura-urakan itu tidak berlaku.
Keadaan di sekitar kawasan Parlimen kelihatan terkawal. BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...