Wan Nordin Wan Yaacob | Foto Wan Zahari Wan Salleh
Mon | Jul 14, 08 | 3:09:06 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 Julai (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar menyifatkan sekatan yang berlaku di beberapa jalan raya menuju ke Parlimen hanya menjadikan kawasan Parlimen seolah-olah 'zon perang'.
Malah tindakan polis mengadakan sekatan bermula dari beberapa jalan raya menuju ke Kuala Lumpur hanya menyusahkan pergerakan rakyat, katanya.
"Kami ahli parlimen juga terpaksa melalui kesesakan yang disebabkan sekatan jalan raya yang dibuat pihak polis," katanya kepada Harakahdaily sebentar tadi.
Sedangkan katanya, Pakatan Rakyat tidak merancang sebarang perhimpunan aman di Parlimen terhadap usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang dibawa Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini.
"Kami tidak pernah merancang himpunan, mengapa pihak berkuasa polis perlu mengadakan sekatan hingga menjadikan Parlimen seperti dalam 'zon perang' atau 'zon bahaya'," ujarnya.
Beliau seterusnya melihat sekatan jalan raya yang dibuat hari ini hanyalah sebagai usaha untuk menakut-nakutkan pihak tertentu malah menggambarkan kononnya berlaku sesuatu.
Beliau juga kesal dengan tindakan pihak berkuasa menghalang wartawan-wartawan dari media alternatif termasuk Harakah untuk masuk ke bangunan Parlimen bagi membuat liputan.
"Biasanya mereka boleh masuk sahaja untuk membuat liputan, tetapi mengapa hari ini mereka dihalang, adakah ini kerana kerajaan takut dengan bayang-bayang sendiri,"soalnya.
Sementara itu, mengulas mengenai usul Ketua Pembangkang yang ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia beliau menyatakan bahawa usul itu tiada salahnya jika diterima dan dibahaskan.
"Apa salahnya jika ia dibahaskan kerana tiada peruntukan dalam perkara 18 untuk membuat undian.Kenapa tidak beri pihak membawa usul untuk membahaskan selama setengah jam dan pihak kerajaan menjawab selama setengah jam," ujarnya.
Sementara itu sejak jam 9.30 pagi tadi lagi, beberapa orang wartawan di kalangan akhbar alternatif termasuk Malaysiakini dan Harakah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen termasuk di pekarangan hadapan bangunan tersebut.
Semuanya gara-gara satu perintah mahkamah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Kuala Lumpur yang tidak membenarkan Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan mana-mana pihak yang kononnya menyokong Pakatan Rakyat berada di sekitar 5 kilometer dari bangunan Parlimen.
Meskipun krew Harakah cuba berbincang dengan pegawai bertugas di hadapan pos kawalan keselamatan, namun ianya gagal walaupun Harakah tidak pernah dihalang masuk ke Dewan Rakyat sebelum ini.
Alasan pegawai tersebut ialah ' ini bukan kebiasaan, yang ada pas biru (pas daripada Jabatan Penerangan) sahaja yang boleh masuk'.
Krew Harakah dan beberapa orang wartawan Malaysiakini diarahkan meninggalkan kawasan kononnya yang dikatakan kawasan larangan oleh beberapa orang Pegawai Cawangan Khas.
Beberapa minit kemudian, muncul Pengerusi BNBBC, Dato' Seri Tiong King Sing dan timbalannya, Dato' Bung Mokhtar Raden untuk menyelesaikan rungutan wartawan berhubung sekatan memasuki kawasan Parlimen.
Bagaimanapun, mereka hanya menyelesaikan masalah sekatan membabitkan kelompok wartawan yang memiliki pas penerangan sahaja, sementara beberapa orang wartawan dari akhbar alternatif masih tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen.
Krew Harakah hanya menunggu di luar bangunan untuk membuat liputan Parlimen hari ini hingga jam 1.00 petang.
Sementara itu usul yang dibawa Wan Azizah menyebut, bahawa pilihan raya umum ke-12 menyaksikan tsunami politik apabila lima negeri dan Wilayah Persekutuan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dan BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Menurutnya, BN mencapai kemenangan tipis dengan memanipulasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan melalui pembohongan.
Harga minyak pula, tambahnya, dinaikkan dengan tiba-tiba selepas pilihan raya walaupun Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak - ketika melancarkan manifesto pilihan raya - berjanji ia tidak akan berlaku.
Manakala ahli-ahli parlimen BN, katanya, yang menolak sikap tidak bertanggungjawab pemimpin mereka, telah diancam dan dipaksa berdiam diri.
Perkembangan tersebut, tambahnya, telah menimbulkan krisis keyakinan terhadap Perdana Menteri dan anggota kabinetnya.
Rakyat, menurut usul itu lagi, berdepan dengan beberapa krisis seperti kenaikan harga bahan bakar dan makanan.
Menurutnya lagi, keyakinan rakyat terhadap polis, peguam negara dan badan kehakiman telah merosot, dan jenayah dan rasuah semakin meningkat. - mks. _
No comments:
Post a Comment