Monday, August 4, 2008

Gaduh, dipukul dan rasuah politik cemari mesyuarat Umno - mStar Online

04-08-2008 09:52:17 PM PETALING JAYA: Umno yang mengadakan mesyuarat tahunan peringkat sejak dua minggu lalu dicemari dengan pergaduhan dan gejala politik wang.

Di Kota Tinggi, polis menerima lima laporan mengenai kejadian pergaduhan dalam mesyuarat agung beberapa cawangan Umno dalam Bahagian Kota Tinggi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Osman Mohd Sebot yang mengesahkan tentang kejadian pergaduhan itu hari ini berkata, polis menyiasat satu daripada laporan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Ketua Umno Bahagian itu dilaporkan oleh akhbar hari ini sebagai berkata, penjalanan mesyuarat cawangan kali ini adalah yang terburuk dan dibayangi dengan unsur-unsur "kemaruk kuasa."

Syed Hamid, yang telah mendapat 10 pencalonan, dijangka menghadapi saingan sengit dalam pemilihan kali ini daripada bekas naib ketua bahagian itu Daing A.Malik Daing A.Rahman yang telah mendapat 13 pencalonan setakat ini.

Dalam pada itu, di Ipoh, seorang anggota jawatankuasa (AJK) UMNO Cawangan Pernas Charter Management (PCM) Bahagian Gopeng cedera di kedua-dua kaki akibat dipukul dengan kayu golf selepas seorang rakannya tidak berpuas hati berhubung pencalonan jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian itu semalam.

Mangsa, Abdullah Abdul Hamid, 44, yang menyertai UMNO sejak 1985, menerima rawatan sebagai pesakit luar Hospital Permaisuri Bainun.

Abdullah berkata, selepas selesai mesyuarat, pukul 4.30 petang, beliau yang singgah di
Batu Gajah didatangi seorang lelaki yang tidak berpuas hati apabila abangnya yang juga setiausaha UMNO Bahagian Gopeng tidak dicalonkan cawangan PCM untuk bertanding timbalan ketua UMNO bahagian itu.

Lelaki itu yang juga AJK UMNO cawangan Kampung Pisang itu naik berang lalu mengeluarkan sebatang kayu golf dari keretanya lalu memukul Abdullah, katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri Ketua Umno Cawangan PCM Hishamuddin Abdul Rahman.

Abdullah yang bekerja sebagai Eksekutif Tekun Nasional di sini kemudian berlari untuk menyelamatkan diri dan dibantu oleh orang ramai untuk mendapatkan rawatan di hospital Bainun sebelum membuat laporan di Balai Polis Batu Gajah.

Jurucakap Balai Polis Batu Gajah ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat oleh Abdullah.

Empat calon dijangka bertanding bagi merebut jawatan Ketua UMNO bahagian itu selepas bekas ketuanya Datuk Seri Abdul Shamsuddin mengumumkan untuk melepaskan jawatan itu barubaru ini.

Sementara itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) hari ini mengesahkan ada menerima beberapa laporan berhubung kes rasuah dalam pemilihan cawangan dan bahagian Umno.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata BPR sedang melakukan siasatan terhadap laporan itu.

"Kita ada terima laporan ...tapi tak banyaklah, sejumlah kecil saja. Kita sedang mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan calon Ketua Umno Bahagian Seremban Mohd Nor Awang oleh BPR kerana disyaki memberi sogokan wang kepada seorang anggota Umno untuk mengundinya pada mesyuarat cawangan.

Ahmad Said menjelaskan definisi rasuah tidak berdasarkan kepada jumlahnya, asalkan ia dapat mempengaruhi keputusan pemilihan.
Beliau juga berkata, setiap aduan kepada BPR perlu disertakan dengan bukti dan fakta.

"Berikan kepada kami fakta yang benar dan kami akan ambil tindakan," katanya.
Ahmad Said berkata BPR mendapat kerjasama yang baik daripada orang ramai dalam usaha membanteras rasuah.

"Anda dapat lihat sekarang ini kita menerima maklumat yang betul dan bernas daripada orang ramai dan ini menunjukkan satu perubahan baru...kita harap sokongan ini berterusan untuk samasama menentukan kesejahteraan rakyat Malaysia," katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...