Sunday, August 24, 2008

Selasa Ini Cuti Umum Di Pulau Pinang - BERNAMA

24 Ogos, 2008 15:54 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengisytiharkan Selasa ini sebagai cuti umum di negeri ini bagi memudahkan semua pemilih berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada hari berkenaan.

"Semua pengundi digesa keluar menjalankan tanggungjawab mereka mengundi (dalam pilihan raya kecil ini)", katanya dalam kenyataan.

Kerajaan negeri juga meminta semua majikan kilang membantu pekerja mereka di Permatang Pauh menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Lim berkata keputusan kerajaan negeri mengumumkan Selasa ini sebagai cuti umum bagi "memastikan keadilan kepada semua calon".

"Apa yang jelas, mengurangkan jumlah pengundi daripada keluar mengundi akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini kerana ia mungkin dilihat memberi kelebihan kepada satu parti berbanding yang lain," katanya.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) Hanafi Mamat.

Kawasan itu mempunyai 58,459 pemilih berdaftar.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...