Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar tindakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menuduh PKR menerima dana dari Amerika Syarikat sebagaimana dilaporkan media hari ini.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan Khairy itu jelas berniat jahat, bertujuan untuk melengkapkan kempen pembunuhan karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya Kecil Permatang Pauh.
"Sewajarnya bagi Khairy dan Umno lebih menumpukan penghujahan yang berkaitan dasar dan polisi demi kebaikan rakyat, bukan bersikap seperti anjing menyalak bukit, menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat sepanjang kempen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Sokongan rakyat yang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada Keadilan dan Pakatan Rakyat adalah sesuatu yang normal, kerana perjuangan Keadilan dan Pakatan Rakyat sendiri berdiri di atas naluri rakyat yang mahukan perubahan," tambahnya.
Kehangatan kempen Pakatan Rakyat, katanya, jelas menggambarkan keutuhan perpaduan di kalangan komponen Pakatan Rakyat yang sangat baik.
Shamsul berkata, Khairy juga perlu belajar untuk tidak bersikap seperti 'kera kena belacan', supaya berhujah dengan dalil dan fakta yang sahih, bukan bersikap bacul menyerang peribadi tanpa sebarang kesahihan yang munasabah.
No comments:
Post a Comment