Tuesday, August 19, 2008

Samy Vellu Peroleh Injunksi Ad-interim - BERNAMA

19 Ogos, 2008 14:30 PM

SHAH ALAM, 19 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mendapatkan perintah injunksi ad-interim terhadap bekas ketua pemuda MIC, M.Vigneswaran dan tiga yang lain bagi menghalang mereka daripada terus menerbitkan artikel berunsur fitnah mengenai beliau.

Hakim Rosnaini Saub yang membuat perintah itu dalam kamarnya turut mengarahkan pihak plaintif dan kesemua defendan menyediakan hujahan bertulis dalam masa enam minggu sebelum permohonan inter-parte didengar pada 23 Okt depan.

Pada 29 Julai, Samy Vellu memperoleh perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi yang sama bagi menghalang kesemua defendan daripada terus menerbitkan artikel mengandungi fitnah mengenai beliau. Perintah injunksi interim itu berakhir hari ini.

Presiden MIC itu pada 24 Julai memfailkan writ saman terhadap Vigneswaran, editor syarikat akhbar harian Tamil iaitu Malaysia Nanban, M.Maryanandy, penerbit akhbar Malaysia Nanban Penerbitan Sahabat (M) Sdn Bhd dan syarikat percetakan akhbar itu Aslita Sdn Bhd dan menamakan mereka sebagai defendan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Samy Vellu memohon gantirugi RM10 juta bagi libel, gantirugi untuk tort konspirasi, gantirugi teruk, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Samy Vellu mendakwa defendan pertama Vigneswaran dan defendan ketiga iaitu Penerbitan Sahabat telah menerbitkan kenyataan fitnah berkaitan dirinya (Samy Vellu).

Defendan keempat Aslita Sdn Bhd, pula telah mencetak artikel berbentuk fitnah itu dan defendan kedua pula merupakan pengarang akhbar berkenaan yang seharusnya bertanggungjawab terhadap artikel terbabit.

Samy Vellu berkata artikel berkenaan diterbitkan pada 9 Julai lepas pada muka surat satu dan sambungan artikel itu di muka surat empat akhbar Malaysia Nanban.

Samy Vellu berkata artikel itu mempunyai unsur-unsur fitnah dan telah menjejaskan kredibiliti dan nama baiknya.

Beliau juga mendakwa tindakan para defendan bukan sahaja mencemarkan imejnya sebagai presiden parti tetapi juga mengubah tanggapan orang ramai terhadap keupayaan parti dalam melindungi kepentingan masyarakat India.

Vigneswaran pada 13 Ogos lepas pula memfailkan afidavit jawapan dengan mendakwa segala kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau adalah benar dan bukan fitnah.

Katanya kenyataan yang dikeluarkan adalah untuk menjalankan tanggungjawab beliau membela nasib golongan belia India.

Samy Vellu diwakili peguam S.Selvam sementara Vigneswaran diwakili peguam A.Vasanthi dan A.Kumar dan tiga defendan lain diwakili peguam C.S.Arumugam dan Khairun Niza Husnin.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...