Tuesday, August 19, 2008

Shahidan Kassim Umum Tawar Diri Tanding Jawatan Naib Presiden Umno - BERNAMA

19 Ogos, 2008 18:13 PM

ALOR STAR, 19 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang mendakwa mendapat sokongan beberapa buah negeri bagi jawatan naib presiden UMNO hari ini secara terbuka menawarkan diri bertanding untuk jawatan itu pada pemilihan parti peringkat kebangsaan Disember ini.

Menurut Shahidan beliau telah mencapai kompromi dan kata sepakat dengan pengerusi badan Perhubungan UMNO Kedah, Pulau Pinang dan Perak sebagai calon mewakili negeri-negeri kawasan utara untuk merebut jawatan itu.

"Selain itu rakan-rakan sejawatan (pengerusi badan Perhubungan Negeri) Pahang, Terengganu dan beberapa lagi telah saya hubungi... mereka menyatakan sokongan padu," kata Shahidan.

Beliau yang ditemui pemberita semasa singgah di sini dalam perjalanan ke Permatang Pauh berkata ketiadaan calon negeri-negeri di utara menawarkan diri bertanding naib presiden kecuali Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi (Perak) adalah wajar untuknya bertanding.

Katanya jumlah yang ramai menawarkan diri bertanding jawatan itu tidak menjadi masalah kerana antara pemimpin dalam UMNO terdapat aliran pemikiran perlu ada keseimbangan antara kawasan.

Beliau yang menang tanpa bertanding ketua UMNO bahagian Arau berkata keseimbangan kuasa antara kawasan adalah baik untuk parti itu bagi menggambarkan UMNO tidak diwakili oleh satu-satu kelompok pemimpin sahaja.

Mengenai pilihan raya kecil Permatang Pauh, beliau yakin UMNO dan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) telah melakukan yang terbaik untuk rakyat negara ini.

"Mereka (pembangkang) berjuang atas semangat perkauman yang kecil tidak seperti UMNO dan BN atas dasar kepentingan bersama".

Beliau berkata BN Perlis menghantar seramai 1,000 ahlinya bagi membantu jentera parti itu di Permatang Pauh.

"Kita tidak berkempen kerana saya tidak percaya kepada ceramah dalam pilihan raya kecil seperti ini. Saya lebih yakin dengan menjalin hubungan kemanusiaan dan mengenali pengundi supaya mudah kita memberi penerangan," tambahnya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...