Wednesday, September 10, 2008

Chua Kembali, Mahu Rebut Jawatan Presiden - BERNAMA

10 September, 2008 15:02 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Datuk Chua Jui Meng, kali terakhir mencabar jawatan presiden MCA tiga tahun lepas, akan kembali aktif dalam politik dan kali ini akan sekali lagi cuba mencapai apa yang beliau gagal lakukan pada 2005.

Bekas Menteri Kesihatan itu hari ini mengumumkan hasrat bertanding jawatan presiden pada pemilihan parti 18 Okt dan kali ini lawannya ialah Datuk Ong Tee Keat, Menteri Kesihatan dan Naib Presiden MCA yang telah mengumumkan hasrat bertanding jawatan tertinggi parti pada sebulan lepas.

"Dengan ini, bukan maksud saya untuk tidak menghormati kawan lama saya (Tee Keat) apabila mahu mencabarnya, tetapi saya lebih melihatnya sebagai pertandingan yang sihat, satu misi untuk membawa semula parti ke zaman kegemilangan seperti masa dulu," kata Dr Chua pada sidang akhbar di sebuah hotel lima bintang di sini yang dihadiri berpuluh penyokongnya.

Sebelum ini ketika beliau mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan presiden, ianya diadakan di sebuah hotel biasa yang terletak di seberang jalan dari ibu pejabat parti dan dalam pertandingan itu, beliau tewas kepada presiden sekarang Datuk Seri Ong Ka Ting, yang selepas pemilihan itu telah mengumumkan akan melepaskan jawatannya.

"Saya telah memikirkan perkara ini sejak sekian lama dan telah mendapat maklum balas daripada akar umbi, dan saya berpendapat satu-satunya jawatan yang saya patut tandingi ialah jawatan presiden bagi membawa perubahan dan transformasi kepada parti," kata Dr Chua.

Ong, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah berkata yang beliau bertanggungjawab penuh terhadap prestasi teruk parti dalam pilihan raya umum 8 Mac dan dengan itu tidak akan mendapatkan mandat baru.

Dr Chua mengekalkan jawatan pengerusi MCA Bahagian Bakri dalam pemilihan bahagian pada Julai, yang beliau lihat sebagai petunjuk positif untuk aktif kembali dalam politik peringkat kebangsaan selepas beberapa tahun dipinggirkan.

Katanya dengan pengalaman luas beliau selama 15 tahun dalam kerajaan, beliau yakin dapat memainkan peranan lebih efektif untuk memulihkan parti dan menjadi suara yang lebih dinamik dalam gabungan Barisan Nasional.

"Saya percaya yang saya mempunyai kewibawaan untuk berbuat demikian. MCA perlukan pemimpin senior sebagai wakil dalam kerajaan," katanya.

Ahli politik berusia 64 tahun itu yang dilihat pada kali ini menawarkan dirinya sebagai "calon perpaduan" untuk menyatukan anggota parti, yang dikatakan terbahagi kepada dua pasukan -- satu dikaitkan dengan Ong dan satu lagi dengan bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik -- juga merayu sokongan daripada semua perwakilan untuk berkongsi aspirasinya untuk membawa perubahan dalam MCA.

"Saya akui yang saya tidak dapat menyelamatkan MCA secara sendirian, saya perlukan sokongan dan kerjasama daripada semua pemimpin lama dan baru untuk membawa prubahan positif dalam parti," katanya.

"Saya mahu membawa pembaharuan, membina semula dan mengembalikan MCA sebagai parti yang relevan, bukan sahaja membawa perubahan dan transformasi, bukan sekadar simbolik tetapi benar-benar efektif supaya kita boleh menjadi relevan dan diterima oleh bukan sahaja masyarakat Cina Malaysia tetapi juga oleh kaum lain," katanya.

Katanya beliau juga komited untuk menghapuskan rasuah sekiranya beliau menang dalam pemilihan kelak.

Dr Chua juga menggesa pucuk pimpinan parti sekarang untuk memberikan kebebasan untuk akses kepada senarai penuh dan butiran perwakilan pusat untuk memastikan pertandingan yang adil dan telus di antara calon.

"Saya juga memohon pemilihan diadakan sejurus selepas ucapan presiden parti pada 18 Okt dan pengiraan dilakukan di atas pentas di depan semua orang dalam Dewan San Choon, dan pengiraan itu dilakukan oleh firma audit bebas," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...