Wednesday, September 10, 2008

Suasana Politik Thailand Tambah Panas Apabila Perdana Menteri Samak Didapati Bersalah - BERNAMA

09 September, 2008 22:32 PM

Oleh D.Arul Rajoo

BANGKOK, 9 Sept (Bernama) -- Selepas lebih 100 hari demonstrasi jalanan berlangsung, politik Thailand bertambah gawat hari ini apabila Perdana Menteri Samak Sundaravej dilucutkan dari jawatannya oleh Mahkamah Persekutuan selepas beliau didapati mencabuli Artikel 267 perlembagaan apabila menjadi hos sebuah rancangan memasak semasa masih memegang jawatan dalam kerajaan.

Ia merupakan tamparan hebat buat pemimpin berumur 72 tahun yang sebelum ini berteges akan kekal berkuasa dan tidak akan tunduk terhadap tekanan ribuan penunjuk perasaan yang memenuhi pejabatnya di pusat pentadbiran Thailand, atau dikenali sebagai Rumah Kerajaan sejak beberapa beberapa hari lepas, yang menuntut beliau meletak jawatan.

Nampaknya minat beliau terhadap bidang masakan mungkin menjadi punca yang akan akan menjatuhkannya, walaupun ia mungkin hanya bersifat sementara.

Sembilan hakim mahkamah itu sebulat suara mendapati Samak bersalah kerana melanggar Artikel 267 Perlembagaan 2007 apabila menjadi hos sebuah rancangan masakan yang disiarkan menerusi televisyen pada pukul 6 petang, semasa beliau masih berkhidmat dalam kerajaan.

Mereka mendapati Samak muncul sebagai majikan kepada syarikat yang menerbitkan rancangan itu, sekaligus menyalahi perlembagaan yang menetapkan bahawa Perdana Menteri dan semua menteri-menteri kabinet perlu meletak jawatan masing-masing dalam sektor korporat dalam tempoh 30 hari selepas menjawat jawatan dalam kerajaan bagi mengelak berlaku konflik kepentingan.

Mei lepas sekumpulan senator membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (EC), mendakwa Samak mencabuli perlembagaan apabila meneruskan rancangan memasak yang dihos beliau yang disiarkan menerusi televisyen, walaupun selepas menjadi Perdana Menteri, dan EC kemudiannya merujuk kes itu ke mahkamah.

Bagaimanapun Samak, 73, masih boleh kembali berkuasa apabila parti People Power Party (PPP) serta lima parti gabungannya dalam kabinet yang baru berusia tujuh bulan itu mengumumkan bahawa mereka akan mencalonkan nama beliau sekali lagi apabila parlimen bersambung bagi melantik Perdana Menteri baru.

Undang-undang Thailand tidak menghalang beliau untuk dilantik semula walaupun selepas keputusan mahkamah hari ini diumumkan.

Semua enam parti dalam kerajaan campuran itu akan bermesyuarat esok bagi mengkaji keadaan berdasarkan perkembangan terbaru itu.

Semasa parti PPP mewakili majoriti dalam pentadbiran Thailand dan menyuarakan sokongan untuk beliau kembali berkuasa, sebuah parti lain, parti Chart Thai pula sudah bersedia mencalonkan pemimpinnya Banharn Silapa-archa buat kali kedua, untuk menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu Timbalan Ketua PPP Karn Tienkaew memberitahu pemberita bahawa pihaknya menerima keputusan mahkamah, dan akan mencalonkan Samak untuk kembali ke jawatannya.

"Tapi sekiranya dia tidak mahu lagi menjadi Perdana Menteri, kami ada calon lain untuk menggantikannya.... namanya bermula dengan huruf S. Calon mesti dari parti PPP kerana kami adalah majoriti," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas ketika ditanya sekiranya kenyataan itu merujuk dua timbalan Perdana Menteri yang terdiri daripada Menteri Kewangan Surapong Suebwonglee atau Menteri Pelajaran Somchai Wongsawat.

Samak berhadapan dengan tekanan hebat dari ribuan penunjuk perasaan yang anti kerajaan yang diketuai oleh pertubuhan Perikatan Rakyat Untuk Demokrasi (PAD) yang menduduki Rumah Kerajaan sejak 26 Ogos lepas bagi memaksa beliau meletak jawatan.

PAD yang menganjurkan demonstrasi besar-besaran pada 2006 sehingga membawa kepada kejatuhan Perdana Menteri ketika itu Thaksin Shinawatra, mendakwa bahawa Samak adalah proksi Thaksin.

Di Rumah Kerajaan, kumpulan penunjuk perasaan itu menyaksikan perbicaraan hari ini yang disiarkan secara langsung oleh semua saluran televisyen, dan mereka bersorak riang apabila keputusan diumumkan, manakala pemimpin PAD pula akan memutuskan langkah seterusnya malam ini.

Samak tidak hadir di mahkamah semasa keputusan diumumkan, dan pagi ini beliau berada di wilayah Udon Thani untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet sebelum melawat pasar di kawasan itu.

Minat bekas gabenor Bangkok itu terhadap bidang masakan memang sudah diketahui ramai dan beliau beberapa kali dilaporkan memasak sendiri untuk menjamu tetamu-tetamu dari kalangan tokoh-tokoh asing yang melawat Thailand.

April lepas beliau menjemput Perdana Menteri Myanmar Thein Sein yang melawat Thailand untuk makan malam di rumahnya, dan beliau juga pernah memasak untuk atlet Thailand yang menyertai Sukan Olimpik Beijing bulan lepas.

Dalam hampir setiap lawatan rasminya ke luar negara pula, beliau akan melawat pasar basah negara itu, termasuk dalam kunjungannya ke Malaysia baru-baru ini.

Isnin lepas Samak yang menerbitkan rancangan masakan itu sejak tujuh tahun lalu sehingga rampasan kuasa oleh pihak tentera pada September 2006, memberi keterangan di mahkamah mengenai minatnya yang mendalam terhadap bidang masakan, dan tidak menerima sebarang bayaran untuk menjadi hos rancangan itu selepas menjadi Perdana Menteri.

Beliau ketika ini juga sedang berhadapan dengan kemungkinan dihukum penjara 24 bulan bagi satu kes fitnah.

Beliau sebelum ini membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Jenayah yang mendapati beliau bersalah menabur fitnah berkaitan bekas timbalan gabenor Bangkok Samart Ratchapolsitte.

-- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...